eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Bakal Primadona

Saturday, August 05, 2006

Bakal Primadona

Dekad demi dekad, wajah filem Melayu bertukar ganti. Seiring dengan aliran masa, hakikatnya Erra Fazira, Nasha Aziz mahupun Maya Karin tidak mungkin selamanya mampu menjadi primadona moden.

Bukan menidakkan kecemerlangan atau sumbangan mereka, tetapi dunia lakonan memerlukan pelapis bagi meneruskan kesinambungan sinema Malaysia. Tanpa niat membanding-banding, inilah sokongan yang harus diberikan dalam memangkin industri perfileman.

Menyenaraikan sepuluh nama aktres muda yang mungkin bakal menjejaki tempat yang pernah didiami oleh seniwati Sarimah, Normadiah mahupun Fauziah Ahmad Daud.


Elyana

Dia memulakan jejaknya ke dalam dunia hiburan sebagai penyanyi. Dikenali menerusi Niat dan kemudian meletup dengan Tak Tercapai Akalmu, Elyana mencuba bakat lakonnya buat pertama kali melalui VCD Seriau kira-kira empat tahun lalu.

Penglibatannya dalam cereka tersebut pada mulanya dilihat sekadar ‘memenuhi syarat’ memandangkan VCD itu diterbitkan oleh label rakamannya, FMC. Namun, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal berjaya membuktikan dia berpotensi dan tidak main-main.

Filem pertamanya, Gong bakal berputar di pawagam seluruh negara pada 24 Ogos ini. Bertemakan adventure thriller, dia bergandingan dengan beberapa pelakon remaja yang lain seperti Jehan Miskin dan Sharifah Sofia.

Bakatnya digilap lagi apabila dia membintangi siri drama Dunia Baru di TV3. Mendapat sambutan hangat dan diperkatakan, watak Opie yang dipegang membuatkan peminatnya bertambah. Sedang sibuk di lokasi filem seram Dukun, sinar gadis berusia 19 tahun ini sedang memancar cerah.

Ezlynn

Senario penyanyi menjadi pelakon bukanlah perkara baru, malah ia berlaku dalam mana-mana industri perfileman pun di dunia ini. Sudah bermula sejak era hitam putih filem Melayu, beralih ke zaman Sharifah Aini, Uji Rashid dan Ziana Zain, era milenium juga tidak terlepas dari pola yang serupa.

Ezlynn merupakan salah seorang daripada bintang pentas yang bakal menyinar di layar lebar. Gadis berusia 25 tahun ini bertuah kerana dia terus disambar oleh penerbit-penerbit filem meskipun bakat lakonannya tidak pernah diuji menerusi drama televisyen. Jika ada pun, penampilan istimewanya dalam beberapa sitkom.

Berpersonaliti menarik, petah bercakap dan turut berbakat sebagai pengacara, Ezlynn kini menanti satu demi satu filemnya masuk panggung. Bermula dari Diva Popular, Bilut diikuti dengan Zombie Kampung Pisang, pemilik nama sebenar Azline Ariffin ini sedang mendaki puncak versatiliti.

Fasha Sandha

Wajahnya mula terpapar di skrin tv, majalah dan akhbar sejak belasan tahun lagi. Dikenali tetapi namanya tidak diketahui, Nur Fasha Sandha Hassan ketika itu memulakan kariernya sebagai peragawati.

Berperawakan manis dan berwajah lembut, Fasha muncul pertama kali sebagai aktres melalui Black Maria. Biarpun filem itu gagal di pawagam dan tidak mendapat perhatian, gadis kelahiran Pulau Pinang yang berusia 22 tahun ini tidak mengenal erti putus asa.

Mencabar dirinya melalui pementasan teater Tun Fatimah, dia menerima segala kritikan dengan fikiran terbuka dan positif. Kerana keyakinan itu, dalam tempoh tiga tahun saja, dia mampu tersenyum dengan jumlah filem yang dilakonkannya.

Berlari Ke Langit, SH3, Anak Mami Kembali, Bujang Senang, Gong, Cicakman, Cinta dan Anak Halal menyaksikan Fasha sebagai heroin. Drama Natasha pula mengangkat namanya sebagai pemenang trofi Pelakon Drama Wanita Popular.

Senarai ini ibarat parameter yang menandakan kebangkitan Fasha sebagai aktres harapan.

Liyana Jasmay

Sesiapa pun yang menonton Castello pasti tidak akan terlepas pandang kepada Liyana Jasmay. Membawakan watak Pim, anak kepada Rosyam Nor, penghayatannya mengagumkan, apatah lagi apabila mengetahui itu adalah filem pertama lakonannya.

Ujarnya, dia diterima Rosyam selaku penerbit dan Bade Hj Azmi selaku pengarah selepas berjaya dalam uji bakat. Pernah berlakon telemovie Najwa, Liyana dilihat bakal memberikan saingan kepada barisan pelakon muda yang sedia ada.

Mungkinkah gadis ini bakal meraih trofi Pelakon Harapan dalam Festival Filem Malaysia ke-19 minggu depan? Baru berusia 18 tahun, dia sedar perjalanan seninya masih jauh.

Baru selesai penggambaran filem keduanya, Syaitan, Liyana berniat untuk menyambung pelajarannya dalam jurusan teater dan seni persembahan.

Nabila Huda

Ramai yang melabelnya sebagai menumpang populariti bapa pada awal kemunculan. Lakonannya dalam beberapa telemovie VCD mendapat kutukan hebat. Namun, darah seni yang mengalir dalam tubuhnya ibarat semangat yang tidak mudah menyerah kalah.

Menerima tawaran berlakon filem Rock sebagai tanda penghargaan kepada ayahanda tercinta, Amy Search, gadis berumur 21 tahun ini tidak cepat melatah. Setiap tawaran drama diambil dengan alasan mahu belajar dan kini bintangnya sebagai pelakon semakin bersinar.

Mentari Jingga arahan Rashid Sibir yang ditayangkan di Astro menjadi salah satu tanda aras kemampuannya bergelar pelakon pelapis. Terlalu awal untuk mengatakan Nabila hebat, tetapi dengan usaha yang berterusan, dia sedang menuju ke ‘destinasinya’.


Nora Danish

Dia mula diperhatikan sejak muncul melalui iklan Hotlink. Wajah comelnya yang komersial telah membuka peluangnya berlakon telemovie VCD berjudul Celak Pak Andam bersama penyanyi Zamani.

Dalam kesibukannya sebagai model, Nora Danish telah disunting oleh sutradara terkenal Aziz M. Osman bagi membintangi siri Puteri dan drama itulah yang melonjakkan namanya dalam industri lakonan.

Dibawa ke dunia seluloid juga oleh Aziz menerusi Gila-Gila Pengantin Popular, keserasian antara mereka terbukti. Nora seakan enggan bekerjasama dengan sutradara yang lain kerana filem keduanya, Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita juga diarahkan pengarah yang sama.

Baru mendirikan rumah tangga Jun lalu, Nora tidak seharusnya berhenti sekadar di sini. Dia berpotensi untuk pergi jauh, meskipun ramai yang beranggapan personaliti lembutnya menjadi halangan untuk meraih lebih banyak karakter mencabar. Nora harus membuktikan persepsi itu tidak benar.

Norkhiriah Shapie

Usianya sudah mencecah angka 30. Dia memang tidak semuda bintang-bintang yang lain dalam senarai tetapi kebolehan dan bakatnya jangan dipandang sebelah mata.

Tiga tahun Norkhiriah Shapie menjerumuskan diri dalam dunia lakonan, publisiti mengenainya tidak semeriah mana. Bakatnya seakan dipandang sepi, meskipun sebenarnya dia mampu membawakan apa saja karakter yang diberikan.

Drama televisyen adalah pentas utamanya menguji keupayaan. Pelbagai peranan digalasnya, sehinggalah Yasmin Ahmad mengajaknya bermain filem Rabun. Tanpa ramai menyedari, dialah Orked yang pertama sebelum watak itu dilakonkan oleh Sharifah Amani dalam filem kedua Yasmin, Sepet.

Wataknya sebagai Mas, isteri bilal muda dalam Gubra benar-benar membuka mata audiens terhadap bakatnya. Dia sepatutnya mendapat lebih perhatian daripada peminat seni tanah air selepas ini.

Nur Fazura

Tuduhan liar, sensasi dan kontroversi tidak mematahkan semangat gadis berusia 23 tahun ini. Nur Fazura Sharifuddin atau lebih dikenali sebagai Fazura tahu membataskan antara peribadi dan kerjaya.

Laluan lakonannya, biarpun berliku, penuh dengan kemanisan. Baru berlakon sekali dalam Bicara Hati, dia terus diangkat sebagai Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia ke-17.

Bertolak dari situ, dia kemudian mendapat kepercayaan barisan pengarah berpengaruh untuk memegang watak utama. Qaisy & Laila, Senario XX dan Gol & Gincu memberikannya kesempatan untuk melakonkan watak yang pelbagai dimensi.

Dia juga tidak jual mahal apabila sedia menimba pengalaman berlakon beberapa drama televisyen. Gol & Gincu The Series di 8TV mendapat respons memberangsangkan, begitu juga dengan teater pertamanya, Suzana@60. Khabarnya dia bakal muncul dengan filem terbaru dalam waktu yang terdekat ini.

Sazzy Falak

Piala Untuk Mama arahan Bernard Chauly menjadi memori manis buat Sazzy Falak kerana itulah cereka televisyennya yang pertama. Minat berlakon sejak kecil lagi, dia pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang teater di bawah kendalian Joe Hasham.

Turut berkemampuan sebagai pengacara, Sazzy mengembangkan bakatnya menerusi filem Gol & Gincu. Karakter Shasha yang nakal begitu terkesan di hati penonton. Dari situ, ramai yang melihat gadis berusia 25 tahun ini sebagai seorang yang berbakat besar.

Tidak percaya? Tonton Gol & Gincu The Series dan anda akan bersetuju dengan pemilihannya dalam senarai ini.

Sharifah Amani

Kejayaan Sepet membawa Sharifah Amani ke gelanggang kemasyhuran. Keasliannya memainkan peranan Orked dikagumi ramai dan tidak hairanlah dia membawa pulang trofi Panca Delima bagi kategori Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia ke-18.

Anak gadis berusia 20 tahun ini serius sebagai pelakon. Mewarisi bakat dari ibunya, Fatimah Abu Bakar, Amani bijak memilih watak dan tidak tangkap muat. Amani hidup dalam Gol & Gincu, Gubra dan bakal muncul dalam Puaka Tebing Biru serta Mukhsin hujung tahun ini.

Menjadi anak emas sutradara hebat Yasmin Ahmad, Amani juga melatih diri di pentas teater seperti Hamlet dan Endgame. Mampukah gadis ini menjadi primadona? Masa yang akan menentukan.