Sentuhan Emas PGLtM
Namanya pun sudah muzikal. Justeru, aspek terpenting mana lagi yang harus diberi keutamaan kalau bukan muziknya?
Teater popular seperti Cats, Phantom of The Opera atau Fame yang sudah bertahun-tahun merentasi dunia diingati kerana lagu-lagunya. Tanpa muzik, sesebuah pementasan itu tidak layak dilabel sebagai muzikal.
Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) tidak akan diperkatakan tanpa iringan melodi yang mengagumkan. Puluhan lagu yang dicipta Dick Lee tidak mampu menjadi indah tanpa sokongan susunan muzik yang kemas.
Pemilihan Roslan Aziz sebagai pengarah muzik PGLM dilihat satu keputusan yang tepat. Memberikan sentuhan emasnya, mengadunkan warna irama nusantara dengan muzika ala Broadway, percubaan Roslan berhasil - bukan sekadar berjaya, malah mencetuskan fenomena.
Lima bulan selepas pementasan perdana, PGLM kembali berpencak di Istana Budaya, Kuala Lumpur untuk musim kedua. Diberi masa kurang lebih sebulan saja untuk merealisasikan semula magis yang pernah tercipta Februari lalu, mampukah Roslan melakukannya?
Jawabnya positif: “Dengan kerjasama semua, termasuk barisan pemuzik, penyanyi latar, ensemble mahupun pelakon, saya yakin PGLM musim ini akan menampilkan sebuah persembahan yang lebih solid, mantap dan lebih bersinar. Tanggungjawab untuk menjadikan PGLM hebat bukan terletak di bahu saya secara mutlak, tetapi kolaborasi semua.”
Menganggap Datin Seri Tiara Jacquelina sebagai pendokong utama kejayaan ini, sambungnya, “Tiara sebagai penerbit dan pelakon berkemampuan mengepalai sebuah produksi sebesar ini. Semangatnya meresap pada semua tenaga kerja.”
Tidak merasakan tempoh sebulan sebagai halangan memberikan yang terbaik, dia juga tidak menganggap musim kedua lebih mudah. “Ada senang dan susahnya. Senang kerana berdasarkan pengalaman lalu, kita sudah tahu dan membiasakan diri dengan apa yang patut dilakukan.
“Sukar kerana saya tidak boleh sambil lewa. Orang sudah kata PGLM hebat, jadi harapan orang sangat tinggi. Kalau tidak lebih cemerlang pun, sekurang-kurangnya ia harus konsisten dan menyambung ‘jiwa’ pementasan lepas,” terangnya panjang lebar.
Baginya, setiap malam persembahan yang lalu adalah proses menganalisis apa yang kurang. Meskipun tiada perubahan besar dari sudut skor muzik atau jumlah lagu, kesempatan musim kedua ini dipergunakan untuk menambah ‘perisa dan rencah’ agar ia lebih menghiburkan.
“Kira-kira 70% para pemuzik yang terlibat musim lepas tidak dapat memberikan komitmen kali ini dan terpaksa ditukar ganti. Jumlahnya juga berkurangan dari 20 orang ke 11 orang. Begitu pun, saya tidak melihatnya sebagai satu masalah kerana barisan pemuzik baru juga berkeupayaan dan memberikan komitmen yang bersungguh,” ujarnya.
Bukan itu saja, jumlah penyanyi latar turut berkurangan daripada 20 orang ke 6 orang saja. “Rasionalnya ialah ensemble akan turut menyanyi musim ini, tidak seperti musim lalu yang kebanyakannya hanya membuat gerak bibir,” ulas pemuzik berusia 45 tahun itu.
Keindahan kerja-kerja Roslan tidak akan tercetus tanpa konduktor yang baik. Jason Voo, seorang anak muda berusia 24 tahun telah mendapat kepercayaan Roslan untuk kembali mengetuai barisan pemuzik.
Ditanya akan cabaran terbesarnya kali ini, katanya jujur: “Untuk memuaskan hati Roslan. Saya akui dia seorang yang cerewet, tetapi hasilnya kelak membanggakan. Bercakap soal tekanan, ia sudah pasti. Tetapi, ini satu kerja dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan sebaik mungkin.”
Sudah mengenali Roslan selama lima tahun, ini merupakan teater muzikal terbesar yang dikendalikannya, selain daripada Opera Uda Dara empat tahun lalu. Semasa itu dia hanya bertugas sebagai pemain keyboard kedua.
“Saya memilih Jason kerana minatnya yang mendalam. Dia jujur dengan apa yang dilakukannya dan tidak malas untuk belajar,” sampuk Roslan.
Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) akan mula dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai 6 hingga 21 Ogos ini.
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru