eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Jee Tahan Kritikan, Tuduhan

Sunday, August 06, 2006

Jee Tahan Kritikan, Tuduhan



Dua puluh tahun bergelar penyanyi, Fauziah Latiff tidak mudah melatah. Selembut wajah serta personalitinya, pelbagai spekulasi dan tuduhan dihadapi dengan tenang. Sudah lumrah seorang selebriti, setiap perkembangan diperhatikan, setiap perlakuan diselidik orang.

Menginjak usia 36 tahun, wanita yang lebih mesra dipanggil Jee ini tidak tersinggung apabila ada pihak yang cuba mempertikaikan kemampuannya. Kata mereka, sejak kebelakangan ini vokal Jee sudah tidak semantap dulu dan kurang bertenaga.

“Saya mengambil kritikan itu sebagai sesuatu yang positif. Jika peminat beranggapan demikian, saya akan cuba memperbaiki kelemahan dan mempertingkatkan latihan.

“Saya sepatutnya berterima kasih kerana sekurang-kurangnya peminat masih mengambil berat dan menyedari kehadiran saya dalam industri hiburan,” luah Jee melemparkan senyum.

Bergelar juri Malaysian Idol dua musim berturut-turut, dia tidak berasa malu atau tersinggung jika ada pihak lain pula yang cuba menghakiminya.

“Saya hanya berkongsi ilmu dan pengalaman dengan bakat-bakat baru, tetapi itu tidak bermakna saya sendiri sudah cukup bagus atau sempurna. Saya menjalankan tugas yang diberi. Saya sendiri masih melalui proses pembelajaran dan memerlukan teguran membina,” jelasnya.

Diasak pula dengan pertanyaan mengenai status rumah tangganya yang dikatakan bergelora, Jee melepaskan ketawa kecil. Mungkin dia cuba menyembunyikan amarahnya, mungkin juga hanya itu yang mampu dilakukan untuk menjawab soalan yang sudah berpuluh-puluh kali ditanya.

“Saya pinta biarlah soalan itu diketepikan. Tetapi jika ada yang tidak berpuas hati dengan kenyataan saya selama ini, biarlah saya ulangi semula. Saya masih seorang isteri dan ibu kepada dua orang anak. Semoga penjelasan ini menggembirakan sesiapa jua yang bertanyakan status saya,” tegas Jee.

Memohon buat kesekian kalinya agar hal keluarga tidak dibangkitkan, kata penyanyi Teratai Layu Di Tasik Madu ini: “Peribadi saya tiada kena-mengena dengan karier. Saya harap usahlah lagi menimbulkan isu perkahwinan. Saya lebih senang berbicara tentang album baru.”

Selepas lima tahun tidak muncul dengan sebarang produk seni, akhirnya Pesona memasuki pasaran pada 28 Julai lalu. Dalam kelembapan sambutan terhadap album tempatan, Pesona sudah terjual melebihi 5,000 unit dalam tempoh seminggu saja.

“Alhamdulillah, saya terkejut bila mendapat tahu,” ujarnya memberikan reaksi. Kurang pasti faktor utama Pesona diterima dengan mudah, ulasnya, “Mungkin kerana saya sudah lama menyepi, mungkin juga kerana lagu-lagu Jim Brickman. Apa pun alasannya, saya bersyukur.”

Pesona memuatkan rangkaian lagu hits ciptaan komposer dan pemain piano terkenal Amerika Syarikat, Jim Brickman yang liriknya diterjemah ke bahasa Melayu. Lagu-lagu tersebut ialah Hakikat Cinta (Your Love), Kekasihku (Valentine), Berjanjilah (Simple Things), Seindah Cintamu (Beuatiful) dan Dilema Mimpi (I’m Amazed).

Selain itu, Jee turut merakamkan kembali tiga buah lagu lamanya yang diberikan susunan baru iaitu Hari Yang Istimewa, medley Digamit Memori/Segalanya Berakhir Di Sini dan Sahabat yang menampilkan penyanyi dari Filipina, Phoebe.

“Kesemua lagu yang diberikan Jim adalah mengikut susunan asalnya tanpa diterbitkan semula, sementara lagu-lagu lama Jee diberikan nafas baru oleh Sharon Paul,” katanya teruja.

Mengeluarkan modal sendiri untuk melahirkan Pesona, Jee yang kini bernaung di bawah payung Firmzz Entertainment memberitahu: “Jee bertuah kerana Firmzz di bawah kendalian Mohd Firhad Amat sudi menjadi konsultan dan berkongsi ilmu. Kerjasama ini bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata, tetapi Jee melihat ia sebagai salah satu cabang bagi memperluaskan pengalaman dalam arena perniagaan hiburan.”

Kepada para peminat yang merindui alunan suara Jee serta gaya lincahnya, dia akan mengadakan Pesona Showcase pada 13 Ogos ini di Orange Club, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur. RM29.99 dikenakan sebagai bayaran masuk bersama penampilan artis undangan seperti kumpulan M.I.X dan Phoebe.