eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Antara Baru Dan Puas

Wednesday, August 09, 2006

Antara Baru Dan Puas



Malam Ahad lalu, setiap ruang di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur penuh terisi gara-gara Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) kembali membuka tirainya untuk musim kedua.

Kepada mereka yang pernah menonton musim pertama, soalan yang pasti berlegar di kepala - ‘adakah musim ini akan menghidangkan persembahan yang lebih baik?’.

Kepada mereka yang belum pernah menyaksikannya pula, naluri didesak perasaan ingin tahu - ‘apa hebatnya PGLM sehingga mencipta riuh rendah yang luar biasa?’.

Sebelum meneruskan ulasan, izinkan penulis memberitahu sesuatu. Penulis berpeluang menonton PGLM musim lalu sebanyak empat kali (dan maaf jika ia menjadi salah satu sebab mengapa tiket lekas habis!). Justeru, sedikit sebanyak impak pementasan lepas masih kuat berbekas di fikiran.

Dalam rasa debar dan teruja, tirai dibuka seraya menggemakan lagu Suatu Hari Nanti dengan puluhan ensemble menari serta berdiri di atas stupa.

Menyedari faktor bilangan penyanyi latar yang berkurangan berbanding dulu, penulis faham mengapa suara yang terhasil kali ini tidak begitu ‘gegak gempita’.



Namun, energi yang merasuki barisan ensemble serta AC Mizal, Yalal Chin dan Datin Seri Tiara Jacquelina di babak pertama membuatkan kekurangan tadi dimaafkan.

Di wajah Tiara, terpancar jelas kepuasannya melepaskan rindu beraksi semula di atas pentas, menjelmakan kembali watak mitos seorang puteri. Tetapi kali ini, watak Bayan pengasuhnya bukan lagi digalas Sukania Venugopal, sebaliknya diserahkan kepada Ida Mariana.

‘Apa lagi yang baru?’ - satu lagi soalan yang mungkin terpacul di fikiran penonton semasa menyaksikan PGLM musim kedua. Ingin penulis ingatkan, musim kedua bukan menawarkan pembaharuan semata-mata, sebaliknya cuba mengutamakan kepuasan.

Stephen Rahman-Hughes berusaha keras mempertingkatkan sebutan dan patah katanya sebagai Laksamana Hang Tuah. Hasilnya ternyata membanggakan.

Membayangkan Stephen sebagai pendekar terulung itu sudah tidak menjadi gambaran yang janggal. Diksi nyanyiannya lebih jelas dan dia sudah tidak kekok lagi membuka silat.

Saat intro lagu Keranamu Kekasih berkumandang pada babak yang kesembilan, bulu roma penulis meremang. Menjadi lagu kegemaran peribadi, apatah lagi menyaksikan Puteri dan Tuah berdiri teguh di atas puncak Ledang, hati penulis diresapi perasaan yang cukup sentimental.

Terus dibuai dengan babak-babak yang disusun, adegan pelayaran Puteri diperbaharui dengan penggunaan layar kapal yang tidak wujud semasa PGLM musim pertama. Adegan tersebut menjadikan visual imaginasi penonton lebih realistik dan bermakna.

Di tangan Roslan Aziz, PGLM tidak akan silap. Meskipun menurut Roslan, 70 peratus daripada barisan pemuzik lama tidak dapat dikekalkan, namun bunyi-bunyian yang terhasil untuk musim kedua lebih berperisa.

Bunyi percussion dan gendang lebih menggegar, begitu juga dengan seruling dan elemen muzik tradisi yang kuat terasa di celah-celah irama kontemporari ala Broadway.

Kalau orang kata Adlin Aman Ramlie hanya bijak mengkritik, tuduhan itu dirasakan kurang tepat. Menerusi PGLM musim kedua, dia membuktikan kepakarannya tentang seni persembahan melalui pembawaan karakter Sultan Melaka.

Semangatnya untuk beraksi di atas pentas berada di tahap maksimum. Dia tidak teragak-agak dengan segala tindakan mahupun langkah tarinya. Mungkin suaranya tidak semerdu juara Akademi Fantasia 4, tetapi nyanyiannya meyakinkan.

Sementara itu, AC Mizal masih kekal konsisten sebagai Gusti Adipati Handaya Nigrat. Suaranya memecah kesunyian panggung, jiwanya masih tebal dengan roh Raja Majapahit. Jika ada pun improvisasi, gerak lentuk tangan dan kakinya sudah tidak sekejang dulu.

Secara peribadi, penulis rindukan Bayan yang pertama. Dari segi penjiwaan, mungkin Ida tewas kepada Sukania, namun nyanyian Ida lebih bulat bunyinya.

Malang buat Aqasha, penonton tidak menyedari kehadirannya sebagai Bendahara. Penyamarannya di sebalik misai dan jambang palsu yang tebal memang berhasil, tetapi kata-katanya kurang dapat didengar akibat mikrofon yang terselindung.



Mungkin itu patut dijadikan alasan untuk Aqasha berusaha lebih keras menghidupkan karakter Hang Tuah semasa malam persembahan understudies pada 13 dan 20 Ogos nanti.

Selain Aqasha, Baby Erin akan mengambil alih tempat Gusti Puteri, Wan Shades sebagai Gusti Adipati, Jeffry Haikel sebagai Sultan Melaka dan Norenshah Sahari selaku Bayan pada dua malam tersebut.

Pat Ibrahim, sekalung tahniah sekali lagi atas koreografi yang kemas dan cantik, terutamanya pada adegan Khabar Hanyalah Khabar dan adegan sekumpulan nenek kebayan di puncak Ledang. Ilham Raja Maliq dan Akma Suriati Awang dalam mengindahkan set, props dan pakaian juga patut diberi tepukan.

Buat Tiara selaku penerbit eksekutif, penulis kehabisan kata-kata pujian atas usahanya mengangkat martabat PGLM ke satu lagi peringkat. Ia bukan kerja yang mudah, bukan juga sebuah angan-angan kosong. Dan buat Tiara sebagai pelakon, anda satu dalam berjuta.

Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) musim kedua kini sedang rancak dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur sehingga 21 Ogos.

Tiket-tiket berharga RM180, RM150, RM100, RM70, RM50 & RM30 boleh didapati di kaunter box-office, Istana Budaya.