Masih Seorang Ratu
Jangka masa 20 tahun dalam industri hiburan bukan satu tempoh yang singkat. Bagi ribuan, mungkin juga jutaan peminat Sheila Majid, dia masih seorang ratu yang duduk kekal di singgahsananya sendiri tanpa ada pengganti.
Malam tanggal 12 Ogos lalu, segenap ruang di dewan gah Esplanade, Singapura penuh terisi. Kira-kira 1,500 penonton ralit menyaksikan penyanyi berketinggian 4 kaki 11.5 inci ini melontarkan suaranya yang besar, tidak sepadan dengan saiz tubuh badan.
Bertahun lama dia menantikan waktu ini. Kali terakhir Sheila beraksi dalam konsert solo di tanah air sendiri kira-kira enam tahun lepas, di panggung berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur.
Sementara rindu untuk bertamu di rumah jiran, di Kota Singa lebih kuat mencengkam apabila persembahan solonya di Harbour Pavilion sudah genap lapan tahun berlalu.
“Undangan dari Esplanade merupakan satu penghormatan dan peluang keemasan, apatah lagi selepas sekian lama tidak bertemu para peminat di tanah seberang,” ujar wanita berusia 41 tahun ini .
Meskipun berlangsung hanya satu malam, Legenda Concert Sheila Majid Celebrating 20 Years In Music mencatatkan kenangan manis yang bukan sedikit.
Diiringi lapan pemuzik handalan negara di bawah pimpinan suaminya Acis, konsert ini menampilkan kira-kira 44 buah lagu yang dipetik dari album pertama, Dimensi Baru sehinggalah yang terkini, Legenda XV XX.
“Bukan mudah mahu menghimpunkan kesemua lagu dalam durasi tiga jam. Risau ada yang tertinggal, ada juga lagu yang terpaksa diketepikan. Terdapat lagu-lagu yang terpaksa dibawa secara medley kerana saya tiada pilihan. Bayangkan kalau dinyanyikan satu persatu, tiga malam pun belum tentu mencukupi!” jelas Sheila.
Menyingkap tirai persembahan dengan Memori, lagu tersebut seakan satu petanda supaya audiens bersiap sedia untuk menyusuri ‘pengembaraan’ kerjaya Sheila yang penuh nostalgik.
Mengenakan gaun kuning ilham Calvin Thoo dengan perhiasan aksesori Habib Jewels, dia turut menyanyikan lagu-lagu zaman remajanya seperti Wajah Rahsia Hati, Pengemis Muda dan Dia.
Seperti yang direbiu oleh akhbar The Straits Times, Singapura - ‘para peminat mengikut setiap nota dan menyanyi bersama’ - situasi seperti itu sangat sinonim dalam setiap persembahan Sheila.
Dengan tutur kata yang bersahaja serta celoteh spontan yang menyenangkan, inilah di antara resipi mengapa dia dengan mudahnya mampu menawan hati para peminat dari pelbagai peringkat, meskipun rata-rata yang hadir pada malam itu bukan berbangsa Melayu.
“Semasa sesi bertemu peminat selepas konsert, saya dikejutkan dengan kehadiran ramai penonton dari golongan remaja. Saya sangkakan peminat saya hanya berusia 35 tahun ke atas!” ceritanya sambil ketawa.
Bersyukur kerana masih ada yang sudi mendengar dendangannya, sambung ibu kepada tiga cahaya mata ini: “Saya didekati oleh seorang jejaka berbangsa Jepun.
“Katanya, dia menanti saya selama 15 tahun untuk ke Singapura sejak dia bermastautin di sana. Lidah saya jadi kelu sebentar, tidak tahu bagaimana mahu menjawab betapa berterima kasihnya saya atas sokongan seperti itu.”
Tidak lupa membawakan Embun, Bila Larut Malam, Kasih, Datanglah Ke Dalam Mimpiku, Kepergianmu, Di Dalam Emosi Ini, Tua Sebelum Waktunya dan Sinaran, Sheila tersenyum lebar apabila atmosfera formal yang menyelubungi Esplanade pada awal konsert akhirnya bertukar menjadi riuh.
“Semua berdiri dan bergoyang, seperti tidak mampu menahan perasaan untuk terus duduk diam. Setiap kali melihat penonton menyanyi bersama, saya tidak dapat gambarkan betapa seronoknya perasaan itu.
“Apatah lagi, ada di antara lagu yang saya sendiri terpaksa membaca lirik, sedangkan mereka menghafalnya penuh tanpa silap,” akuinya.
Tamat lewat sekitar pukul 1.30 pagi, Sheila berseloroh: “Saya tahu mungkin ada penonton yang tidak dapat tidur malam jika saya tidak menyampaikan ‘lagu-lagu wajib’.
“Justeru sebagai penutup, saya menghadiahkan Manusia, Warna, Legenda serta medley Cinta Jangan Kau Pergi, Gerimis Semalam, Antara Anyir dan Jakarta, Ku Mohon dan Aku Cinta Padamu. Lihatlah betapa banyaknya lagu penghabisan!”
Dalam keterujaan atas sambutan hebat konsert tersebut, tidakkah terkilan di hati Sheila mengapa kesempatan mengadakan konsert berskala sebegini tidak lagi diberikan di tempat kelahiran sendiri?
“Entahlah. Mungkin para penganjur dan penaja sekarang lebih memberi tumpuan kepada bintang-bintang muda. Namun demikian, saya tidak merajuk atau berkecil hati. Saya sendiri pernah merasai zaman tersebut. Kalau ada rezeki lagi, Alhamdulillah,” jawabnya penuh rasional.
Berkemungkinan besar mengadakan konsert di Indonesia tahun depan, Sheila sebutir permata yang tidak akan dilupakan. Tapi, kenapa tunggu 20 tahun untuk ke Singapura?
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru