eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Rezeki Baru Dayang

Wednesday, September 06, 2006

Rezeki Baru Dayang



Meskipun One In A Million (OIAM) belum pasti menjanjikan kemenangan, rezeki Dayang Nurfaizah terus datang melimpah. Selepas ditawarkan bekerjasama dengan karyawan Indonesia dalam filem sulungnya, gadis berkulit hitam manis ini ‘diikat’ pula sebagai jurucakap jenama kopi popular, Nescafe.

“Ironinya saya bukan seorang peminum kopi seperti mana saya menyukai teh,” akuinya jujur ketika dihubungi. Bagaimanapun atas ajakan Nescafe, dia memberanikan diri untuk mencuba apatah lagi jenama itu memang sudah dikenali sebagai pembuat kopi terunggul.

“Kalau saya tahu sedapnya rasa kopi, mungkin sejak kecil lagi sudah ketagih!” dia berlucu sambil memberitahu kontraknya bertempoh dua tahun.

Pernah menjadi duta kosmetik Za tidak lama dulu, Dayang menjelaskan persetujuannya menerima tawaran tersebut bukanlah kerana wang semata-mata.

“Sejujurnya saya tidak menilai perjanjian ini dari sudut wang ringgit, sebaliknya mengenangkan hubungan baik yang terbina antara saya dengan pengeluar Nescafe iaitu Nestle sejak kebelakangan ini,” beritahunya.

Sebelum ini Dayang terlibat dengan kempen Dodoi Si Manja melalui rakaman semula lagu rakyat berjudul Suriram di bawah kelolaan syarikat tersebut.

Memperkenalkan rangkaian minuman Nescafe Body Partner, Dayang telah menjalani penggambaran iklan pertengahan Ogos lalu dan kini ia sudah pun ditayangkan di kaca televisyen. Penggambaran iklan media cetak dan billboard akan turut dimulakan dalam waktu yang terdekat.

“Saya gembira atas pelantikan ini dan amat menghargai sokongan yang ditunjukkan oleh pihak Nestle,” ucapnya yang baru saja menyambut ulang tahun ke-25 Julai lalu.

Namun, di sebalik nada ceria atas kejayaan kerjaya yang dikecapi, Dayang kecewa apabila reputasinya cuba dicalarkan oleh sesetengah pihak.

Pembabitannya dalam program realiti popular 8TV, OIAM bukan saja mencetuskan sensasi atas keberaniannya mencuba, malah menimbulkan khabar angin yang mengatakan dia selalu ‘melarikan diri’ dari sebarang aktiviti yang diaturkan.

“Kebanyakan undangan yang diterima sudah pun dipersetujui sejak awal lagi. Lantas adakah adil jika saya membatalkannya demi OIAM? Sebagai seorang peserta, saya sudah mencuba sedaya upaya yang termampu untuk turut serta dalam apa jua aktiviti.

“Bukan saya tidak komited, tetapi mereka harus faham, selain OIAM, saya turut mempunyai tanggungjawab yang lain sebagai seorang artis. Saya berusaha keras dua kali ganda untuk memastikan semua pihak berpuas hati dan berharap kata-kata yang kurang enak ini akan berakhir,” katanya dalam nada terkilan.

Enggan menganggap kemelut sedemikian melemahkan semangatnya, Dayang hanya mahu memberikan yang terbaik untuk diri sendiri dan juga peminat.

“Saya sedar bila OIAM semakin di penghujung, cabaran dan risiko yang terpaksa dihadapi semakin kuat. Saya reda dengan sebarang keputusan dan takdir yang datang kelak,” sambungnya tenang.

Turut memberitahu Luka akan memulakan penggambaran Januari tahun depan, dia optimis impian peminat setia untuk melihat dia beraksi di layar lebar bersama Dian Sastrowordoyo akan terlaksana satu hari nanti.