Merai Merdeka Melalui Puisi
Dalam usaha ‘memanaskan’ sambutan Hari Kebangsaan negara yang ke-49, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Umno Bahagian Bukit Bintang, Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Konsert Puisi Merdeka, malam Sabtu lalu.
Berlangsung di tempat yang sangat signifikan dengan acara, Dataran Merdeka, konsert tersebut mengajak khalayak untuk tidak berhibur kosong semata-mata, sebaliknya cuba merenungi dan menghayati semangat kemerdekaan melalui puisi.
Mungkin acara sebegini dilihat klise dan diadakan setiap kali Hari Kebangsaan menjelang, namun ikhtiar untuk mendidik masyarakat mendekati budaya dan sastera harus dipuji. Apatah lagi apabila acara sebegini menampilkan subjek sejarah dan perjuangan, ia tidak patut dipandang sepi.
Namun demikian, meskipun Konsert Puisi Merdeka menampilkan nama-nama besar industri hiburan tempatan, ia tidak berjaya menghimpunkan lautan manusia. Kerana sifatnya sebuah persembahan yang serius, konsert itu tidak semeriah konsert-konsert merdeka lain.
Diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hasan, konsert bermula dengan deklamasi puisi bertajuk Tanah Airku oleh dramatis M. Rajoli.
Diselang selikan dengan persembahan tarian serta nyanyian oleh Sahri, Nash, Kopratasa, Ragunathan, Vicky Tan dan Aishah, bintang baru yang bergemerlapan hasil gilapan Akademi Fantasia 4 (AF4) juga turut diberi peluang mengambil bahagian.
Walaupun juara AF4, Faizal hanya menyampaikan lagu popularnya, Lihatlah dan Farhan membawakan Aku Saja Yang Tahu, mereka tetap berbangga kerana menyertai acara patriotik seperti ini.
“Ini kali pertama saya terlibat dalam sambutan kemerdekaan di Kuala Lumpur, apatah lagi yang berkaitan dengan sastera dan budaya,” akui Faizal jujur. Pernah ikut serta dalam acara perarakan dan perbarisan di tempat kelahirannya mewakili Badan Kebudayaan Terengganu, anak muda berusia 22 tahun ini ternyata gembira dan berbesar hati.
Bakal meraikan detik bersejarah tanggal 31 Ogos di ibu kota, pada Faizal erti kemerdekaan bukan hanya bermaksud kebebasan, sebaliknya mengajak masyarakat supaya sentiasa menghargai kedamaian dan bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Tuhan.
Sementara itu, bagi Farhan pula, sebelum bergelar artis dia hanya bertindak sebagai pemerhati setiap kali sambutan Hari Kebangsaan diadakan.
“Bapa akan membawa kami sekeluarga ke Dataran Merdeka untuk sama-sama mengira detik dan melaungkan perkataan ‘merdeka’. Tidak sangka pula tahun ini, saya terlibat sama dan berada di atas pentas menyanyi,” ujarnya. Teruja kerana berpeluang bekerjasama dengan senior-senior dunia seni, Farhan tidak akan teragak-agak menerima tawaran seperti ini pada masa akan datang.
Barisan pendeklamasi yang sanggup turun padang pada malam minggu lalu terdiri daripada Lim Swee Tin dengan puisi Deru Angin Ogos dan Citra Lelaki Perjuangan, Radhi Khalid (Adalah Cinta Adalah Kota), Freddie Fernandez (Setiap Kali Kau Tiba Ogos), Datuk Firdaus Abdullah (Putera Yang Tabah Di Gelora Zaman), Tengku Khalidah Tengku Bidin (Generasi Yang Gagah), Datuk Azim Zabidi (Kita Pewaris Merdeka) dan Senator Dr Lee Choung Meng (Tanahair: Menjelang Merdeka).
Kemuncak konsert ialah pembacaan puisi oleh Mawi dengan Genta Cinta dan Datuk Bandar Kuala Lumpur dengan puisi Arkitek Kota. Acara ditutup dengan nyanyian Tanggal 31 Ogos oleh semua yang terbabit.
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru