Terlebih Melankolik
Tajuk: Heart
Genre: Drama romantik
Pengarah: Hanny R. Saputra
Pelakon: Nirina Zubir, Irwansyah, Acha Septriasa, Ari Sihasale, Unique Priscilla
Penilaian: 2 bintang
Seperti yang dikatakan pengarahnya, Hanny R. Saputra, Heart merupakan satu perlambangan, bukan saja mengenai cinta, tetapi organ hati itu sendiri secara fizikal yang menjadi tunjang kesedihan filem ini.
Rachel dan Farel berkawan rapat sejak kecil. Meningkat dewasa, Farel jatuh cinta dengan seorang pelukis komik bernama Luna. Tanpa mengetahui Rachel menyimpan perasaan terhadapnya, Farel menjadikan gadis berkelakuan tomboy itu sebagai tempat rujukan dalam memenangi hati Luna.
Saat cinta sedang menguntum, Luna membongkar rahsia kepada Farel yang dia tidak dapat hidup lama kerana mengidap penyakit hati.
Lumrah sebuah sandiwara cinta yang tipikal, tragedi dan konflik sengaja diwujudkan untuk memberikan efek drama. Luna menanti maut, Farel pasrah pada ketentuan sementara Rachel terus memendam seksa mencintai rakan baik sendiri dalam diam.
Secantik mana pun sinematografi filem ini, penonton tidak mampu menolak kenyataan Heart adalah kisah cinta ulangan yang sudah berkali-kali disogokkan. Plotnya sama, suspen yang sama, malah pengakhirannya juga serupa, seakan sudah boleh diteka-teka sejak awal filem lagi.
Meneliti Heart, Hanny banyak dipengaruhi unsur-unsur filem Hindustan. Plotnya melankolik, penceritaannya juga memiliki ‘semangat’ Bollywood yang cukup kuat.
Lihat saja bagaimana romantisnya Farel memberi kejutan kepada Luna, membawanya ke puncak gunung untuk bersantap sambil diiringi nyanyian dengan petikan gitar. Begitu juga dengan adegan berperahu di tasik serta berbasikal di lereng bukit yang kemudian diganggu sekumpulan kambing biri-biri.
Dari sudut visual, Hanny berjaya mencetuskan gambaran betapa indahnya percintaan di antara dua remaja tersebut.
Untuk memberikan keseimbangan, Hanny sengaja ‘menambah-nambahkan’ kepiluan pada babak-babak sedih, contohnya Rachel berlari sekitar kebun teh mengejar jip Farel atau adegan Rachel bermain bola keranjang sambil menangis di dalam hujan lebat.
Tiada salahnya mencipta elemen fantasi yang keterlaluan kerana filem satu medium fiksyen, namun Hanny terlupa untuk membangunkan karakter Rachel, Farel dan Luna dengan lebih berkesan.
Sepintas lalu, penonton barangkali tertanya jika tiga remaja ini masih sekolah atau sudah bekerja, malah ‘dunia’ Heart juga hanya berlegar kepada mereka, tanpa ada watak-watak lain yang membantu (kecuali pada 20 minit terakhir filem).
Walau bagaimanapun, tahniah atas usaha keras yang ditunjukkan Nirina Zubir dalam menjelmakan watak Rachel.
Heart bergantung kuat kepada lagu dan skor muzik untuk membangkitkan mood penonton. Tidak keterlaluan jika dikatakan, tanpa sokongan muzik Melly Goeslaw dan Anto Hoed, Heart menjadi sebuah karya yang lesu dan tidak evergreen.
Seperti kebanyakan filem Bollywood, Heart bakal diingati khalayak kerana lagu-lagunya. Kalau pun penonton teringat-ingat atau terbayang-bayangkan filem ini, ia adalah atas kepintaran pasangan suami isteri itu menyesuaikan setiap babak dengan melodi yang dicipta.
Jika ada yang meletakkan Heart dalam kelas yang sama seperti Ada Apa Dengan Cinta atau Tentang Dia, rasanya klasifikasi itu kurang tepat. Dua filem arahan Rudy Soedjarwo itu, meski sarat dengan falsafah cinta dan lagu-lagu, ia terhasil sebagai sebuah karya yang dipandang serius. Sebaliknya Heart, tidak.
Namun demikian, Heart tetap akan mendapat sambutan hangat kerana filem ini memang dibikin khusus buat remaja, golongan pengunjung utama ke panggung wayang (terutamanya mereka yang ketagih filem romantik).
Buktinya, di Indonesia sendiri, filem ini masih ditayangkan sejak mula masuk pawagam Mei lalu. Heart juga berjaya menarik minat pengedar di Singapura untuk menayangkannya di sana.
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru