Gelanggang Baru PGLM
Tuan puteri nampaknya tidak mahu duduk diam bersemayam di atas Gunung Ledang. Selepas berjaya ‘menakluki’ bumi sendiri, dia ingin melebarkan sayapnya ke tanah sebarang. Destinasi pilihan - Esplanade, Singapura.
“Saya mengimpikan peluang sebegini sejak projek Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) dimulakan tahun lalu. Akhirnya ia bakal menjadi kenyataan. Apa yang lebih mengujakan ialah tawaran itu datang tidak lama selepas ia mencipta fenomena di tanah air sendiri,” ujar Datin Seri Tiara Jacquelina penuh rasa bangga ketika dihubungi.
Sebagai muzikal terbitan anak tempatan, PGLM telah mencipta banyak rekod dan sejarah peribadi. Taruhan pertama mementaskannya di Istana Budaya selama sebulan pada Februari lalu membuahkan hasil yang sangat lumayan. Atas permintaan ramai, muzikal ini kembali untuk musim yang kedua Ogos lalu dan dianggarkan seramai 56,000 orang sudah menontonnya!
“Saya sendiri sukar untuk percaya sambutan ke atas PGLM berterusan tanpa henti. Singapura bakal menjadi laluan pertama kami untuk menemui komuniti seni di luar Malaysia,” sambungnya sambil menjelaskan bahawa undangan bertandang ke auditorium hebat itu sudah diterima sejak pementasan musim pertama lagi.
Namun begitu, untuk membawa muzikal berskala besar ke negara luar bukanlah satu tugas yang mudah.
“Semasa musim kedua, orang-orang kuat Esplanade turun ke sini dan berbincang dengan kami. Banyak perkara yang diperhalusi bagi memastikan PGLM berjaya dipentaskan di sana,” terangnya lagi yang memainkan peranan utama sebagai pelakon serta penerbit di bawah payung Enfiniti Productions.
PGLM dijadualkan bergelanggang di Esplanade pada 24 hingga 26 November ini. “Saya teruja apabila Ketua Pegawai Eksekutif Esplanade, Benson Tan secara peribadi meminta PGLM dipentaskan dalam Bahasa Melayu demi menjaga ketulenan serta keasliannya.
“Saya tidak fikir bahasa menjadi halangan untuk warga Singapura datang menonton. Mereka boleh merujuk kepada sari kata yang dipaparkan.
“Tetapi dalam perspektif yang lebih luas, apa yang paling penting ialah menikmati sesebuah pementasan itu dalam sifatnya yang tersendiri. Sebagai contoh, orang tidak faham opera dalam bahasa Itali tetapi masih berminat menyaksikannya,” kata Tiara panjang lebar.
Masih belum pasti jumlah kos yang bakal dibelanjakan, Tiara berharap PGLM di Esplanade dapat membariskan para pelakon seperti Stephen Rahman Hughes, Adlin Aman Ramlie, AC Mizal, Yalal Chin serta himpunan ensemble yang serupa.
“Tenaga kreatif juga kekal sama seperti Zahim Al-Bakri sebagai pengarah, Pat Ibrahim sebagai koreografer, Roslan Aziz selaku pengarah muzik dan Raja Malik selaku pereka set pentas,” tambahnya yang pernah merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik Asia Pasifik ke-50.
“Buat masa ini, Malik sedang sibuk mencipta semula rekaan pentas. Kami juga bercadang membina beberapa set dan props baru yang mudah alih sebagai perancangan jangka masa panjang. Sementara itu, Pat juga merangka untuk mempertajamkan lagi pergerakan serta koreografi. Kami tidak mahu sambil lewa dengan kesempatan ini,” ulas Tiara panjang lebar.
Optimis PGLM bakal menjadi platform untuk seni persembahan Malaysia berkembang sekurang-kurangnya di rantau ini, katanya sebelum menutup bicara: “Kejayaan ini merintis jalan untuk kita meraikan keindahan akar budaya atas nama seni.”
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru