eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Dunia Gelap Anak Halal

Sunday, September 17, 2006

Dunia Gelap Anak Halal



Filem komersialnya yang pertama, Tebing Puaka Biru masih menanti giliran untuk ditayangkan. Biarpun penerimaan khalayak terhadap ‘bayi sulungnya’ itu masih samar, Osman terus membuka langkah mengarahkan cerekanya yang kedua, Anak Halal.

Di bawah payung syarikat penerbitan yang sama, Tayangan Unggul Sdn. Bhd (TUSB), Osman berpindah dari genre seram ke aliran drama dan aksi.

Mengemukakan permasalahan remaja di pinggir kota yang melibatkan gangsterisme serta penagihan dadah, Anak Halal adalah satu kesinambungan usaha yang dirintisnya semasa bergelar penuntut di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) lapan tahun lalu.

“Filem pendek saya yang memakai judul yang sama itu sifatnya lebih ringkas memandangkan durasinya hanya sekitar 10 minit. Begitu pun kandungannya radikal, lebih bersifat eksperimental, provokasi dan menentang.

“Berlainan dengan versi filem, Anak Halal kali ini lebih sesuai untuk tontonan massa. Fokusnya lebih menjurus kepada cerita tentang persahabatan dan kemanusiaan,” ujar Osman.

Memulakan penggambaran di sekitar Lembah Klang, termasuk kawasan Chow Kit, Rawang dan Sentul sejak 9 Ogos lalu, filem ini dibarisi wajah-wajah muda yang berbakat besar seperti Farid Kamil, Maya Karin, Fasha Sandha, Raja Farah, Zul Huzaimy, Jehan Miskin, Remmy Ishak, Bront Palare di samping Kartina Aziz dan Mislina Mustafa.



“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak mengalami sebarang masalah. Penggambaran berlangsung seperti yang dijadualkan dan mengikut jangkaan, ia akan berakhir pada awal bulan Ramadan ini,” sambung sutradara yang pernah berdepan dengan masalah teknikal yang menyebabkan Puaka Tebing Biru tertangguh berbulan lamanya.

Memakan belanja sekitar RM1.5 juta, Osman tidak menafikan Anak Halal bersandar kepada populariti barisan pelakon untuk menarik minat penonton ke pawagam.

“Saya fikir selain penceritaan yang kukuh, sesebuah karya itu bergantung kepada para pelakon untuk merealisasikan karakter-karakter yang dicipta dengan berkesan. Elemen populariti itu penting, tetapi ia haruslah seimbang dengan perlaksanaan produksi yang baik,” ulasnya.

Ditanya mengapa hasil kerjanya sering mempunyai ‘unsur-unsur gelap’ seperti kesengsaraan isteri pengidap HIV dalam Malaikat Di Jendela serta kehidupan lorong gelap pelacur dan mak nyah dalam Bukak Api, Osman ada jawapannya.

Katanya: “Saya fikir dalam kegelapan, tersembunyi seribu cerita menarik yang boleh dibongkar. Anak Halal salah satu daripadanya. Saya cuba mendramatikkan perjalanan hidup orang-orang golongan bawahan melalui satu perspektif di mana proses kehidupan bukan satu pengalaman yang mudah.”

Sejauh mana Osman berpuas hati dengan produksi keduanya? Secara realistik, dia memberitahu sebanyak mana pun kebebasan yang diperolehi seseorang pengarah, pasti terselit sedikit perasaan terkilan akibat hasrat yang tidak kesampaian.



“Sudah lumrah semasa skrip ditulis, banyak perkara yang ingin dilakukan. Namun kita juga harus sedar akan batasan atau had yang terpaksa diikut, seperti lembaga penapisan dan soal bajet. Bagaimanapun, saya beruntung apabila hajat menggunakan rakaman suara terus (tanpa dubbing) dipersetujui penerbit,” terangnya jujur.

Selepas menampilkan lakonan yang matang menerusi Remp-It, Farid Kamil terus mendapat kepercayaan pengarah untuk memegang peranan utama. Menerusi kolaborasi pertamanya dengan Osman, Farid menerajui Anak Halal dengan watak Indera Putera.

“Mungkin secara kasar orang melihat Madi (Remp-It) dan Putera mempunyai persamaan, tetapi pembawaannya sangat berlainan. Sifat Madi tertutup, gemar memendamkan perasaan sementara Putera pula lebih vokal dan berterus-terang,” ujarnya yang terpaksa membotakkan kepala demi mengikut kehendak skrip.

Menyentuh soal cabaran, beritahu aktor muda ini: “Anak Halal bukan saja menguji saya dari segi karakter, tetapi kemampuan saya sendiri sebagai seorang pelakon dan pelajar dalam masa yang sama. Bayangkan penggambaran selalunya tamat selepas subuh dan beberapa jam selepas itu saya harus menghadiri kuliah. Selesai kuliah pula, penggambaran mesti diteruskan pada waktu malam!”

Namun, itu tidak bermaksud Farid merungut. “Memang memenatkan secara fizikal dan mental, tetapi saya tidak mahu beralah kerana ini minat saya,” tegas pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Layar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini.

Dipasangkan bersama Maya Karin, akuinya, “Bila diberitahu saya bakal berlakon di samping Pelakon Wanita Terbaik Asia Pasifik, gementar juga. Untunglah dia tidak berkelakuan seperti primadona, malah banyak membantu dan sangat komited dengan kerja.”

Seperti Farid, Maya juga terpaksa mengorbankan rambutnya - tetapi dipotong sekitar tiga ke empat inci saja. “Saya tidak kisah. Nanti boleh panjang balik,” jawabnya yang kali ini memainkan peranan gadis kasar bernama Johanna.

“Semasa skrip Anak Halal tiba di tangan, saya baru hendak memulakan penggambaran filem Shuhaimi Baba, Jari Hantu. Saya fikir jika saya terima, saya pasti keletihan kerana berlakon dua filem terus tanpa rehat langsung.

“Selesai membaca skrip tersebut, saya berubah fikiran. Saya tidak mahu melepaskannya dan sanggup berkorban kerana watak yang sebaik ini tidak datang selalu,” beritahu ‘pontianak’ dekad moden ini.

Berbicara tentang karakternya, ulas gadis kacukan Melayu-Jerman ini, “Awalnya memang saya berasa janggal kerana terpaksa menukar personaliti menjadi gadis rugged yang berbahasa kasar dan datang dari latar kehidupan serba kekurangan. Begitu pun, kerjasama dari pengarah dan rakan-rakan pelakon lain banyak menyumbang kepada pembinaan karakter Johanna.”

Tidak menafikan jika penonton masih mengaitkannya dengan ‘imej’ pontianak, kata Maya, “Saya harus menerima kenyataan yang mungkin selama-lamanya orang akan ingat saya ‘pontianak’. Sebenarnya itu bukanlah petanda yang buruk, tetapi saya percaya peminat juga akan melihat kelainan dalam setiap watak baru yang saya mainkan.”

Pertama kali bekerja dengan Osman, Maya melabelkan pengarah tersebut sebagai pengarah yang paling ‘cool’ yang pernah ditemuinya. “Dia tidak tahu marah,” pintas Maya.



SINOPSIS ANAK HALAL

Hisham, seorang penjenayah yang dalam keadaan tersepit telah menyerahkan bayi lelakinya kepada seorang perempuan gila bernama Mariam (Mislina Mustafa). Mariam yang hidup di jalanan telah membesarkan anak tersebut, Indera Putera (Farid Kamil) dalam keadaan serba daif.

Mereka tinggal di kawasan setinggan, berjiran dengan Bu Leha (Kartina Aziz) dan anak perempuannya, Johanna (Maya Karin). Dalam diam, Johanna menyukai Putera tetapi perasaan itu terlindung di sebalik sifat kasarnya.

Satu hari, Mariam telah ditahan oleh pihak berkuasa menyebabkan Putera terpaksa mengikut Bu Leha dan Johanna berpindah ke Kuala Lumpur.

Membesar sebagai remaja jalanan, Putera bekerja di bengkel kereta, manakala Johanna pula membantu ibunya menjual buah-buahan di pasar Chow Kit.

Putera dan Johanna berkawan rapat dengan Erzan (Adi Putra) dan Amiera (Fasha Sandha). Kedua-duanya merupakan pengedar dan penagih dadah.

Erzan terpaksa menanggung beban hutang yang ditinggalkan ayahnya dan sentiasa menjadi buruan konco-konco Hisham. Apabila Putera mendapat tahu perkara tersebut, dia bercadang membalas dendam kepada ayahnya sendiri kerana tidak sanggup lagi melihat orang-orang yang disayanginya tertindas.