Bukan Kerana Wang
‘I’m not a superwoman’ - alun Farah Asyikin Zulkifli sebelum meninggalkan pentas One In A Million, Jumaat lalu. Lagu Karyn White itu seakan menyatakan perasaannya yang terpaksa mengundur diri dari terus berjuang merebut ganjaran RM1 juta yang ditawarkan.
Penyingkirannya atas tiket undian terendah bukanlah satu kejutan. Minggu demi minggu, prestasi gadis berusia 27 tahun dari Kuala Lumpur ini dipersoal pihak juri.
Syafinaz pernah menyifatkan posisi Farah sebagai rapuh, memberi persembahan yang tidak konsisten, terumbang-ambing dan hampir saban minggu dia berada di tangga antara tercorot.
“Saya memang menjangka akan terkeluar, malah sudah bersedia sejak beberapa minggu lalu,” akui Farah. Bukan bersikap pesimis mahupun negatif, tetapi gerak hatinya tepat berdasarkan komen-komen pedas yang dilemparkan.
“Kalau hendak fikirkan soal tekanan, saya rasa ia bukan saja datang dari pihak juri tetapi dari peminat dan diri sendiri.
“Begitu pun, saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya berjaya memasuki senarai Top 5,” sambungnya sambil menyifatkan penyertaan dalam program popular terbitan 8TV itu sebagai ‘satu perjalanan yang menakjubkan’.
Semasa menyertai Malaysian Idol musim kedua tahun lalu, Farah hanya bertahan sehingga di tempat yang ketiga. Tahun ini juga dia gagal bergelar finalis. Diuji dengan pertanyaan tidakkah berasa terkilan dengan realiti sepahit itu, dia menjawab dengan tenang.
“Mungkin kerana dua tahun berturut-turut saya menyertai pertandingan seperti ini, saya sudah kehabisan idea untuk memikat hati pengundi. Walau bagaimanapun, saya melihat Malaysian Idol dan One In A Million sebagai dua program yang berbeza. Pengalaman yang saya kutip juga berlainan.
“Sudah tiada rezeki untuk menang. Apa yang boleh saya katakan, fokus saya bukan untuk mengejar wang semata-mata tetapi ingin mencari kematangan dan hala tuju saya dalam industri muzik. Banyak yang saya belajar, sesekali saya tidak menyesal,” terangnya penuh yakin.
Sedang menyiapkan album sulungnya di bawah label Nature Records yang berkonsepkan pop fusion, kata Farah: “Pembikinannya yang sudah masuk 80 peratus terpaksa dihentikan kerana komitmen saya dengan One In A Million. Saya bercadang menyambungnya kembali selepas ini dan berharap ia dapat dipasarkan sekitar November.”
Selain Farah, yang turut berada di kedudukan terbawah minggu lalu ialah Dayang dan Alif. Meskipun memberikan persembahan yang memberangsangkan, Dayang akur dengan keputusan undian. Begitu juga dengan Alif, dia tidak terkejut dengan ramalan ramai yang mengatakan dia akan tersingkir minggu depan.
“Lumrah rancangan realiti, sesiapa pun boleh terkeluar atau menang. Carta kedudukan berubah setiap minggu. Saya menyerahkan segalanya kepada pengundi untuk membuat pilihan kerana mereka mempunyai pendapat masing-masing,” ulas Alif.
Minggu ini, dalam persaingan Top 4, setiap peserta diwajibkan menyanyi dua buah lagu di mana salah satu daripadanya adalah duet bersama artis pujaan mereka.
Alif memilih Reshmonu, Dayang serasi bersama V.E., Faizal berkolaborasi dengan kumpulan rock Deja Voodoo Spells dan Suki memilih Ella. Juri undangan ialah Zainal Abidin.
Mereka berpeluang berlatih dengan artis undangan beberapa hari sebelum persembahan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Entah bagaimana, selepas program berakhir, Faizal menyatakan susunan muzik yang dibuat semasa latihan berlainan dengan susunan muzik semasa persembahan.
“Itu menyebabkan saya seperti ‘kehilangan’ di tengah-tengah persembahan. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini dan perkara sudah berlaku. Saya berterima kasih kepada Deja Voodoo Spells atas bantuan mereka,” ujar Faizal berterus-terang.
APA KATA JURI
Muhammad Alif Satar (Alif)
Lagu: Footloose & Pretty Young Thing (duet dengan Reshmonu)
Syafinaz: Satu persembahan yang sangat, sangat menarik. Anda mempunyai energi, tetapi saya rasa anda boleh buat lebih baik dari segi susunan vokal. Untuk lagu duet, saya lihat anda dan Reshmonu seperti adik dan abang. Ertinya, Reshmonu mendahului dan anda kelihatan amatur.
Zainal: Bagus, tetapi lebih baik jika persembahan anda tidak terlalu dirancang. Bila berduet dengan artis yang outstanding seperti Reshmonu, anda harus menandinginya - baik dari segi vokal mahupun penampilan. Jaga pitching.
Paul: Persembahan pertama menghiburkan, tetapi saya tidak pasti jika lagu seperti itu relevan dengan pasaran sekarang. Untuk lagu yang kedua, sebuah kolaborasi yang menarik dan interpretasi yang segar. Sayangnya, anda terlupa berinteraksi dengan para penonton.
Dayang Nurfaizah Awang Dowty (Dayang)
Lagu: Buttons & My Boo (duet dengan V.E)
Syafinaz: Saya puji pergerakan anda yang lebih berani. Lagu ini sebenarnya ringkas, tetapi anda telah ‘mewarnakannya’ dengan baik. Anda nampak lebih rileks. Persembahan anda dengan V.E, saya tidak nampak sebarang masalah. Suara anda serasi dengan suara mereka berlima.
Zainal: Satu persembahan yang menarik untuk lagu pertama. Tetapi duet dengan V.E, saya pernah melihatnya sebelum ini. Saya mahukan lebih dari itu. Saya percaya anda ada energi dan teknik untuk berikan yang lebih bagus.
Paul: Untuk lagu yang pertama pergerakan anda terbatas. Saya tidak fikir anda sudah bergoyang sehabisnya. Saya faham ini Malaysia dan anda artis terkenal, tetapi berilah sedikit ‘kelonggaran’. Bila anda bergabung dengan V.E, anda kelihatan seperti salah seorang daripada mereka. Itu bukan petanda yang baik. Anda juga melupakan audiens di bawah.
Ahmad Faizal Mohd. Tahir (Faizal)
Lagu: Have A Nice Day & Bohemian Rhapsody (duet dengan Deja Voodoo Spells)
Syafinaz: Anda ialah peserta yang paling meninggalkan impak. Tetapi ada masanya anda terlalu hiper sehingga pergerakan menganggu fokus vokal. Saya tidak mahu menyentuh soal intonasi kerana saya fikir anda tahu di mana silapnya. Jaga stamina.
Zainal: Ada masalah pitching, hati-hati. Anda mungkin superman, tetapi bukan super singer. Lainlah kalau sudah popular dan berjaya, anda boleh lupakan semua itu asalkan penonton puas hati.
Paul: Bagi saya, pitching atau vokal sudah tidak penting kerana penonton memang mencintai anda. Orang sanggup bayar tiket untuk menonton persembahan seperti ini. Anda berani, tetapi saya fikir untuk lagu yang kedua, ia kurang berkesan.
Low Sook Yee (Suki)
Lagu: Mimpi Pun Sama & Permata Pemotong Permata (duet dengan Ella)
Syafinaz: Saya sudah beritahu perkara yang sama berulang kali, jadikan sesuatu lagu itu milik anda. Apa yang saya lihat dari minggu ke minggu, nyanyian anda sama saja. Mungkin anda boleh merujuk kepada guru vokal tentang interpretasi lagu. Untuk duet dengan Ella, saya berpuas hati tetapi adakah anda bagus kerana bantuan Ella?
Zainal: Sebutan anda tidak jelas, tidak ‘bersih’. Suara juga tidak solid. Saya rasa duet anda dengan Ella sangat ‘cantik’. Kalau dimainkan di radio, saya terpesona.
Paul: Persembahan pertama anda membosankan. Saya mahu anda berfikir, adakah dengan nyanyian seperti itu anda layak menerima ganjaran bernilai RM1 juta? Belajarlah untuk lebih bertanggungjawab. Bagaimanapun, untuk pertama kalinya anda memberikan apa yang saya mahukan bila duet anda dengan Ella berjaya menghiburkan.
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru