eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Anak Wayang Sejati

Thursday, October 12, 2006

Anak Wayang Sejati

Apabila dua beradik ini menghasilkan Diva Popular, ia ibarat satu pernyataan yang tepat mengenai diri mereka. Melihat dari erti kata ‘diva’ itu sendiri, tanpa ada maksud lain, keduanya pernah merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia dan selayaknya dilabel primadona.



Tidak sukar mencari pasangan bersaudara yang cemerlang dalam dunia sinema tempatan - nama Erma Fatima dan Umie Aida pasti terpacul. Berkongsi genetik bakat yang sama, Erma dan Umie sudah berada di paksi kejayaan masing-masing.

Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad, 38 bermula sebagai seorang pelakon. Mencipta kemasyhuran melalui Rozana Cinta 87, Hati Bukan Kristal dan Femina, Erma kemudian berjinak-jinak menduduki kerusi pengarah.

Selepas drama pertamanya, Ratu Jamu diiktiraf sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin TV3 pada tahun 1994, dia memberanikan diri mengarah filem sulung, Jimi Asmara. Menerima sokongan kuat daripada suami, Bade Hj Azmi yang juga seorang pengarah, Erma tidak menoleh ke belakang lagi sejak itu.

Menambahkan bilangan sutradara wanita berkaliber negara, Erma pernah diangkat sebagai Pengarah Filem Terbaik di Festival Filem Pyongyang, Korea Utara enam tahun lalu menerusi Perempuan Melayu Terakhir.

Cenderung mengerjakan naskhah-naskhah berbau serius dan bertema berat, termasuk filem kontroversi Embun, ramai yang memandang sinis apabila dia mengarahkan komedi seperti Diva Popular. Adakah ia satu paksaan kerana filem tersebut adalah ‘bayi pertama’ Amazon Entertainment milik Umie?

“Tidak, saya melakukannya atas tanda kasih dan cinta seorang kakak kepada adik,” akui Erma tegas lalu membuka cerita. “Apabila Umie memberitahu dia ingin menjadi penerbit, saya bersyukur kerana dia sudah pandai berfikir untuk memajukan diri.



“Sekurang-kurangnya dia mempunyai perancangan dan persediaan jangka masa panjang. Meskipun saya harus ‘beralih angin’ mengarahkan sesuatu yang ringan seperti Diva Popular, saya sanggup berkorban asalkan filem itu boleh dijual, mampu membuatkan adik saya survive untuk menerbitkan produk-produk seterusnya.”

Bukan tidak pernah bekerjasama sebelum ini, tetapi untuk Diva Popular, mereka menjalankan tanggungjawab dan posisi yang berbeza.

“Sebagai sutradara, saya menjalankan kerja pengarahan saja. Saya tidak ambil tahu soal lain, begitu juga dengan Umie yang tidak pernah mengganggu ‘kawasan’ saya. Walaupun kami adik-beradik, dia menghormati kuasa saya sebagai pengarah dan tidak pernah mempersoalkannya,” sambung Erma lagi.

Mengimbas kembali bagaimana Umie boleh terjebak dalam industri hiburan, Erma mengakui berasa kurang senang pada mulanya. “Saya tidak pernah ajak dia, dia sendiri yang ‘gatal’ cari jalan mahu berlakon,” ujarnya terus-terang.

Tambahnya: “Bukan cemburu, iri hati atau berasa tercabar, tetapi saya makan garam terlebih dulu. Saya tahu bukan senang menempatkan diri dalam dunia lakonan. Selain bakat, paras rupa dan tuah turut memainkan peranan.



“Saya katakan padanya ‘kalau mahu jadi pelakon majalah dan berlakon macam kayu, elok berhenti saja.’ Hari demi hari, saya melihat peningkatan yang dia tunjukkan dan saya tahu dia memang serius mahu menjadi anak wayang.”

Umie Aida atau nama kelahirannya, Umi Kalsom, 32 pertama kali diperkenalkan oleh Datin Rosnani Jamil melalui peranan pembantu dalam filem Memori. Membaja bakatnya menerusi drama-drama televisyen, dia tidak mengambil masa yang lama untuk meraih kepercayaan pengarah membawakan watak-watak utama.

Antara dramanya yang menggamit perhatian ialah Selamat Hari Jadi Su, Surah Terakhir, Rumah Di Tengah Sawah dan siri Salam Taj Mahal, sementara lakonannya dalam filem Embun meninggalkan kesan yang sangat kukuh di hati khalayak.

“Saya sangat berbangga apabila Umie dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik. Walaupun saya kecewa kerana Embun gagal di panggung dan tewas bergelar Filem Terbaik, saya puas hati apabila lakonan Umie dihargai. Malah, saya tidak kisah bila ada yang berkata lakonan Umie sekarang jauh lebih hebat daripada saya,” akui Erma jujur.




Umie pula menyambung, “Salah satu sebab mengapa saya memainkan watak Erna Teteyye dalam Diva Popular ialah kerana ingin membuktikan saya bukan pelakon stereotaip. Selama ini, ramai pengarah menganggap saya hanya boleh membawakan watak-watak berat dan serius.”

Menjelaskan tidak mudah untuknya menjadi Erna yang gedik dan mengada-ngada, Umie tidak gentar jika selepas ini ada peminat yang mempercayai apa yang dilakonkannya adalah kelakuan dirinya yang sebenar.

“Saya sudah fikirkan impaknya sebelum memulakan penggambaran lagi. Sebagai pelakon, saya tidak boleh melakukan kerja ‘separuh masak’. Saya gembira kalau penonton mempercayai lakonan saya kerana itu tandanya saya berjaya. Tetapi, biarlah setakat dalam panggung saja, bukan di luar,” katanya mempertahankan diri.

Menyentuh tuntutan tugas terbarunya sebagai penerbit, terangnya: “Awal-awal lagi saya sudah beritahu kepada semua, masuk saja set penggambaran, saya tidak mahu tahu soal bajet. Saya mahu fokus berlakon. Kalau ada masalah, biar penerbit penyelaras yang uruskan.




“Selepas penggambaran tamat, barulah saya terasa sukarnya menjadi produser. Meskipun Diva Popular berdepan dengan beberapa masalah termasuk kewangan, setakat ini saya belum terasa serik.”

Menganggap mempunyai kakak seperti Erma merupakan satu kelebihan, ujar Umie berseloroh: “Walaupun saya lebih mudah berbincang dan menjadikan dia sebagai rujukan, dia juga mempunyai ‘lesen’ untuk memaki hamun saya di set! Dengan pelakon lain dia tidak akan berbuat begitu.”

Turut membintangi Dukun dan Puaka Tebing Biru yang akan menjengah pawagam tahun depan, Umie bersyukur kerana dia masih dipercayai menggalas peranan utama.

“Saya percaya kepada bakat. Bukan mahu meninggi diri, tetapi saya fikir industri kita kekurangan aktres yang betul-betul berkemampuan.

“Walaupun kakak saya seorang pelakon, tetapi saya menimba ilmu dari pengalaman sendiri. Ilmu lakonan bukan boleh dipelajari daripada buku. Perjalanan hidup adalah guru lakonan saya yang terbaik,” luahnya.



Sisi lain Erma, Umie

** Kesibukan di lokasi tidak menghalang Erma untuk membuat kerja-kerja sosial. Selaku Presiden Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia, Erma mengendalikan Rumah Bakawali yang menempatkan anak-anak yatim.

Yayasan tersebut juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia menganjurkan kem-kem motivasi serta kempen sosial untuk golongan remaja.

“Yayasan menggunakan pendekatan seni dan budaya untuk mengajak golongan muda, terutamanya mereka yang bermasalah untuk ‘kembali ke akar’. Kami juga sering mengadakan konsert serta pertunjukan yang berorientasikan keIslaman,” ujar Erma.

Tahun ini, Yayasan akan menganjurkan aktiviti tahunan iaitu Malam Kasih Ramadan untuk meraikan anak-anak yatim daripada rumah-rumah kebajikan seluruh negara. Bertempat di Hotel Palace of the Golden Horses pada 17 Oktober, untuk keterangan lanjut boleh hubungi 03-4107 3364.



** Umie Aida sempat merakamkan dua buah album berjudul Redup Kerinduan (1998) dan Gema Kasih (2002). Pernah belajar vokal sehingga ke negara jiran Indonesia, kini Umie sedar bahawa percubaannya itu tidak membuahkan hasil.

“Saya memang minat menyanyi, tetapi apabila membandingkan diri saya dengan penyanyi-penyanyi yang sedia ada, saya rasa lebih baik mengalah. Saya tidak mahu menjadi ‘asal boleh’ saja dalam melakukan sesuatu. Saya sedar di mana kelemahan dan kekuatan diri,” kata Umie.