eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Kini Ratu Sumo

Wednesday, December 27, 2006

Kini Ratu Sumo



Inthira Charoenpura tiba lewat sejam dari waktu yang dijanjikan. Kerana dia ada masa empat hari saja di Kuala Lumpur, jadualnya padat dengan pelbagai sesi fotografi dan interviu televisyen.

“Penat, tetapi sudah jadi tanggungjawab. Saya tidak merungut,” jawab gadis berusia 26 tahun ini melemparkan senyuman manis. “Sebab terlalu sibuk, saya hanya sempat membeli-belah di Guardian! Mereka betul-betul suruh saya bekerja keras,” sambungnya lagi diiringi ketawa besar.

Diterbangkan khusus oleh penerbit SumoLah, Silver Omega dan Vision Works ke sini baru-baru ini, Inthira atau mesra dipanggil Sai merupakan bintang utama dalam filem kelima arahan Afdlin Shauki itu. Bertubuh lampai persis seorang peragawati, pesona Inthira bukan sekadar ‘hantu Nang Nak’ seperti yang diketahui ramai.

“Saya akui kerana filem itu saya mula menjadi perhatian. Setiap kali bertemu dengan peminat, perkara pertama yang mereka ingat ialah Nang Nak. Saya tidak kisah, saya menganggap ‘imej’ itu sebagai satu kelebihan. Bagaimanapun, itu tidak bermaksud para peminat di Thailand mengenepikan terus hasil kerja saya yang lain,” jelas anak kepada sutradara popular Rujn Ronnapop ini.



Termasuk SumoLah, Inthira sudah berlakon lapan buah filem sejak tahun 1999. Berpengalaman beraksi bersama Claire Danes dalam produksi Hollywood, Brokedown Palace dan berkongsi set dengan bintang Hong Kong, Andy Lau dalam The Fighter Blue, dia teruja apabila ditawarkan membintangi filem tempatan lewat tahun lalu.

“Afdlin sanggup datang ke Bangkok semata-mata untuk berjumpa saya. Pada waktu itu, saya bingung mengapa dia bersungguh-sungguh memujuk saya untuk terlibat dalam projek ini kerana saya tidak pernah menonton filem Malaysia, malah tidak kenal pun siapa Afdlin,” kata Inthira membuka cerita.

Mengakui berat hati menerima tawaran tersebut pada mulanya kerana dia dikehendaki bertutur dalam bahasa Melayu, bagaimanapun Inthira mempunyai alasan yang menarik apabila dia memutuskan untuk berkata ‘ya’.

“Apabila saya tanyakan kepada Afdlin siapa penulis skrip, penerbit dan pengarah, Afdlin menjawab ‘saya’. Bila saya ujarkan pertanyaan siapa pelakon yang lain, dia kata lagi ‘saya’. Saya terus jadi kagum. Dalam fikiran saya, tentu lelaki ini seorang artis yang sangat istimewa dan serba boleh,” terangnya teruja.



Sambil memuji semangat Afdlin yang tidak mudah menyerah kalah, dia terharu dengan kesungguhan sutradara hebat itu yang sanggup menghantarkan pita rakaman dialog berbahasa Melayu seperti yang tertulis di dalam skrip.

Mengambil masa sebulan untuk menghafal dan mempelajari patah-patah kata seperti yang dikehendaki, tambah Inthira: “Sebetulnya kesempatan ini sangat baik untuk saya merasai pengalaman bekerjasama dengan insan-insan seni dari negara jiran yang terhampir, apatah lagi isunya mengenai sukan Sumo yang selalunya dikaitkan dengan Jepun saja. Bagaimana Afdlin melihat sukan itu dari perspektif yang berbeza turut menarik minat saya.”

Tiga bulan menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang dan Fukuoka, Jepun, bicara Inthira mengenai karakternya Siti dalam SumoLah: “Meskipun saya tidak bercakap Siam langsung, hanya berbahasa Melayu dan Inggeris, saya tidak memandang karakter ini harus dibentuk berdasarkan semangat kewarganegaraan.

“Apa yang mustahak ialah bagaimana mahu membina perwatakan agar penonton benar-benar percaya yang saya adalah Siti, bukan Inthira atau Nang Nak.”

Selain Afdlin dan Inthira, SumoLah turut dibarisi pemain terkemuka Malaysia seperti Awie, Radhi Khalid, Gavin Yap dan Patrick Teoh yang membawakan watak tauke restoran Sushi Boleh bernama Honda iaitu bapa kepada Siti.



Tidak kekok berkimono dan berbaju kurung? Tentu saja Inthira puas makan sushi sepanjang tempoh penggambaran!

“Pakaian sekadar pakaian, tiada bezanya jika saya disuruh memakai apa jenis busana pun. Pasal makan sushi pula, ya, sudah naik jelak sampai bangun pagi hari pun asyik terhidu-hidu bau ikan,” jawab pemegang Ijazah Komunikasi dari Universiti Bangkok ini spontan.

Tidak merasakan wujudnya perbezaan berlakon dengan produksi Malaysia mahupun produksi luar, Inthira berbesar hati kerana menerusi SumoLah, dia berpeluang menggalas peranan yang lebih ringan, tidak rumit dan tidak menuntut banyak tekanan.

“Bukan mahu mendabik dada atau bercakap besar tetapi kebanyakan produser di Thailand enggan menawarkan saya karakter-karakter yang ringkas. Mereka hanya mahu mencabar saya dengan watak dari filem yang bertemakan drama berat. Saya begitu teringin berlakon cereka komedi romantis tetapi entahlah. Kata mereka saya kurang sesuai,” ujarnya seakan mengeluh.

Mula melibatkan diri dalam arena lakonan dan pengiklanan sejak berusia 13 tahun lagi, ramai peminat di sini yang tidak tahu Inthira juga seorang penyanyi rock popular. Dia pernah menghasilkan tiga buah album solo, Hour Glass, Sine dan D’Sine seawal umur 14 tahun di mana dia bertindak sebagai penerbit bersama.

Begitu pun kerana tidak mahu tamak dan percaya tidak boleh melakukan kesemuanya dalam satu masa, Inthira lebih selesa memberi fokus terhadap bidang lakonan saja buat sementara waktu.

“Saya enggan terkejar-kejar demi memenuhi permintaan orang, sedang saya sendiri tidak mampu melunaskannya dengan baik. Biarlah saya berlakon puas-puas dan mencipta kecemerlangan. Tetapi itu bukan bererti saya ingin berhenti menyanyi, cuma masanya bukan sekarang,” katanya yang menggelarkan diri seorang perfectionist.

“Kalau dalam studio rakaman, saya sering bertelingkah dengan komposer dan penerbit yang lain. Daripada membuatkan orang marah dan benci kepada saya, lebih baik saya ‘berehat’ sebentar,” sambungnya antara seloroh dan bersungguh.

Saat diujarkan jika dia sudah punya teman lelaki, tanpa teragak-agak dia pantas memberikan jawapan. “Ya, saya sedang menjalin hubungan dengan seorang gitaris rock di Thailand. Namanya Aof. Sudah lebih setahun kami bercinta,” luahnya terbuka.

Memaklumkan bahawa percintaan itu bukan satu rahsia di tempat kelahirannya, bagaimanapun Inthira mengakui ramai yang tidak tahu bagaimana mereka mula bertemu.

“Kami ‘tidak sempat’ untuk digosipkan. Pihak media dan para peminat kehairanan sejak bila kami berpacaran kerana tahu-tahu kami sudah mengaku. Mungkin cerita di sebaliknya kami simpan saja sendiri sebagai urusan peribadi,” tuturnya berhemah menutup perbualan.

2 Comments:

Anonymous Anonymous said...

adi said...

Afiq , you are so Androgynous.

Such a good write up. I had this kind of feeling last 10 years. Although some of you have made excellent point, yet, come as you are.

Act like Aristotle, behave like Prophet Mohammad.

What is wrong is still wrong.
4:13 AM

You mean Afiq tu gay boy trying to hide it....prophet mohammad why..? Kalau nak gay ikut orang lain...rock hudson ke...mwhaha jangan nak nampak respectable pegi quote nabi pula piiirah..

12:58 PM  
Blogger andi said...

wah,,,hebat gak ratu sumo ni,
aku tak tau plak yg cerita afdlin bagi rekod suara kat pompuan tu,,
wah hebat afdlin~

2:13 AM  

Post a Comment

<< Terbaru