Seram Atau Sakit?
Tajuk: The Hills Have Eyes
Genre: Seram
Pengarah: Alexandre Aja
Pelakon: Aaron Stanford, Kathleen Quinlan, Vinessa Shaw, Emili De Ravin, Dan Byrd, Tom Bower.
Penilaian: 1 bintang.
Sebagai pengilang sinema terbesar dunia, Hollywood tidak terlepas daripada mengitar semula plot yang serupa. Sebagai contoh: sebuah filem seram yang bermula dengan babak-babak percutian sebuah keluarga. Cuba teka apa yang berlaku seterusnya? Kereta yang mereka naiki rosak di tengah gurun yang tidak didiami sesiapa. Cuba teka apa yang terjadi selepas itu?
Betul. Sekumpulan manusia aneh yang terkena radiasi mula keluar daripada tempat persembunyian untuk menghapuskan mereka. Kemudian? Sudah tentu anda mampu mengagak – karakter utamanya yang sebelum ini digambarkan sebagai lemah, muncul hero menyelamatkan ahli keluarga yang lain. Jangan pelik apabila si hero ini juga berkelakuan seperti mutasi , sesuka hati membunuh dan memotong kepala si jahat demi menyelamatkan diri.
The Hills Have Eyes mungkin boleh dimaafkan dari segi jalan cerita kerana ia merupakan sebuah filem remake dengan tajuk yang sama arahan Wes Craven pada tahun 1977. (Kerana itu, adalah kurang wajar untuk membincangkan pemikiran Hollywood yang begitu stereotaip, antaranya mangsa radiasi mesti menjadi kanibal).
Sebagai pengarah pilihan Craven, Alexandre Aja mungkin menerima tekanan untuk menepati kehendak penulis asalnya. Dia juga mungkin terlalu teruja untuk memperbaharui versi lama dengan menambahkan elemen ngeri supaya ia lebih bagus, lebih menarik untuk ditonton dan lebih diingati.
Malangnya, hajat Aja tidak kesampaian kerana dia terlalu ambitious. Adegan-adegan ngeri yang membabitkan pembunuhan dan darah melimpah tidak lagi menjadi suatu perkara yang sanggup ditonton dalam filem ini. Misalnya telinga tercabut, kepala dikapak, menikam kaki dengan pemutar skru dan banyak lagi. Tonton sendiri jika berminat.
Kalau Aja mahu membuatkan penonton melompat melihat adegan-adegan sedemikian, dia mungkin berjaya tetapi pembikinannya tidak impresif. Gaya penyampaiannya bercita rasa buruk, tidak ‘secantik’ adegan ngeri dalam Saw atau Hostel. Ia boleh dikategorikan sebagai berlebih-lebihan, mampu membuatkan penonton menekup muka dalam keadaan mual dan menimbulkan rasa kurang selesa serta terganggu.
The Hills Have Eyes adalah sebuah filem seram yang tidak mempunyai integriti. Filem ini dirasakan terlalu panjang, kerana adegan demi adegan kesat dipertontonkan. Bermula daripada si bapa yang dipukul hingga lunyai dan dibakar hidup-hidup, kemudian si gadis yang dirogol oleh mutasi hodoh, beralih kepada si ibu yang sanggup membiarkan dirinya dicabul sambil memandang bayinya yang diacukan pistol di kepala dan sebagainya.
Penonton tidak salah kalau mereka keluar dari panggung dengan tergesa-gesa semasa separuh filem diputarkan. Mungkin dalam perjalanan keluar, mereka terfikir bagaimana adegan-adegan segrafik itu boleh dilepaskan untuk tayangan umum di sini.
Selain rasa loya, Aja tidak memberikan apa-apa impak kepada penonton. Karakter-karakter baik di dalam filem ini, iaitu keluarga yang menjadi mangsa, tidak mendapat secukup simpati. Aja gagal menyemai sebarang emosi dalam jiwa penonton kerana dia terlalu ghairah mencipta adegan-adegan yang menyesakkan dada sehingga pengembangan karakter terbiar.
Meskipun di hujung cerita mangsa dapat membebaskan diri, anda tidak akan mampu tersenyum. Ia tidak menggembirakan, jauh sekali menghiburkan. Seperti sifat tipikal filem-filem seram yang lain, The Hills Have Eyes juga cuba menimbulkan tanda tanya melalui adegan terakhirnya, tetapi percayalah, anda tidak berminat untuk mengetahui jika Craven atau Aja bercadang untuk membuat sekuel.
Masih ada jalur sempadan antara filem yang seram dengan filem yang ‘sakit’.
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru