Kematangan Manusia Super
Tajuk: Superman Returns
Genre: Aksi/Adventure/Fantasi
Pengarah: Bryan Singer
Para pelakon: Brandon Routh, Kate Bosworth, Kevin Spacey, James Marsden, Parker Posey, Frank Langella, Sam Huntington
Penilaian: 3 bintang
Dua dekad berlalu, Superman kembali ke layar lebar (kali terakhir ialah Superman IV: The Quest For Peace). Filem ini bukanlah sebuah remake atau sambungan kepada francais yang sebelumnya, namun ia mewarisi ‘semangat dan perasaan’ filem Superman pertama yang diterbitkan pada 1978.
Persembahan kredit pembukaan saja sudah cukup klasik, memberikan imbasan nostalgia legasi hero fantasi terunggul ini. Diikuti dengan adegan flashback Clark Kent semasa kanak-kanak, memori audiens seakan dibawa semula mengingati siapa dia Superman, sesuai dengan tajuk filem - Superman Returns.
Selama lima tahun, Superman menghilangkan diri dari bandar Metropolis, mencari kesahihan jika dia merupakan satu-satunya waris dari Planet Krypton yang masih hidup. Pulang tepat pada masa ketika musuh ketatnya, Lex Luthor telah dibebaskan dari penjara, Superman terpaksa menerima kenyataan bahawa dunia sedang ‘belajar melupakan dirinya’.
Dengan alter ego sebagai Clark Kent, dia bertugas semula sebagai pemberita di Daily Planet. Kepulangan ini menemukan kembali Clark dengan Lois Lane, yang mencintai Superman tanpa mengetahui Clark adalah orang yang sama.
Sifat Lois sebagai wartawan penuh dedikasi masih tidak berubah, cuma dia kini sudah mempunyai teman baru, Richard dan seorang anak, Jason. Dia juga telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pulitzer atas esei yang berjudul ‘mengapa dunia tidak memerlukan Superman’.
Meskipun pada penglihatan kasar Lois sudah mempunyai kehidupan yang baru, dia sebenarnya masih memendam kepahitan ditinggalkan Superman. Esei tulisannya itu seolah satu refleks di bawah sedar untuk melepaskan kemarahan.
Lex pula cuba mengaut keuntungan, ingin menjadikan masyarakat sengsara dengan menggunakan teknologi yang dicuri dari planet Krypton. Dengan pelbagai konflik yang timbul, di titik inilah Superman harus meraih semula kepercayaan dunia dan Lois terhadapnya.
Superman Returns menampilkan sebuah plot yang matang dan impresif. Tidak seperti versi-versi asalnya (yang lebih banyak menekankan aspek heroism, hubungan antara Clark dengan ibu bapa angkatnya serta percintaannya dengan Lois), filem kali ini lebih bersifat kemanusiaan.
Seperti mana Christopher Nolan mendefinisikan semula imej Batman menerusi Batman Begins, Bryan Singer melakukan perkara yang serupa kepada Superman. Dia dilihat sebagai satu karakter yang cukup legenda, berkuasa luar biasa tetapi masih rapat dengan sifat-sifat manusia normal.
Dengan bantuan cemerlang efek CGI, penonton seolah terbawa ke alam Metropolis, mempercayai bahawa di luar sana memang Superman benar-benar wujud.
Namun di sebalik kesungguhan itu (serta publisiti filem yang besar-besaran), Superman Returns tidak berjaya mengangkat Brandon Routh sedarjat dengan Christopher Reeve. Lakonannya sederhana, tidak mengujakan selain daripada berwajah tampan. Mungkin inilah kesukaran meneruskan jawatan yang telah serasi dipegang oleh Reeve.
Bukan Kate Bosworth tidak cantik, tetapi apabila penonton membandingkan dia dengan Margot Kidder, penampilan Lois dulu dan kini ibarat langit dan bumi.
Bosworth tidak memiliki kualiti yang dipunyai oleh Kidder - seksi dan berani tetapi dalam masa yang sama vulnerable. Sementara itu, Kevin Spacey merupakan pilihan yang baik untuk Lex Luthor. Dia mempunyai keupayaan untuk memberikan wajah yang multi dimensi kepada karakter tersebut.
Perancangan Warner Bros untuk menerbitkan sekuel Superman pada tahun 2009 harus dijalankan. Mungkin Lois Lane patut meneruskan niatnya menulis esei baru berjudul ‘mengapa dunia memerlukan Superman.’
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru