eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: Kembalinya Sang Puteri

Friday, July 07, 2006

Kembalinya Sang Puteri



Melangkah masuk ke kondominium mewah Datin Seri Tiara Jacquelina yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur, mata tertancap pada sekeping lukisan besar yang menghiasi dinding ruang tamu. Catan itu menggambarkan seorang wanita bertangan liuk lentuk seakan sedang menari.

“Saya langsung jatuh cinta,” kata Tiara membuka cerita sewaktu pertama kali memandang lukisan tersebut di sebuah pameran tidak lama dulu.

“Apabila berbual dengan pelukisnya, Nizam Ambia, saya seolah tidak percaya dengan apa yang diucapkan. Lukisan ini diinspirasikan daripada Puteri Gunung Ledang dan dia sudah lama berhajat untuk bertemu saya!” sambungnya dalam nada penuh ceria.

Bertemankan secangkir kopi panas, sepiring pisang goreng dan kuih lopes buatan tangan pembantu rumahnya, pagi Jumaat lalu, Tiara berkongsi berita terbarunya selepas sekian lama reda dari sebarang publisiti.

Tiara hari ini bukan lagi dilihat seperti Tiara sepuluh tahun dulu. Dia bukan lagi gadis kampung yang mencari cinta dalam Irisan-Irisan Hati, atau kerani yang berjiran dengan Mat Som, bukan juga wanita penggoda dalam Ringgit Kasorrga. Tiara kini seorang puteri.

Imej bidadari legenda itu sudah melekat padanya. Ke mana saja dia pergi, apa saja yang dilakukannya, bayang Puteri Gunung Ledang seperti dibawa bersama.

Versi filemnya mencipta kenangan yang tidak sedikit luar biasa. Merantau sampai ke Venice, menjadi calon unggul ke Anugerah Academy dan Tiara sendiri diiktiraf sebagai Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-50.

Kemudian, apabila ia dibawa ke pentas, diberikan sentuhan Broadway, Puteri Gunung Ledang melakar satu mercu tanda. Muzikalnya dikagumi, menjadi fenomena dan sampai ke saat ini, orang masih tidak berhenti bercakap mengenainya.

“Saya sendiri terbayang-bayang bila agaknya dapat mengecap kembali nikmat beraksi di atas pentas Istana Budaya,” imbas primadona hebat ini tentang impiannya mementaskan semula Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) selepas ia berakhir hujung Februari lepas.

Ternyata doanya dikabulkan apabila pentas bertaraf dunia itu memberikan kata persetujuan. “Sebenarnya kita memohon untuk pertunjukan Februari tahun depan, tetapi inilah namanya peluang dan rezeki,” tuturnya tersenyum.

Sudah tentu khabar itu disambut girang oleh seluruh tenaga kreatif yang terlibat. Masih mengekalkan kepala-kepala utama seperti Zahim Al-Bakri selaku pengarah, Roslan Aziz sebagai pengarah muzik, Raja Malik selaku pereka set dan Pat Ibrahim sebagai koreografer, PGLM kali ini turut menghimpunkan semula kebanyakan ensemble yang terbabit dalam pementasan sulung.

“Mereka semua menjerit apabila diberitahu. Seronoknya bukan kepalang apabila diminta datang latihan. Tanpa saya tahu, rupanya selama ini, mereka selalu berkumpul menari dan menyanyi lagu-lagu PGLM walaupun pementasan sudah lama selesai!” ujar Tiara bersungguh.

Seperti Tiara sendiri, meskipun masa sudah beredar lebih tiga bulan, dia masih mampu mengingati bait-bait lirik, patah kata dan langkah tari Raden Ajeng Retno Putri Dumilah.

“Harus dipertajamkan lagi. Nampaknya saya kena kembali kepada rutin dulu - jaga diet, jaga stamina, asah vokal, aduh...semasa hari pertama latihan, badan saya sakit-sakit sebab sudah lama tidak menari,” kata ibu kepada dua orang anak ini.

Meskipun kos perbelanjaan dapat dikurangkan daripada RM1.8 juta ke RM1.6 juta, Tiara berdepan dengan masalah pelakon. Selaku penerbit, dia juga bertanggungjawab atas kelancaran produksi, bukan sekadar merealisasikan watak Gusti Puteri.

Beritahunya, “Kami terpaksa mencari pengganti Bayan kerana Sukania Venugopal mempunyai komitmen lain. Begitu juga dengan AC Mizal yang memerlukan pelakon understudies kerana jadualnya agak ketat. Ertinya, AC tidak akan muncul dalam semua pementasan dan watak Adipati akan dilakonkan oleh dua aktor pada malam yang berlainan.”

Nama barisan bintang baru, termasuk pelakon cilik untuk watak Raja Ahmad, akan diumumkan tidak lama lagi. Namun demikian beberapa pemain asal sudah bersetuju untuk sama-sama turun padang seperti Adlin Aman Ramlie, Yalal Chin dan Stephen Rahman-Hughes bagi menggalas peranan Hang Tuah.

“Sepatutnya Stephen menjalani penggambaran sebuah filem di London. Nasib baiklah penerbit di sana sanggup memberikan pelepasan. Kalau tidak, saya tidak boleh bayangkan betapa susahnya mahu mencari Hang Tuah yang baru.”

Dalam keterujaan menghitung hari yang tidak sampai sebulan lagi sebelum PGLM dipentaskan semula, Tiara selalu mengingatkan dirinya dia sedang berdepan dengan satu risiko yang sangat besar.

“Pementasan sulung dulu telah mengangkat PGLM dan nama-nama yang terlibat ke satu tahap yang tinggi. Justeru, kami harus memastikan yang pementasan kedua tidak akan merosakkan atau merubah reputasi tersebut. Kami hanya punya dua pilihan - buat yang lebih baik atau mengecewakan peminat dan khalayak yang datang,” Tiara berterus-terang.

Sebelum PGLM dipentaskan kembali dari 6 Ogos hingga 21 Ogos akan datang, album runut bunyi yang dirakamkan secara langsung akan mula diedarkan pertengahan bulan ini. Enfiniti Productions juga sedang merangka strategi pengiklanan dan pemasaran bagi memantapkan sambutan.

“Bukan kejutan namanya kalau saya beritahu apa yang baru dalam PGLM kali ini. Apa yang boleh saya katakan, pementasan ini akan dipertingkatkan kualitinya dan mengambil kira segala kritikan yang pernah diberikan,” ucapnya sambil memperdengarkan album runut bunyi tersebut.

Sedang penulis ralit mengingat semula imej-imej spektakular PGLM yang masih berbekas di benak kepala, jurulatih yoga Tiara, Dominique Lonchant datang untuk memulakan sesi senaman.

“Ramai yang bertanya bagaimana saya boleh bertahan menyanyi dan menari untuk 23 persembahan lepas tanpa henti. Jawapannya ialah pengawalan pernafasan dan saya banyak belajar daripada Dominique. Inilah rahsia yang sebenar,” jelasnya sebelum penulis memohon mengundurkan diri kembali ke pejabat.

“Kita jumpa di hari persembahan nanti, ya?” pelawanya lembut.