Gimik Murahan AF4
Lima minggu Akademi Fantasia 4 (AF4) bersiaran dengan lancar tanpa sebarang ‘kezutan’. Satu demi satu pelajar tersingkir, meneruskan rutin format yang sudah termaktub sejak musim pertama lagi.
Namun demikian, malam Sabtu lalu, ASTRO mencetuskan keriuhan di kalangan penonton program realiti popular tersebut. Penyerapan semula salah seorang calon Konsert Prelude yang lalu menimbulkan banyak keraguan dan tanda tanya.
Ada yang memandang tindakan ini sebagai sesuatu yang amat terdesak ekoran AF4 dikatakan semakin lesu dan hilang sengatnya. Rasional yang diberikan ASTRO atas keputusan tersebut tidak cukup konkrit dan adil, sehingga ia dilihat sebagai satu gimik murahan yang sangat manipulatif.
Apa kewajarannya membawa Leez atau Rosliza Rosli, 19 dari Kuala Lumpur untuk kembali ke AF4 jika dia hanya diberi peluang seminggu? Hos Aznil Nawawi memaklumkan kepada penonton bahawa Leez tidak layak untuk bertanding, tidak layak untuk diundi apatah lagi bergelar juara.
“Keputusan ini dibuat untuk membuka peluang kepada calon yang terpilih merasai sendiri pengalaman belajar di AF4. Bagi berlaku adil, dia tidak boleh bertanding seperti pelajar yang lain.
“Kami melihat ini sebagai satu evolusi dalam format program. Suntikan kejutan seperti ini diharapkan dapat memberi satu sinergi baru dalam penerbitan,” kata Pengarah Kanan Program Melayu, Khairul Anwar Saleh.
Namun begitu, dari perspektif lain, tidakkah tindakan ini dilihat seperti ‘mempermain-mainkan’ Leez? Penonton sendiri dapat melihat riak wajahnya yang berubah sebaik saja status sebenarnya diumumkan. Kegirangan telah bertukar kepada senyuman kelat dan titisan airmata.
“Kami tidak fikir begitu. Kami hanya ingin menunaikan hajat mereka menyertai AF4 dan merasai suasana baru yang tidak pernah dialaminya,” pintas Khairul.
Dalam masa yang sama, tidakkah kemasukan Leez seakan ‘menceroboh’ rahsia AF4 yang sepatutnya tersimpan rapi dan tidak boleh dibawa keluar? Bukankah ini melanggar etika akademi itu sendiri?
“AF kini sudah masuk tahun keempat, jadi kami fikir banyak yang telah diketahui oleh penonton dan para pelajar. Tiada rahsia besar yang perlu kami sorokkan,” terangnya lagi.
Ditebak dengan pertanyaan mengapa pelajar yang tertinggi undiannya (Farhan) diminta membuat keputusan memilih calon yang layak, Khairul menjelaskan: “Dia ibarat ketua dalam menentukan siapa yang layak bersaing sesama mereka. Kami juga mahu dia menjadi contoh kerana telah melakukan persembahan terbaik.”
Yang nyatanya, Farhan kelihatan tertekan dan berada di dalam keadaan serba salah untuk membuat keputusan. Kasihan Farhan.
AIRMATA DIDDY
Tiada drama, tiada kata yang meleret-leret. Sebaik saja Aznil merentap tag nama yang terlekat di bagasi malang itu, nama tuan empunyanya diumumkan. Diddy atau Syamsul Hirdy Muhid dari Kuala Lumpur terpaksa menerima kenyataan.
Anak muda berusia 21 tahun itu ternyata tenang menerima keputusan. Biarpun airmata nampak bergenang di kelompak mata, dia mengerti perjalanannya di AF4 sudah berakhir. Sekurang-kurangnya hajat Diddy untuk menyanyikan lagu ibu sendiri, Airmata Kasih sudah tercapai.
“Sekurang-kurangnya dia sudah cuba membawakan lagu tersebut dengan baik. Bukan senang untuk orang muda sepertinya menyanyikan lagu lama,” tutur ibunya, Kamariah Ahmad, 55.
Tidak terguris dengan kritikan pedas yang dilemparkan, kata Kamariah lagi: “Sebenarnya, berdetik juga dalam hati bimbang kalau Diddy terkeluar minggu ini. Tetapi, doa ibu sentiasa mahukan yang terbaik untuk anaknya.
“Saya tidak ralat. Saya faham ini Akademi Fantasia. Sekurang-kurangnya saya telah memenuhi permintaannya untuk datang sendiri ke Dewan Sivik menonton. Selalunya saya tolak. Bukan apa, perasaan saya sebak bila tengok dia menyanyi secara langsung.”
Akan terus memberikan sokongan kepada Diddy untuk terus bergelar penyanyi, bapanya juga, Muhid Sulaiman, 59 menerima keputusan dengan fikiran terbuka. “Kami percaya ini bukan jalan penamat untuknya,” ujar Muhid.
APA KATA PENGKRITIK...
FAIZAL (Senandung Anak Laut)
Adnan: Elakkan daripada menekan telinga. Mungkin anda risau masalah pitching, tetapi ia mengganggu pergerakan. Untuk lagu seperti ini, anda harus membina dinamik.
Raja Azura: Sudah lama saya tidak mendengar suara segemersik ini. Semoga anda jadi juara.
Adlin: Saya ada masalah dengan nyanyian awak di rangkap pertama. Yang lain, okey.
LOTTER (Da Bomb)
Adnan: Persembahan anda menghiburkan. Kalau buat album, anda sesuai dengan konsep sebegini.
Raja Azura: Anda pandai menyanyi, tetapi tiada fokus. Mimik muka macam hendak marah. Anda kenalah jadi ‘da bomb’ juga.
Adlin: Saya dapat lihat anda sangat komited dengan setiap tugasan yang diserahkan. Anda ghairah untuk mengawal setiap ruang yang ada.
HAZIQ (Seruan)
Adnan: Lagu ini bunyinya berat, tapi feel anda macam Jeffrydin. Pergerakan anda tidak spontan. Anda kena belajar bagaimana mahu nyanyi lagu rock.
Raja Azura: Anda menyanyi seperti sedang geram. Anda tidak bebas menggunakan pentas.
Adlin: Saya ada banyak masalah dengan persembahan anda. Anda tidak faham lagu, anda tidak tahu apa yang anda buat. Anda macam tidak buat latihan langsung.
VELVET (Run Baby Run)
Adnan: Artikulasi vokal anda sangat bagus. Saya dapat menjiwai dan merasainya di dalam hati.
Raja Azura: Persembahan yang baik. Saya suka suara anda. Cuma anda kena lebih seksi.
Adlin: Kalau anda buat seksi tadi, ia sudah salah. Jadi satu dosa pula kerana anda kena tahu bagaimana mahu interpretasi lagu. Anda mesti hati-hati.
DIDDY (Airmata Kasih)
Adnan: Nyanyian anda terlalu kasar, tiada kemerduan. Tapi pitching anda tiada masalah.
Raja Azura: Saya setuju dengan Adnan. Saya rasa pakaian anda tidak sesuai. Lebih elok kalau berbaju Melayu.
Adlin: Anda harus beri nyawa pada lagu ini. Nyanyikan dengan alunan yang baik.
FARHAN (Kopi Dangdut)
Adnan: Sebagai pelajar yang cenderung pada irama R&B, saya dapat lihat lagu ini sukar untuk anda. Tetapi, persembahan anda bagus. Kalau boleh untuk genre dangdut, anda kena guna hidung untuk efek sengau.
Raja Azura: Gerak laku anda tersekat, seperti diatur-atur. Anda kena buat lebih melampau daripada ini.
Adlin: Anda tidak betul-betul ‘masuk’ dalam irama dangdut. Gedik anda tidak cukup.
AMIRUL (Sedang Ingin Bercinta)
Adnan: Pitching kena jaga, selarikan dengan tempo. Bila menari dan menyanyi sekali gus kena jaga nafas. Kalau tidak awak akan semput.
Raja Azura: Gaya anda seolah-olah penyanyi profesional. Anda lebih menonjol daripada penari-penari latar.
Adlin: Mood anda bagus. Saya gembira dengan kesungguhan anda. Saya puji dengan persembahan anda yang seimbang antara nyanyian dan tarian.
Sebelum persembahan
1. Velvet 15%
2. Lotter 15%
3. Faizal 15%
4. Farhan 15%
5. Amirul 15%
6. Diddy 14%
7. Haziq 11%
Selepas persembahan
1. Farhan 17%
2. Faizal 15%
3. Haziq 15%
4. Lotter 15%
5. Amirul 14%
6. Velvet 13%
7. Diddy 12%
0 Comments:
Post a Comment
<< Terbaru