eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: 09/06

Saturday, September 30, 2006

Meneruskan Misi Keislaman



Biarpun musim pertama Ziarah masih lagi bersiaran di Astro Ria ketika ini, penerbitnya, One-To-One View Sdn. Bhd. sudah merangka pembikinan dokumentari terbaru berjudul Trek Global.

Masih mengekalkan hos yang sama iaitu Wan Kamarudin Wan Ibrahim dan Dang Suria Zainurdin, program tersebut akan menyusuri laluan perkembangan tamadun Islam bermula di Algeria, Libya, Mesir, Turki, Syria, Iraq, Iran, Turkmenistan, Uzbekistan dan Pakistan, sehinggalah ke India dan China.

“Trek Global merupakan kesinambungan usaha dan matlamat kami dalam menerbitkan program berbentuk pengetahuan yang berorientasikan Islam. Selepas melihat respons yang baik terhadap Ziarah, kami yakin program ini juga bakal mendapat sambutan, insya Allah,” kata penerbit kanan, Zainal Rashid Ahmad.

Dijadual memulakan penggambaran pertengahan November selama dua bulan, dokumentari ini akan menyelongkar salasilah dan titik mula penyebaran agama Islam di seluruh dunia menerusi laporan 13 episod, termasuk satu episod khas tentang sejarah Islam di Malaysia dan juga di Pattani, Thailand.

“Kami sudah mendapat persetujuan secara lisan dari Astro yang menyokong pembikinan rancangan ini. Mereka sangat terbuka dengan idea yang kami ajukan. Kalau tiada aral, Trek Global akan menemui penonton sekitar Februari nanti selama sejam bagi setiap episod,” tambahnya.

Ditanya tentang kecenderungan One-To-One View menghasilkan naskhah bertemakan keIslaman bukan hanya untuk tontonan bulan Ramadan, tegas Zainal: “Akibat tragedi 11 September 2001, masyarakat Islam mendapat imej hitam dan seterusnya kita disogokkan dengan propaganda Barat dari sumber media antarabangsa yang berat sebelah.

“Sebagai sebuah negara merdeka, kami berpendapat penonton kita juga harus ‘merdeka’ dari segi maklumat. Kami ingin membentuk satu budaya kewartawanan di mana media kita sendiri berada di lokasi untuk meninjau apa sebenarnya yang terjadi, sekali gus memberikan laporan yang telus.”



Begitu pun, dia mengakui hasrat tersebut bukan mudah untuk dilaksanakan. “Apatah lagi apabila berada di kawasan garisan krisis untuk meninjau kehidupan masyarakat yang dilanda peperangan, kami berdepan dengan risiko bahaya dan isu keselamatan.

“Justeru, kami harus merancang misi dengan teliti, bukan saja melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi tetapi turut menyediakan diri dari segi fizikal dan mental,” tambahnya yang sudah berpengalaman dalam bidang penyiaran lebih sembilan tahun.

Memuji sikap dan keberanian yang ditunjukkan hos Wan Kamarudin serta Dang Suria, ujarnya, “Selain komited serta mempunyai skil pengacaraan dan kewartawanan yang baik, mereka amat memahami konsep rancangan ini. Mereka tidak minta disediakan penginapan atau makanan mewah, malah sangat tahan lasak. Tidak semua personaliti tv sanggup mengharungi atau meredah cabaran sedemikian.”

One-To-One View juga bakal meneruskan musim kedua Ziarah untuk tayangan bulan Ramadan akan datang.

“Selepas Trek Global selesai penggambaran, Ziarah musim terbaru pula akan menyusul. Kali ini, kami akan meninjau permasalahan kebuluran dan wabak pencemaran air di Afrika; merentas negara-negara Balkan sehingga ke Sepanyol serta ke Rusia dan Moscow,” beritahunya menutup bicara.

Thursday, September 28, 2006

Keakraban Punca Kemenangan

“Ke Skudai atau Langkawi. Paling jauh pun Singapura,” gurau spontan Ahmad Azahari Mohd Ali dan Reezman Esa mengenai destinasi percutian pilihan atas kemenangan pakej Golden Holidays kelas bisnes selama empat hari tiga malam.

Selain hadiah tersebut, pasangan muda yang sama-sama berusia 23 tahun itu turut membawa pulang wang tunai RM100,000 selepas dinobatkan sebagai juara program realiti lasak, Explorace: The Extreme Journey musim ketiga.

“Niat asal kami menyertai pertandingan ini sebenarnya sebab hendak masuk televisyen. Semata-mata hendak berseronok, tidak sangka pula dapat pergi ke separuh akhir dan seterusnya menjadi finalis,” kata Azhari yang ditemui semasa sidang media majlis penyampaian hadiah.

“Bila dapat ke final, kami bertekad untuk serius sedikit kerana sebelum ini rasanya kami main-main,” pintas Reezman pula.

Mengambil halangan dan tugasan yang dilalui sebagai pengalaman paling berharga, Azhari menjelaskan bahawa keakraban mereka menjadi tunjang utama kemenangan tersebut.

“Kami berjiran sejak kecil, malah sudah berkawan rapat kira-kira 19 tahun. Kami melanjutkan pelajaran di tempat yang sama, mengambil jurusan yang sama dan sekarang bekerja pun di tempat yang sama!” ujar Azhari. Masih mencari pekerjaan yang sesuai, buat masa ini mereka bertugas secara sambilan di pusat pameran Petrosains, KLCC.

Mengenai wang kemenangan, Reezman berhasrat menghadiahkan RM30,000 kepada kedua ibu bapanya yang sudah bersara.

“Bakinya saya masih belum pasti, tetapi mungkin saya dan Azahari ingin memulakan perniagaan aktiviti riadah seperti Paintball,” beritahunya yang berasal dari Taman Maluri, Kuala Lumpur. Mereka juga merancang untuk mengembara ke benua Eropah atas tiket percutian yang dihadiahkan oleh Malaysia Airlines.

Mengimbas kepayahan yang dilalui sepanjang bersama Explorace 3, Azhari dan Reezman tidak dapat melupakan cabaran pusingan pertama di Taiping, Perak.

“Kaki saya kebas sampai tujuh kali,” cerita Reezman sementara Azhari pula berkata: “Saya terpaksa berdayung sampan seorang diri sampai tiga jam. Itu tidak kira lagi dengan pengalaman mengait dan mengangkat buah kelapa sawit.”

Ternyata kesukaran itu terbalas apabila mereka menewaskan saingan, pasangan Masita Mohamad Jalil dan Noor Misbah Nasirudin Kamal serta Weng Aun dan Wong Cee Yee di pusingan akhir yang berlangsung di Delhi, India seterusnya di Kedah, Malaysia.

“Meskipun jarak masa antara juara dengan pemenang kedua dan ketiga tidak banyak beza, tetapi kami tidak menyesal. Selain kekuatan fizikal, kami tidak menolak faktor tuah menjadi penyebab utama kemenangan,” kata Misbah, 24 tahun.

Dia dan rakan sekerjanya, Masita merupakan naib juara Explorace 3. Menerima wang tunai sebanyak RM15,000 dan tiket penerbangan kelas bisnes ke mana-mana destinasi di Asia, mereka menyimpan hasrat untuk bersedekah sempena mengambil berkat bulan Ramadan.

“Selain menabung, kami juga merancang untuk belanja kawan-kawan makan besar. Mereka selalu memberikan sokongan moral dan galakan untuk kami menyertai program ini,” tambah Mislina yang merancang untuk ke Korea.

Sementara itu, Weng Aun dan Wong Cee Yee terpaksa akur dengan hadiah tempat ketiga berupa wang tunai RM5,000 dan tiket penerbangan kelas bisnes ke mana-mana destinasi Asia Tenggara.

“Mungkin kami akan ke Kemboja, tetapi ia bergantung kepada waktu cuti pasangan saya,” kata Weng Aun yang hadir seorang diri menerima hadiah kerana Cee Yee bertugas di London.

Menyentuh soal perbelanjaan yang mereka peruntukkan apabila Cee Yee terpaksa berulang-alik dari London ke Kuala Lumpur setiap kali penggambaran, ujar Weng Aun: “Kami membelanjakan hampir RM20,000 untuk tiket kapal terbang saja.

“Kalau dikira dengan kemenangan, memang tidak sepadan tetapi kami berfikiran positif dan mengambil ia sebagai satu pengalaman yang tidak boleh ditukar ganti.”

Explorace 3 yang memulakan produksinya sejak Februari lalu telah membawa 12 peserta merantau ke beberapa destinasi seperti Labuan, Pulau Pinang, Sibu, Sarawak, Kota Tinggi, Johor, Kota Bharu, Kelantan serta Bangkok, Jakarta dan Kemboja.

Pada majlis penyampaian hadiah tersebut, Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan, Pengurus Pengiklanan dan Promosi Malaysia Airlines, Fadhilah Mustaffa serta pengacara rancangan, Sasha Bashir turut hadir.

Wednesday, September 27, 2006

Mawi Sabotaj Faizal?



Dalam kepadatan jadual kerjanya, Mawi sempat menganjurkan kenduri kesyukuran dan majlis tahlil dengan kerjasama kelab peminatnya, Mawi FC dan Mawi World Sdn. Bhd. baru-baru ini. Majlis kesyukuran tersebut dianjurkan bagi meraikan kemenangannya mengaut tujuh trofi dalam Anugerah Era yang berlangsung awal bulan ini.

Dihadiri kira-kira 70 orang ahli jawatankuasa Mawi FC, wakil Mawi World Sdn. Bhd. dan Maestro, jelas Mawi: “Kami mengambil masa seminggu untuk menetapkan hari yang sesuai agar tidak bertindan dengan jadual saya. Majlis ini dianjurkan sebagai tanda terima kasih kepada para penyokong, terutamanya kelab peminat yang mengundi saya dalam Anugerah Era. Bukan tidak sangka akan menang, tetapi tidaklah sebanyak itu!”

Mawi menolak tanggapan penganjuran majlis tersebut dengan pelancaran Kelab Peminat Faizal AF4 pada hari yang sama merupakan satu tindakan sabotaj.

Terang Mawi: “Pada mulanya kami tidak merancang mengundang pihak media membuat liputan. Tetapi atas nasihat Maestro, kami fikir ada baiknya menjemput wartawan kerana mereka juga memainkan peranan penting dalam kejayaan saya selama ini. Tidak timbul soal sabotaj kerana ini merupakan majlis keagamaan.”

Turut mengadakan bacaan tahlil untuk arwah bapanya, Ani Ahmad, Mawi mengakui terasa sangat kehilangan. “Ini adalah tahun pertama saya berpuasa dan menyambut hari raya tanpa arwah. Bohonglah kalau saya kata tidak rindu kepadanya. Sesekali saya teringat masa di kampung dulu kami selalu mencari juadah berbuka bersama-sama dan naik motosikal ke masjid mengerjakan solat terawih,” imbasnya.

Sebagai tanda kenang-kenangan, Mawi telah mencuba bakatnya menulis sebuah lirik berjudul Ayah...Ku Rindu Padamu. Lagu ciptaan Razman itu bakal dimuatkan dalam album kompilasi Aidilfitri bintang-bintang AF, Salam Lebaran.



“Lagu tersebut menceritakan perasaan terkilan seorang anak yang tidak dapat berkongsi kejayaan dengan ayahnya,” ujar pemuda berusia 25 tahun ini ringkas. Mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyudahkan sebuah lirik, Mawi memberitahu dia sudah lama berniat untuk menulis seni kata tersebut.

Bakal sibuk dengan rakaman Idolaku...Yang Tercinta sepanjang bulan Ramadan, album terbarunya itu menggandingkan Mawi dengan barisan penyanyi ternama seperti M. Nasir, Jamal Abdillah, Jay Jay, Ramli Sarip, Fauziah Ahmad Daud dan Datin Siti Nurhaliza.

“Insya Allah, jika tiada aral melintang, saya akan berlepas ke Jakarta selepas Hari Raya Aidilfitri untuk mempromosikan album Doa, Berzanji Dan Qasidah Berlagu di sana,” ujarnya.

Selain sibuk dengan aktiviti seni, Mawi juga mula mengembangkan sayap ke bidang perniagaan melalui Mawi World Sdn. Bhd. Dia akan melancarkan produk air mineral pada 27 September ini, selain menjual produk-produk yang lain seperti kopiah, kemeja-T dan topi.

Tuesday, September 26, 2006

Suara Suki RM 1 Juta

Tiga bulan lalu, Suki hanyalah seorang gadis biasa yang masih menuntut di Tingkatan Lima, Sekolah Menengah King George V, Seremban, Negeri Sembilan. Hari ini, dalam sekelip mata, dia sudah bergelar jutawan.

Pasti dia sendiri tidak menyangka suara yang dimilikinya bernilai RM1 juta menurut perkiraan majoriti yang merasakan dia layak diangkat sebagai juara sulung program realiti terbitan 8TV, One In A Million (OIAM).

Bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, malam Jumaat lalu, impian Suki atau nama penuhnya Low Sook Yee telah dipenuhi oleh para peminatnya yang setia mengundi sejak program tersebut bersiaran sejak Julai lalu.

Menepis saingannya, Faizal dan Alif dengan memungut 39 peratus undian, Suki sangat berterima kasih di atas peluang yang diberikan.



“Saya tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan di dalam perkataan, selain daripada gembira dan amat bersyukur. Terima kasih Malaysia kerana mempercayai bakat dan kebolehan yang saya ada,” ujar gadis berusia 17 tahun itu selepas OIAM Grand Finale selesai.

Membawakan lagu Everything nyanyian asal M2M dan single sulungnya, Berdiri ciptaan Audi Mok/Rafidah Abdullah, Suki masih tidak terlepas dari kritikan juri Paul Moss dan Syafinaz Selamat ketika OIAM Grand Finale berlangsung.

Tidak sepedas selalu, komen-komen yang diberikan pada malam tersebut, bagaimanapun, lebih berbentuk nasihat dan kritikan yang membina. Juri seolah dapat ‘membaca’ Suki bakal dijulang sebagai pemenang.

“Saya dapat melihat kelahiran ‘sesuatu’ yang sangat istimewa malam ini,” ulas Paul. Meski pernah membuatkan Suki menangis kerana teguran kasarnya, Paul berpendapat kemenangan Suki adalah satu keputusan yang tepat.

“Secara peribadi, saya merasakan Faizal seorang penghibur yang baik dan sudah bersedia untuk merakamkan album sekarang.



“Namun demikian, apabila bercakap soal pelaburan yang melibatkan wang sejuta ringgit, kita harus melihat perkara ini dari perspektif yang lebih jauh dan meluas yang melibatkan jangka masa panjang,” sambung Paul panjang lebar.

Tersenyum tenang, Suki tidak cepat melatah apabila diajukan pertanyaan yang mendakwa nyanyiannya tidaklah sehebat Faizal sehingga ada yang merasakan dia tidak layak menerima ganjaran semahal itu.

“Saya akui persembahan Faizal mengagumkan, malah untuk lagu yang pertama saya akui keyakinan saya hampir hilang. Begitu pun, saya bertuah kerana penonton tidak jemu-jemu mengundi dan saya berjanji untuk tidak menghampakan mereka selepas ini,” jawabnya matang.

Ditanya akan perancangannya terhadap duit tersebut, pintasnya spontan: “Selepas ini saya mahu kembali ke sekolah terlebih dulu kerana sudah tiga bulan saya tidak menghadiri kelas!

“Mulanya saya memang bimbang, tidak pasti apa yang mahu dilakukan dengan wang sebanyak itu. Tetapi saya tidak perlu tergesa-gesa. Saya ingin ambil masa berbincang dengan keluarga dan pihak 8TV berhubung penerbitan album.”



Ternyata minat menyanyi yang disemai sejak berusia tiga tahun lagi mendapat balasan yang sangat lumayan. Pelaburan ibu bapanya menghantar dia ke sekolah muzik terbalas dan tidak sia-sia.

“Kerana itu, selain projek album, saya juga bercadang untuk menubuhkan sebuah sekolah muzik,” katanya penuh yakin.

Ahmad Faizal Mohd Tahir atau Faizal yang menang sorak di dalam dewan terpaksa akur di atas keputusan yang meletakkannya di tangga kedua dengan 34 peratus undi.

Nyaris tersingkir kerana mendapat undian tercorot di antara tiga finalis pada awal acara, kemasukan semula Faizal di dalam OIAM Grand Finale sebagai satu kejutan ternyata membawa sedikit kesan meskipun tidak memenangi hadiah utama.

Mempamerkan persembahan yang memberangsangkan menerusi Maha Karya Cinta serta medley I Don’t Wanna Be dan We Will Rock You, Syafinaz melabelkan pemuda berusia 28 tahun itu sebagai ‘super creative singer’ sementara Paul menaruh kepercayaan dia mampu pergi jauh.

Tidak terkilan kerana gagal, katanya: “Saya sudah diingatkan dengan kenyataan bahawa ramai yang suka, tetapi mereka belum tentu mengundi. Suki beruntung kerana dia mendapat sokongan yang padu daripada rakan-rakan serta ahli keluarga. Saya memang tewas dari segi itu.”



Mengakui sudah memberikan yang terbaik, sambungnya, “Saya tidak melihat status saya sebagai suami orang sebagai faktor utama kekalahan. Saya yakin khalayak hari ini lebih matang dan terbuka dalam membuat keputusan untuk memilih siapa yang mereka minati.”

Selepas ini, Faizal merancang untuk menerbitkan albumnya sendiri yang berkonsepkan pop rock.

Sementara itu, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Aliff Mohd Satar, 16 melihat Suki mempunyai pakej yang lengkap sebagai penyanyi. Menjadi finalis termuda OIAM, dia tidak menganggap faktor usia menjadi penyebab dia gagal bergelar jutawan.

“Bagi saya, bakat bukan hanya bermaksud suara menjadi sandaran, tetapi bagaimana seseorang penghibur itu dapat menyampaikan lagu dengan berkesan dan mengikut caranya sendiri.

“Banyak lagi perkara yang harus saya belajar selepas ini. Perancangan utama saya sekarang ialah memberi tumpuan kepada pelajaran selepas tiga bulan ‘ponteng’ sekolah,” ujar Alif yang berpersonaliti ceria.

Mengenai undian 27 peratus yang diraihnya, pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Hartamas ini membuat kesimpulan bahawa persembahannya yang tidak konsisten membuatkan pola pengundian berubah.



Menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu yang normal, bagaimanapun, Alif menyatakan keengganannya untuk menyertai mana-nama program pencarian bakat selepas ini. Ringkas dia menjawab: “Cukuplah sampai di sini.”

Pada malam OIAM Grand Finale, Alif membawakan sebuah lagu baru berjudul Khayal dan Give Me Just One Night yang pernah dipopularkan oleh kumpulan 98 Degrees.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar, sebagai pemenang utama, Suki akan bernaung di bawah label baru kelolaan stesen tv tersebut yang akan diumumkan kelak.

“Kami tidak berhak ke atas RM1 juta itu kerana ia milik Suki. Begitu pun, harus saya jelaskan sebahagian besar wang tersebut akan digunakan sebagai kos penerbitan, publisiti dan sebagainya bagi membantu perkembangan kerjaya Suki,” ujar Izham.

“Kalau boleh, kami ingin memastikan wang tersebut mampu mengembalikan pulangan yang lebih besar,” katanya lagi yang berpengalaman mengepalai syarikat rakaman Positive Tone selama sembilan tahun.

Izham juga menjelaskan buat masa ini, mereka masih belum memutuskan jika Faizal dan Alif bakal ditawarkan kontrak yang sama.



TRIVIA

* Jumlah undian keseluruhan yang diterima untuk keputusan OIAM Grand Finale ialah 120,000 undi. Sejak diterbitkan Julai lalu, OIAM menerima kira-kira 550,000 undian saja, berbanding Malaysian Idol yang menerima undian keseluruhan melebihi 1 juta untuk kedua-dua musim.

* Sorakan yang diterima Faizal selepas menjayakan persembahan kedua mengundang keriuhan di Dewan Merdeka. Para penonton memberikan standing ovation dan tidak berhenti bertepuk kira-kira lima minit lamanya menyebabkan juri Syafinaz dan Paul terpaksa menunggu sebelum memberikan komen.

* Selain lagu yang dipertandingkan, tiga finalis iaitu Suki, Faizal dan Alif turut membawakan lagu Go The Distance (Michael Bolton) dan Gemilang (Ella) pada awal acara.

* Malam OIAM Grand Finale juga diserikan dengan persembahan bekas peserta seperti Mimi, Anny, Ameen, Aliya, Zai, Lokman, Azfar dan Farah. Dayang Nurfaizah yang menyanyikan lagu Survivor mendapat tepukan paling gemuruh antara bekas peserta yang lain.

* Peserta peringkat saringan seperti Norayu (Top 80) dan Ching (Top 20) juga turut diberi peluang membuat persembahan.

Monday, September 25, 2006

Tuah Fifi

Foto: mStar.

Dua tahun lalu, Noor Hafiza Saharuddin sama seperti gadis-gadis lain yang sebaya dengannya. Baru tamat pengajian Diploma Pengurusan Maklumat daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Hafiza atau lebih selesa dipanggil Fifi giat mencari peluang kerjaya.

Sama sekali dia tidak menyangka cubaannya menghantar permohonan menyertai program realiti Asprirasiku yang menawarkan pekerjaan dalam dunia penyiaran telah membuka satu laluan yang besar.

“Ibu menyarankan saya mencuba nasib. Tidak terfikir pun hendak bergelar wartawan dan pengacara televisyen. Bukan kerana tidak minat, tetapi bimbang ketiadaan pengetahuan dalam bidang tersebut boleh menyebabkan saya tercicir,” tuturnya lembut.

Namun demikian, alang alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

“Hati saya berdetik, mungkin di sinilah rezeki saya. Sejak dari situ, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Saya mahu membuktikan dengan kesungguhan, apa pun mampu menjadi kenyataan,” sambung anak kedua daripada lima bersaudara ini.

Tuah Fifi, sebulan selepas diumumkan sebagai pemenang Aspirasiku, dia terus bekerja dengan stesen televisyen gergasi TV3. Ditugaskan untuk program Wanita Hari Ini (WHI), ketika itu dia mengakui perasaan gusar dan gugup berdepan dengan kamera masih belum hilang.



“Pengalaman selama tiga bulan bersama Aspirasiku memang tidak mencukupi. Melalui dan menerokai sendiri alam pekerjaan, sebenarnya banyak lagi yang saya tidak tahu. Kalau dulu dalam program tersebut, kebanyakan tugasan dilakukan secara berkumpulan. Tetapi sekarang saya diajar untuk berdikari,” bicaranya tersusun.

Pertama kali menonton dirinya beraksi di kaca tv, kata gadis berusia 23 tahun ini sambil ketawa: “Saya malu, dengar suara sendiri pun tak suka! Kenapalah saya bercakap lembut sangat? Rasa serba tidak kena.”

Apabila diberi tugas mengendalikan program kebajikan Bersamamu, Fifi menyedari tanggungjawabnya semakin berat.

“Pernah berlaku, saya terpaksa mengulang rakaman lebih sepuluh kali kerana sukar menghafal skrip yang disediakan. Sudahlah panjang, saya tidak diberikan waktu yang cukup untuk mengingatinya,” beritahunya.

Benarlah kata orang, pengalaman itu mendewasakan. “Lama kelamaan saya sudah terbiasa dengan situasi sedemikian. Digandingkan pula dengan bintang berpengalaman seperti Rosyam Nor dan Nanu, kini saya tidak merasakan tekanan.”

Di sebalik kegembiraannya atas sambutan khalayak yang memberangsangkan terhadap Bersamamu, Fifi mengakui program kemasyarakatan itu menyemai keinsafan dalam dirinya.

Ujarnya: “Saya menganggap tugas perantara Bersamamu sebagai satu ibadah - berkongsi penderitaan golongan yang memerlukan dengan menghebahkannya supaya lebih ramai dapat membantu.

“Kami semua bukan mahu jadi hero, sebaliknya sekadar membina platform bagi menunjukkan rasa kasih dan keprihatinan. Melalui program tersebut, saya belajar mensyukuri nikmat kurniaan Tuhan dan beringat sentiasa ada insan lain yang lebih malang daripada kita.”

Turut menjayakan program Singgah Sahur sebagai pengacara undangan di samping Ally Iskandar musim Ramadan ini, Fifi mula merasai tempias glamor dan populariti berikutan kejayaan Bersamamu.

“Kadang-kadang rasa aneh juga bila saya mula jadi perhatian orang. Tetapi setakat ini tiada masalah, ia tidak menganggu pergerakan saya,” ulasnya.

Menjadikan Nor Azlina Redzuan dan Norzie Pak Wan Chek sebagai rujukan, Fifi menepis tanggapan skeptikal sesetengah pihak yang merasakan imej bertudung menyukarkannya tampil sebagai pengacara serba boleh.

“Saya mahu menjadi personaliti tv yang dihormati dan disegani, bukan saja dari perspektif imej dan tingkah laku, tetapi dari corak program yang saya kendalikan. Bertudung bukanlah penghalang untuk saya mencuba program-program yang lain.

“Jika diberi peluang, saya teringin mengacarakan program berbentuk majalah, yang membolehkan saya melakukan pelbagai tugas dalam satu masa. Seperti Azlina dan Norzie, di sebalik kewanitaan yang ditonjolkan, mereka mempunyai sifat lasak dan tidak takut dengan cabaran. Saya amat mengagumi mereka,” terang Fifi panjang lebar.

Untuk mempersiapkan dirinya menempuh hari-hari mendatang, Fifi kini menyambung pengajian untuk melayakkannya menerima Ijazah dalam jurusan Perhubungan Awam dan Komunikasi Massa.

“Pengajian yang saya ikuti sekarang berasaskan online, sementara kelasnya hanya sekali atau dua kali sebulan. Alhamdulillah, ia tidak menganggu tugas saya di TV3,” katanya sambil melemparkan senyum.



TRIVIA

* Sebelum menyertai Aspirasiku, Fifi pernah bercita-cita memohon jawatan sebagai Inspektor Polis. “Sayangnya waktu itu hanya jawatan Konstabel yang ditawarkan,” ceritanya sambil memberitahu semasa kecil dia mempunyai banyak cita-cita, termasuk menjadi pensyarah.

* Meskipun bulan Ramadan, Fifi akan tetap meneruskan rakaman musim keenam Bersamamu dengan konsep terbaru bertajuk Bersamamu: Penuhi Impian. Gadis manis ini dikekalkan sebagai pengacara program tersebut sejak musim pertama diterbitkan Februari tahun lalu.

* Gadis berbintang Leo ini menjadikan Karnival Jom Heboh TV3 sebagai platform terbaik memperbaiki kelemahan berinteraksi dengan khalayak, baik secara langsung mahupun melalui televisyen.

* Merisik tentang hubungan akrabnya dengan teman sekerja, Fifi tersenyum sambil menjawab: “Bukan mahu merahsiakan, tetapi masih terlalu awal untuk saya membicarakan hubungan dengan si dia. Walaupun kami bertugas di bawah satu bumbung, tetapi perkenalan yang terjalin tidak bermula di sini.

“Bila sudah ada kepastian, barulah saya rasa selesa untuk berkongsi. Buat masa ini, cukuplah jika saya mengaku saya sudah ada teman istimewa.”

* Berjinak-jinak menyertai perniagaan secara e-dagang, Fifi mempelawa mereka yang berminat melawat laman webnya.

Sunday, September 24, 2006

Jackie Chan Tolak Pujian



Jackie Chan tidak mahu para peminatnya berhibur kosong. Meskipun mereka ketawa dengan komedinya, barangkali juga terlopong mulut melihat aksi lagak ngerinya, Chan ingin penonton memahami mesej yang cuba disampaikan.

“Pasti ada pengajaran yang boleh dikutip melalui filem-filem saya, tidak kiralah ia ditonjolkan dengan terang mahupun tersembunyi,” ujar Chan yang datang ke Kuala Lumpur baru-baru ini mempromosikan filem terbarunya, Rob-B-Hood.

Berganding semula dengan Benny Chan yang pernah mengarahkan filem Who Am I dan New Police Story, kali ini Chan bukan saja bertindak sebagai bintang utama dan koordinator lagak ngeri, tetapi turut memberikan idea sebagai penulis skrip.

“Walaupun peranan saya di dalam Rob-B-Hood jahat, tetapi watak tersebut turut mempunyai dimensi yang kontra,” sambungnya yang membawakan karakter seorang penculik bayi.

“Penonton dapat menyaksikan transformasi Thongs daripada seorang lelaki kasar menjadi lelaki yang berhati lembut dan penyayang.”



Jarang sekali melakonkan watak ‘hitam’ berbanding hero, katanya: “Tidak seperti dulu, sekarang saya rasa lebih seronok menjadi orang jahat. Lagipun, saya tidak mahu hanya dikenali sebagai pelakon aksi berwatak baik. Saya mahu peminat lihat kewibawaan saya membawakan pelbagai watak.”

Selain Chan, filem yang sedang ditayangkan di rangkaian pawagam tempatan ini turut dibintangi oleh Louis Koo, Michael Hui, Gao Yuanyuan dan Chen Baoguo.

Daya tarikan Rob-B-Hood bukan saja terletak pada nama-nama besar, tetapi turut bergantung kepada kemunculan istimewa seorang bayi berusia empat bulan bernama Matthew Medvedev. Dia merupakan nadi utama penceritaan filem ini.

Bercerita mengenai pengalamannya berlakon di samping Medvedev, jelas Chan panjang lebar: “Saya tidak berkesempatan menyaksikan anak-anak saya membesar. Akibat kemasyhuran saya dan bimbang mereka dikejar paparazzi, saya terpaksa menghantar mereka ke Amerika Syarikat.

“Bekerja dengan bayi comel seperti Medvedev seolah memberikan saya peluang merasai keseronokan dan kenikmatan bergelar ayah sekali lagi. Nilai-nilai kekeluargaan dan kasih sayang yang diterapkan dalam skrip filem ini bukan saja sebagai peringatan kepada penonton, tetapi untuk kesedaran saya juga.”



Ditanya mengenai penerimaan khalayak terhadap Rob-B-Hood semasa ditayangkan di Festival Filem Venice baru-baru ini, tegasnya: “Saya kurang percaya dengan apa yang mereka katakan.

“Sebenarnya saya tidak suka kalau penonton tahu yang saya menonton bersama. Mereka pastinya akan memuji dan memberikan komen-komen yang baik belaka kerana enggan mengecilkan hati.

“Saya lebih suka mencuri masuk ke dalam panggung bila lampu sudah dipadamkan. Setiap reaksi yang diberikan penonton ketika itu, sama ada ketawa, menjerit, marah atau menangis, rasanya lebih jujur.

“Mereka melakukan semua itu tanpa mengetahui kehadiran saya dan reaksi sedemikian lebih saya hargai daripada pujian yang diterima.”

Sementara itu, pengarah Benny Chan yang ikut serta dalam lawatan promosi di sini memberitahu, Rob-B-Hood menerima komentar yang positif daripada majalah filem antarabangsa seperti Variety dan Screen.

“Tidak dinafikan, Jackie Chan adalah pelaris utama filem ini tetapi kelainan yang dibawakan menerusi penampilan bayi telah mencuri perhatian. Walaupun penggambaran memakan masa yang agak panjang iaitu melebihi lima bulan, ia satu pekerjaan yang berbaloi,” tutur Benny.

Dirakamkan di sekitar Hong Kong, Benny terpaksa menggunakan empat buah kamera sepanjang pembikinan dan dua daripadanya dikhaskan untuk merakamkan aksi-aksi Medvedev.

“Bekerja dengan bayi sekecilnya bukan satu kerja yang mudah. Kita tidak dapat menjangkakan mood jika dia gembira atau meragam pada hari itu. Namun begitu, saya faham dengan fitrah semula jadi seorang bayi kerana saya sendiri mempunyai anak,” terangnya sambil tersenyum.

Berdoa agar filemnya kali ini mendapat sambutan hangat, kata Benny secara berseloroh, “Saya harap peminat tidak merasakan saya pengarah yang stereotaip. Sudah sebati dengan filem aksi, tidak mungkin saya dibenarkan oleh mana-mana penerbit untuk membuat filem serius!”

Selain Jackie Chan dan Benny Chan, bayi comel Matthew Medvedev juga menyertai rangka publisiti ke sini. Sayangnya dia masih belum pandai bercakap!

Sentiasa berada dalam dakapan ibunya, Victoria Eugenia Molina Loaiza, kata wanita berbangsa Rusia ini, Medvedev diajak berlakon oleh pembantu pengarah filem tersebut.

“Saya dan suami merupakan peminat setia Jackie Chan. Sudah tentu peluang seperti ini kami tidak lepaskan,” ujarnya yang menganggap Rob-B-Hood adalah satu memori manis buat mereka sekeluarga.

Medvedev yang berdarah kacukan Rusia dan China diberikan kebebasan oleh keluarganya untuk menentukan kerjaya masa depan. “Jika dia minat untuk berlakon lagi apabila besar kelak, kami tidak membantah,” jawab Loaiza ringkas.

SINOPSIS ROB-B-HOOD

Bagi Thongs, si kaki judi, ada perkara yang lebih menakutkannya selain daripada pemungut hutang muncul di depan pintu - bagaimana mahu menangani dan memujuk bayi menangis.

Tetapi, bagaimana jika bayi itu mampu dijadikan ‘senjata’ untuknya mengelak daripada diburu? Persoalannya mampukah dia berdepan dengan fobia lampin basah dan botol susu?

Dibesarkan dalam kemiskinan, Thongs telah tersasar dari jalan hidup yang betul setelah dibuang sekolah dan disisihkan keluarga. Terlibat dalam kancah gangsterisme, dia dipengaruhi oleh Octopus untuk bekerjasama dalam satu komplot menculik bayi seorang taikun.

Begitu pun, rancangan mereka menemui kegagalan. Bayi tersebut tidak berjaya diserahkan kepada kumpulan kongsi gelap yang terbabit menyebabkan Thongs dan Octopus terpaksa menjaganya.

Dengan bantuan jururawat berhati luhur, tuan rumah yang sukakan bayi dan seorang remaja gila-gila, dua pemuda tersebut mula memahami erti kasih sayang. Namun demikian, kegembiraan mereka di ambang bahaya kerana bayi tersebut masih menjadi buruan kumpulan kongsi gelap.

Saturday, September 23, 2006

Alam Virtual Cicak Man



Yusry pernah dituduh bermimpi di siang hari. Malah ada yang mengatakan dia terlalu bercita-cita tinggi. Begitu pun, atas semangat tidak menyerah kalah, penyanyi yang juga anggota kumpulan KRU ini berani mengambil risiko mengarahkan filem superhero pertama negara, Cicak Man.

Berpengalaman mengarahkan beberapa video muzik dan iklan televisyen, katanya: “Daripada hari pertama saya memulakan projek ini, pelbagai cabaran dan persoalan yang harus ditempuh. Namun demikian, saya percaya dengan teknologi yang ada, apa yang saya impikan tidak mustahil.”

Memulakan penggambaran awal September tahun lalu, Cicak Man baru saja selesai proses pasca produksi dan kini menunggu masa untuk masuk panggung akhir November ini. Antara lokasi yang terbabit ialah Putrajaya, Cyberjaya, Technology Park Malaysia, KL Sentral dan sekitar Lembah Klang.

“Meletakkan filem ini di bawah genre aksi komedi, Cicak Man padat dengan penggunaan kesan khas dan imej penjanaan komputer (CGI).



“Selain tugas pengarahan, saya turut bertindak secara langsung dalam proses animasi dan penciptaan efek. Hampir 350 daripada jumlah 480 shot CGI dihasilkan saya sendiri,” ujar Yusry semasa pelancaran filem tersebut di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Disokong kuat dengan penajaan daripada syarikat telekomunikasi terkemuka DiGi, Cicak Man membariskan bintang popular seperti Saiful Apek (Hairi/Cicak Man), Aznil Nawawi (Profesor Klon), Fasha Sandha (Tania), Adlin Aman Ramlie (Ginger 1), AC Mizal (Ginger 2) dan Yasmin Hani (Nadia). Yusry tidak ketinggalan memikul watak pembantu bernama Danny.

Dalam pada itu, meskipun penerimaan khalayak tempatan terhadap filem tersebut masih samar, KRU Films Sdn Bhd telah mendapatkan hak penayangan dan pengedaran di negara jiran tetangga seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand.

Menurut Penerbit Eksekutif, Norman Abd Halim, kemungkinan besar Cicak Man akan ditayangkan serentak di sini dan di Brunei, sementara waktu tayangan di negara-negara lain masih belum dipastikan kerana filem ini akan dialih suara ke bahasa masing-masing.

“Selain itu juga, kami akan cuba memasarkan Cicak Man ke peringkat antara bangsa melalui American Film Market (AFM) November nanti,” terang Norman.

Bagi memeriahkan promosi serta publisiti filem berbajet RM2 juta ini, sebuah album runut bunyi akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Diterbitkan oleh Edry, album tersebut memuatkan beberapa petikan dialog beserta lagu tema Cicak Man nyanyian The Times, Telinga Ke Tulang (Spider), Menunggumu (Ezlynn), Profesor Klon (Aznil Nawawi), Jikaku Tak Bangun Esok Pagi (Yusry), Bukan Ilusi (Dr Kronik), Diari Seorang Lelaki (Pretty Ugly) dan Dialah Aku (Syuga).

Barangan memorabilia seperti kemeja-t, topi dan rantai kunci akan turut dipasarkan, selain penerbitan novel nukilan Meor Shariman.

Selaku penaja utama, DiGi juga menawarkan pelbagai pengisian telefon mudah alih khas untuk para pelanggan mereka seperti muat turun lagu, nada dering, klip video, wallpaper, screensaver dan sebagainya.

“Hasrat kami untuk jangka masa panjang ialah menjadikan Cicak Man sebagai satu jenama. Jika tiada aral melintang, dunia virtual Cicak Man akan berterusan di kaca televisyen pula seawalnya pada tahun depan,” sambung Norman lagi.



APA KATA PELAKON

“Walau pun saya terpaksa menahan panas memakai sut Cicak Man, ‘penderitaan’ itu berbaloi apabila melihat apa yang terhasil. Grafik komputernya fantastik” - Saiful Apek

“Bukan Apek seorang saja yang panas, pelakon lain juga sama sebab kena pakai baju tebal-tebal! Saya bangga berlakon dalam filem ini dan saya harap peminat juga akan berbangga bila menontonnya” - Fasha Sandha

“Bayangkan menonton Spider Man bercakap dalam bahasa Melayu! Saya dan Adlin yang berlakon watak kembar dalam filem ini sampai sekarang tidak bercakap. Dia tidak minta maaf selepas melempang saya!” - AC Mizal

“Saya percaya inilah kekuatan yang belum pernah ditonjolkan dalam mana-mana filem tempatan” - Adlin Aman Ramlie

Sajian Mega The Banquet

Tajuk: The Banquet

Genre: Drama aksi

Pengarah: Feng Xiaogang

Pelakon: Zhang Ziyi, Ge You, Daniel Wu, Zhou Xun, Huang Xiao Ming

Penilaian: 3.5 bintang




‘Menu’ utama yang disajikan untuk The Banquet memang menarik - pengarah Feng Xiaogang (The World Without Thieves), aktres terkemuka Zhang Ziyi (Memoirs Of A Geisha), Ge You (Big Shot’s Funeral), Daniel Wu (One Night In Mongkok), Zhou Xun (Perhaps Love) dan Huang Xiao Ming (Legend Of The Dragon).

Bagi menambahkan ‘perisa’, koreografer Yuen Wo Ping (Fearless) dan calon Oscar, komposer Tan Dun (Crouching Tiger Hidden Dragon) turut diundang menjayakan produk mega berbajet besar ini.

Nama-nama tersebut sudah cukup menyimpulkan The Banquet adalah sebuah filem Asia berkelas A.

Diilhamkan secara longgar daripada karya agung Shakespeare iaitu Hamlet, The Banquet mengambil latar era Dinasti Kelima sekitar 907 hingga 960 Tahun Masihi.

Ketika itu, empayar kerajaan saling bertelingkah berebut kuasa, sementara empayar Khitan di Manchuria sedang menanti masa untuk menakluki China. Dari sisi yang lain, sejarah seorang wanita licik juga bermula.



Seiring dengan kejelitaannya, Permaisuri Wan bukan sembarangan perempuan. Bijak dan masih muda, dia mendiami kedudukan yang tinggi meskipun jiwa meronta akibat mencintai anak tiri sendiri, Putera Wu Luan.

Sementara itu, demi mengabdi hidup pada seni tari serta menghindari kongkongan istana, Wu Luan telah lari ke sebuah tempat sehinggalah dia menerima khabar ayahandanya mangkat secara mendadak.

Yakin ayahandanya mati dibunuh, Wu Luan mengambil keputusan pulang ke istana dan menyiasat keingkaran yang terjadi.

Dia menjadi lebih pasti tentang komplot pembunuhan tersebut apabila ibu tirinya, Wan sanggup mengahwini bapa saudaranya, Li yang kini mewarisi takhta kerajaan.

Bimbang rahsia terbongkar, Li mengarahkan konco-konconya menghapuskan Wu Luan. Namun usaha itu digagalkan oleh orang suruhan Wan kerana dia masih menyimpan perasaan terhadap Wu Luan.

Suatu hari, untuk meraikan ‘kejayaannya’, Li yang sudah bergelar Maharaja menganjurkan satu jamuan besar. Di titik inilah, Wu Luan bertindak menuntut bela, begitu juga dengan Wan yang mempunyai rancangannya sendiri untuk dilaksanakan.



Filem ini dibuka dengan adegan Permaisuri Wan berjalan masuk ke dalam istana. Perlahan tetapi cantik terakam, ia ibarat petunjuk awal The Banquet adalah sebuah filem yang sangat serius dari segi penataan seni dan sinematografi.

Menyaksikan filem ini, penonton akan menyedari Feng menukar adegan-adegan pertarungan yang kasar, keras dan kejam menjadi sebuah seni persembahan yang cantik dan terancang.

Sebagai contoh, lihat saja babak perkelahian antara Wan dan Wu Luan - ibarat sebuah tarian waltz yang dikoreograf!

Bajet besar yang diperuntukkan untuk filem ini dapat dilihat menerusi penyediaan set dan props yang sangat grandeur. Setiap adegan dihasilkan dengan penuh teliti, sehingga penonton merasakan perlakuan mahupun lakonan yang dipamerkan seakan mekanikal.

Benar, visual filem ini sangat mempesonakan. Anda akan teruja, terlena dan mungkin terlopong dengan efek-efek yang terhasil.

Sayangnya, The Banquet terlalu mencuba untuk menjadi klon Crouching Tiger Hidden Dragon. Ia kurang keaslian dan percubaannya untuk meletakkan diri dalam calon Oscar barangkali menemui jalan sukar.

Walau bagaimanapun, dengan menolak perspektif teknikal, filem ini masih mampu menghiburkan. Meski bergerak lambat di awal dan pertengahan cerita, plot disusun rapi agar penonton tidak terkeliru, apatah lagi skor muzik ilham Tan Dun bijak memanipulasi perasaan.

Zhang Ziyi mungkin belum sehebat Gong Li, tetapi melalui The Banquet, dia berjaya membuktikan sesuatu, sekurang-kurangnya menebus kelemahan dalam Memoirs Of A Geisha.

Daniel Wu yang sepatutnya menjadi pusat perhatian filem ini tenggelam di tangan Ge You, malah peranan wanita lemah yang dimainkan Zhou Xun lebih mendominasi.
Secara peribadi, penulis gemarkan kesudahan The Banquet. Satu rumusan yang pintar dan tepat tetapi penuh ‘muslihat’.

Friday, September 22, 2006

Umie Terpaksa Cagar Rumah



“Diva Popular adalah tanda kasih dan cinta saya pada seorang adik. Saya tidak akan mengarah filem sebegini jika penerbitnya bukan Umie Aida,” kata Erma Fatima.

“Kerana dia, saya terpaksa berubah ‘mazhab’. Cukuplah sekali saya korbankan prinsip dan kedegilan saya,” sambungnya berterus-terang semasa tayangan perdana filem tersebut di TGV, KLCC, kelmarin.

Sutradara yang terkenal menerusi filem-filem berat seperti Jimi Asmara, Perempuan Melayu Terakhir dan Embun ini pernah merajuk untuk tidak mengarah lagi. Bukan kerana kegagalan karya-karyanya, tetapi serik dan kecewa dengan industri perfileman.

“Saya bikin Diva Popular atas tanggungjawab seorang kakak kepada adiknya yang baru belajar merangkak menjadi produser. Tiada apa yang saya harapkan melalui filem ini selain ia meletup di panggung,” tambahnya lagi.

Membariskan nama-nama popular sebagai tonggak utama seperti Umie Aida sendiri, Afdlin Shauki, Ezlynn, Awie, Sheila Rusly, Azean Irdawaty dan Ellie Suriaty, Diva Popular merupakan sebuah parodi kehidupan selebriti Malaysia yang penuh glamor dan ‘kekacauan’.

Menurut Erma: “Sebaik saja Umie meminta saya mengarahkan filem sulung keluarannya, dia memberi amaran supaya buat sesuatu yang boleh dijual.

“Saya memberikan beberapa skrip kepadanya, termasuklah sebuah kisah cinta tetapi dia menolak. Sebaliknya dia mahukan filem komedi seperti drama Pengantin Popular terbitan saya beberapa tahun lalu.”

Tidak sampai sebulan Erma menulis skripnya dan filem ini kemudian menjalani penggambaran selama 35 hari.

“Bukan mahu bercakap besar, tetapi saya merasakan kerja pengarahan Diva Popular amat mudah. Saya sendiri seorang artis, jadi apa yang saya lakukan amat dekat dengan pengalaman sendiri. Jika suruh saya buat filem mengenai ahli politik, itu mungkin sukar,” jelas isteri kepada pengarah Bade Hj Azmi ini.



Pernah merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali, Erma juga mendedahkan Diva Popular adalah filem arahannya yang paling jimat menggunakan filem.

“Saya buat Jimi Asmara guna 120 gulung filem, Perempuan Melayu Terakhir 180 gulung dan Embun 235 gulung. Umie cabar saya kalau Diva Popular guna kurang daripada 100 gulung, dia akan bayar ekstra RM5,000 pada saya.

“Saya sahut cabaran itu, saya hanya guna 94 gulung filem. Tetapi janji tinggal janji, sampai sekarang dia masih berhutang dengan saya!” ujarnya.

Begitu pun, di sebalik gurauan tersebut, hati Erma tersentuh apabila memberitahu adiknya sanggup berhutang dengan bank sehingga mencagarkan rumah bagi memastikan Diva Popular menemui penonton.

“Filem ini sudah dua tahun terperap kerana kekurangan dana. Umie terpaksa meminjam duit rakan-rakan dan bank untuk membuat salinan filem, kos promosi dan sebagainya,” ulas Erma sambil menyatakan bajet keseluruhan bernilai RM1.5 juta.

Sementara itu, Umie Aida yang mengakui sangat berdebar dengan penerimaan penonton berkata: “Saya tahu risiko menerbitkan filem, tetapi sampai bila saya mahu bergelar pelakon saja? Ini peluang saya untuk lebih berdikari sekali gus melebarkan sayap sebagai seorang usahawan.”

Mengulas rasional memilih komedi sebagai buah tangan pertama, ujarnya, “Susah untuk menduga cita rasa penonton tetapi selepas melihat situasi pasaran, rasanya genre yang ringan lebih menjadi tumpuan.

“Bukan bermaksud mengenepikan kualiti, tetapi ini soal perniagaan. Biarlah saya ‘bernafas’ dulu sebelum mampu menerbitkan cereka-cereka yang berbentuk serius. Sebagai permulaan, saya mahu orang masuk panggung dan berhibur sepenuhnya apabila menonton Diva Popular.”

Diajukan pertanyaan jika filem ini cuba membuka pekung dunia artis tempatan dan memburukkan orang-orang industri hiburan, pintas Umie: “Kalau filem ini tidak diterbitkan pun, setiap hari orang boleh membaca pelbagai keburukan artis di dada akhbar dan majalah. Apa yang dipaparkan adalah realiti.

“Perkara-perkara sedemikian sebenarnya bukan saja berlaku dalam dunia hiburan, sebaliknya boleh berlaku kepada sesiapa saja. Selagi kita bernama manusia, kita tidak akan terlepas daripada kekurangan dan kesilapan.”
Diva Popular yang bakal ditayangkan mulai Hari Raya Pertama ini turut diperkuat dengan kemunculan istimewa Anita Sarawak, Datuk Sharifah Aini, Saiful Apek, Ifa Raziah, Aziz Satar, Khatijah Tan, Liza Hanim, Awal Ashaari dan pelakon Indonesia, Adam Jordan.



SINOPSIS DIVA POPULAR

Erna Teteyye (Umie Aida) merupakan seorang pelakon terkenal dan pernah meraih beberapa anugerah Aktres Terbaik. Bagaimanapun, Erna berasa tercabar dengan kemunculan bakat baru juara Malaysia Fantasia, Tasha (Ezlynn).

Perkara menjadi rumit apabila kekasih Erna, Faizal (Awie) mendapat tawaran mengarahkan filem terbitan Puan Julie (Azean Irdawaty). Faizal diminta mengambil Tasha sebagai pelakon utama, menyebabkan Erna naik angin dan mencari jalan untuk menjatuhkan lawannya.

Pertemuan dengan Datuk Seri Syeikh Sabaruddin (M. Rajoli) membuka jalan untuk Erna membalas dendam. Dengan bantuan pengurusnya Jojo (Afdlin Shauki), dia menggoda lelaki mata keranjang itu supaya dia boleh bergelar produser dan menerbitkan filemnya sendiri.

Sementara itu, Tasha terus hanyut dibuai populariti. Reputasinya sebagai artis tidak berdisiplin tersebar luas akibat sikap pengurusnya, Rin (Sheila Rusly) yang tamak mahu mengambil segala undangan lakonan dan nyanyian yang ditawarkan.

Kekalutan tercetus apabila Erna dan Tasha dicalonkan untuk Anugerah Diva Popular. Pelbagai strategi dan muslihat dipasang bagi memastikan mereka berjaya, termasuklah mengutuk dan memburukkan saingan masing-masing sehingga pertelingkahan itu terpaksa diselesaikan di mahkamah.

Thursday, September 21, 2006

Kerabat Diraja Kayangan



Raja Ahmad Alaudin cemerlang sebagai pengarah filem dan drama berat, antaranya Hati Bukan Kristal, Sempadan Kasih, Qaisy & Laila serta Miftahul Jamilah. Begitu pun, bersama buah tangan terbarunya, Kayangan, sutradara bergelar Profesor Madya ini cuba mendekati genre yang lebih ringan iaitu komedi romantik.

Menganggap percubaan itu bukan satu tugas yang mudah, jelasnya: “Mungkin ramai yang fikir mengarahkan komedi lebih senang daripada drama serius, tetapi bagi saya cabarannya berbeza. Selain plot yang menarik, saya juga bertanggungjawab memastikan ia bakal meninggalkan kesan di hati penonton.”

Dilancarkan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur baru-baru ini, Kayangan bukan saja mencatatkan sejarah peribadi buat Raja Ahmad, malah merupakan ‘kelahiran’ sulung Raden Pictures milik Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Ibni Tuanku Jaafar.

Filem yang menelan belanja RM1.4 juta ini mengutarakan tema cinta berlainan kasta, antara golongan kerabat diraja dengan orang kebanyakan. Berdasarkan cerita asal oleh Tunku Datuk Seri Mimi Wahida Wahman, idea itu dikembangkan penulis skrip Wan Hasliza Wan Zainuddin dan Noor Baizura Baharuddin.

“Setelah bertahun membuat filem berat, saya terpikat dengan undangan Raden Pictures. Berbulan lamanya kami duduk berbincang mencari formula terbaik dalam menghasilkan sesuatu yang menghiburkan,” terang Raja Ahmad.



Berpendapat ilham yang dikemukakan Tunku Mimi sangat menarik dan mempunyai sentuhan ala Hindustan, dia yakin Kayangan bukan saja menyajikan produk yang mempunyai nilai-nilai komersial, tetapi berkualiti tinggi.

“Walaupun masih baru dalam arena pembikinan filem, Tunku Nadzaruddin dan isterinya, Tunku Mimi sangat teliti dalam memastikan segalanya berjalan mengikut perancangan. Alhamdulillah, setakat ini penggambaran sudah pun selesai sebanyak 80 peratus,” sambungnya lagi.

Selaku pencetus idea, Tunku Mimi menolak andaian filem tersebut berkisarkan kehidupan golongan kerabat diraja Negeri Sembilan, walaupun sebahagian lokasi penggambaran dilakukan di sana dan menampilkan loghat daerah.

“Kayangan adalah sebuah fiksyen. Cerita dan barisan karakternya rekaan semata-mata. Begitu pun, kami cuba menjaga aspek-aspek tertentu dari perspektif budaya serta adat tertib sesebuah kerajaan agar ia tidak menyinggung sensitiviti mana-mana pihak,” ujarnya.

Berharap ‘bayi pertamanya’ akan menarik minat pengunjung ke pawagam, filem ini membariskan bintang-bintang muda dan berpengalaman seperti Nur Fazura, Eja, Nazril Idrus, Dynaz, Bienda, Puan Sri Ziela Jalil, Jalil Hamid, Dee, Opie Zami, Louisa Chong dan Mustafa Kamal.

Untuk peranan utama, Kayangan mempertaruhkan bakat terkenal sinetron Indonesia, Teuku Zacky. Sebelum ini, dia pernah muncul sebagai pelakon undangan dalam filem tempatan berjudul Gong di samping Fasha Sandha.

Menjelaskan tentang pemilihan Zacky, Tunku Nadzaruddin berkata ia bukan bermakna Raden Pictures mengenepikan aktor-aktor tanah air.

“Kami melihat ini sebagai satu strategi. Jika tiada halangan, kami bercadang memasarkan Kayangan ke Indonesia untuk jangka masa panjang. Selain itu, kami turut merasakan Zacky mempunyai pengaruh dan nama yang kuat untuk menarik masyarakat Indonesia yang bermastautin di sini mengunjungi pawagam,” katanya.

Sementara itu, Teuku Zacky mengakui tidak pernah merancang melakukan penampilan pertamanya sebagai hero di dalam filem Malaysia.

Berpengalaman empat tahun berlakon dalam banyak drama televisyen, antaranya Perkahwinan Sedarah, Cowok-Cowok Keren dan Udin Pe-ak, menurutnya: “Semuanya berlaku secara kebetulan. Sebelum ini, saya mengikat kontrak dengan sebuah syarikat penerbitan yang tidak membenarkan saya berlakon filem. Tawaran Kayangan datang tepat pada waktunya apabila saya sudah bebas dari sebarang ikatan.”

Menceritakan secara ringkas tentang karakternya, Tengku Amir, kata jejaka berusia 23 tahun ini: “Saya mencabar diri saya untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan sebutan yang betul. Agak sukar pada mulanya, tetapi dengan bantuan pengarah serta krew-krew yang terlibat, saya rasa bahasa saya sudah semakin baik.”

Mendapat pencalonan Pelakon Drama Lelaki Terbaik untuk Anugerah Televisyen Asia (ATA) tahun ini, Zacky berharap Kayangan mampu menjadi platform untuknya membina nama di negara ini.

Gandingannya, aktres sensasi Fazura pula menerima tawaran Kayangan kerana ingin bekerjasama sekali lagi dengan pengarah Raja Ahmad Alauddin.

“Selepas Qaisy & Laila, saya ‘rindu’ untuk bekerja dengannya. Selain daripada skrip dan jalan cerita yang menarik, saya juga teringin untuk berlakon di samping nama-nama besar seperti Eja, Ziela Jalil dan sebagainya,” ulas bintang jelita ini.

Melakonkan peranan gadis kampung dari Kuala Pilah bernama Maseira, sambungnya lagi, “Raja Ahmad memberi kebebasan kepada saya untuk meneroka sendiri watak tersebut. Dia tidak memberi sebarang tekanan, malah sentiasa membantu para pelakon mencari ciri-ciri karakter yang diperlukan.”

Mengagumi pasangannya, Teuku Zacky dan melabelnya sebagai aktor berbakat besar, Fazura memuji: “Dia sangat dedikasi dan berdisiplin. Saya senang dengannya.”



SINOPSIS KAYANGAN

Akibat cuai ketika memandu, Tengku Amir berjumpa dengan Maseira secara tidak sengaja. Pertemuan pertama itu bagaimanapun menimbulkan suasana yang tegang kerana perselisihan pendapat dan latar belakang kehidupan yang berbeza.

Maseira, seorang gadis kampung dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan merupakan graduan jurusan Sains Kemanusiaan. Sangat idealistik dan sinikal, dia lebih rela bekerja di bengkel ayahnya daripada menjadi mangsa kapitalisme.

Sementara itu, Tengku Amir berasal dari golongan kerabat diraja. Berpangkat Ketua Pegawai Eksekutif untuk Regalia Sdn. Bhd., dia bukan saja tampan dan bijak, malah mempunyai kekasih yang rupawan iaitu Erina, seorang peragawati terkenal.

Meski tidak sehaluan, atas dasar terhutang budi kepada ibu bapa Maseira yang membantunya semasa kemalangan, Tengku Amir menawarkan pekerjaan kepada gadis itu di pejabatnya.

Sering dipandang rendah kerana statusnya sebagai gadis kampung, Maseira menyimpan nekad untuk membuktikan yang dia tidaklah sebodoh mana. Kerana kesabaran Tengku Amir membimbingnya, tanpa diduga Maseira mula menyimpan perasaan dalam diam.

Satu hari, atas idea bernas Maseira, Regalia Sdn. Bhd. telah berjaya mendapatkan kontrak lumayan, sekali gus merapatkan hubungannya dengan Tengku Amir. Erina yang cemburu mencari jalan menyakitkan hati Maseira sehingga dia meletakkan jawatan dan pulang ke kampung.

Tuesday, September 19, 2006

Gelanggang Baru PGLM



Tuan puteri nampaknya tidak mahu duduk diam bersemayam di atas Gunung Ledang. Selepas berjaya ‘menakluki’ bumi sendiri, dia ingin melebarkan sayapnya ke tanah sebarang. Destinasi pilihan - Esplanade, Singapura.

“Saya mengimpikan peluang sebegini sejak projek Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) dimulakan tahun lalu. Akhirnya ia bakal menjadi kenyataan. Apa yang lebih mengujakan ialah tawaran itu datang tidak lama selepas ia mencipta fenomena di tanah air sendiri,” ujar Datin Seri Tiara Jacquelina penuh rasa bangga ketika dihubungi.

Sebagai muzikal terbitan anak tempatan, PGLM telah mencipta banyak rekod dan sejarah peribadi. Taruhan pertama mementaskannya di Istana Budaya selama sebulan pada Februari lalu membuahkan hasil yang sangat lumayan. Atas permintaan ramai, muzikal ini kembali untuk musim yang kedua Ogos lalu dan dianggarkan seramai 56,000 orang sudah menontonnya!



“Saya sendiri sukar untuk percaya sambutan ke atas PGLM berterusan tanpa henti. Singapura bakal menjadi laluan pertama kami untuk menemui komuniti seni di luar Malaysia,” sambungnya sambil menjelaskan bahawa undangan bertandang ke auditorium hebat itu sudah diterima sejak pementasan musim pertama lagi.

Namun begitu, untuk membawa muzikal berskala besar ke negara luar bukanlah satu tugas yang mudah.

“Semasa musim kedua, orang-orang kuat Esplanade turun ke sini dan berbincang dengan kami. Banyak perkara yang diperhalusi bagi memastikan PGLM berjaya dipentaskan di sana,” terangnya lagi yang memainkan peranan utama sebagai pelakon serta penerbit di bawah payung Enfiniti Productions.

PGLM dijadualkan bergelanggang di Esplanade pada 24 hingga 26 November ini. “Saya teruja apabila Ketua Pegawai Eksekutif Esplanade, Benson Tan secara peribadi meminta PGLM dipentaskan dalam Bahasa Melayu demi menjaga ketulenan serta keasliannya.

“Saya tidak fikir bahasa menjadi halangan untuk warga Singapura datang menonton. Mereka boleh merujuk kepada sari kata yang dipaparkan.

“Tetapi dalam perspektif yang lebih luas, apa yang paling penting ialah menikmati sesebuah pementasan itu dalam sifatnya yang tersendiri. Sebagai contoh, orang tidak faham opera dalam bahasa Itali tetapi masih berminat menyaksikannya,” kata Tiara panjang lebar.



Masih belum pasti jumlah kos yang bakal dibelanjakan, Tiara berharap PGLM di Esplanade dapat membariskan para pelakon seperti Stephen Rahman Hughes, Adlin Aman Ramlie, AC Mizal, Yalal Chin serta himpunan ensemble yang serupa.

“Tenaga kreatif juga kekal sama seperti Zahim Al-Bakri sebagai pengarah, Pat Ibrahim sebagai koreografer, Roslan Aziz selaku pengarah muzik dan Raja Malik selaku pereka set pentas,” tambahnya yang pernah merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik Asia Pasifik ke-50.

“Buat masa ini, Malik sedang sibuk mencipta semula rekaan pentas. Kami juga bercadang membina beberapa set dan props baru yang mudah alih sebagai perancangan jangka masa panjang. Sementara itu, Pat juga merangka untuk mempertajamkan lagi pergerakan serta koreografi. Kami tidak mahu sambil lewa dengan kesempatan ini,” ulas Tiara panjang lebar.

Optimis PGLM bakal menjadi platform untuk seni persembahan Malaysia berkembang sekurang-kurangnya di rantau ini, katanya sebelum menutup bicara: “Kejayaan ini merintis jalan untuk kita meraikan keindahan akar budaya atas nama seni.”

Sunday, September 17, 2006

Dunia Gelap Anak Halal



Filem komersialnya yang pertama, Tebing Puaka Biru masih menanti giliran untuk ditayangkan. Biarpun penerimaan khalayak terhadap ‘bayi sulungnya’ itu masih samar, Osman terus membuka langkah mengarahkan cerekanya yang kedua, Anak Halal.

Di bawah payung syarikat penerbitan yang sama, Tayangan Unggul Sdn. Bhd (TUSB), Osman berpindah dari genre seram ke aliran drama dan aksi.

Mengemukakan permasalahan remaja di pinggir kota yang melibatkan gangsterisme serta penagihan dadah, Anak Halal adalah satu kesinambungan usaha yang dirintisnya semasa bergelar penuntut di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) lapan tahun lalu.

“Filem pendek saya yang memakai judul yang sama itu sifatnya lebih ringkas memandangkan durasinya hanya sekitar 10 minit. Begitu pun kandungannya radikal, lebih bersifat eksperimental, provokasi dan menentang.

“Berlainan dengan versi filem, Anak Halal kali ini lebih sesuai untuk tontonan massa. Fokusnya lebih menjurus kepada cerita tentang persahabatan dan kemanusiaan,” ujar Osman.

Memulakan penggambaran di sekitar Lembah Klang, termasuk kawasan Chow Kit, Rawang dan Sentul sejak 9 Ogos lalu, filem ini dibarisi wajah-wajah muda yang berbakat besar seperti Farid Kamil, Maya Karin, Fasha Sandha, Raja Farah, Zul Huzaimy, Jehan Miskin, Remmy Ishak, Bront Palare di samping Kartina Aziz dan Mislina Mustafa.



“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak mengalami sebarang masalah. Penggambaran berlangsung seperti yang dijadualkan dan mengikut jangkaan, ia akan berakhir pada awal bulan Ramadan ini,” sambung sutradara yang pernah berdepan dengan masalah teknikal yang menyebabkan Puaka Tebing Biru tertangguh berbulan lamanya.

Memakan belanja sekitar RM1.5 juta, Osman tidak menafikan Anak Halal bersandar kepada populariti barisan pelakon untuk menarik minat penonton ke pawagam.

“Saya fikir selain penceritaan yang kukuh, sesebuah karya itu bergantung kepada para pelakon untuk merealisasikan karakter-karakter yang dicipta dengan berkesan. Elemen populariti itu penting, tetapi ia haruslah seimbang dengan perlaksanaan produksi yang baik,” ulasnya.

Ditanya mengapa hasil kerjanya sering mempunyai ‘unsur-unsur gelap’ seperti kesengsaraan isteri pengidap HIV dalam Malaikat Di Jendela serta kehidupan lorong gelap pelacur dan mak nyah dalam Bukak Api, Osman ada jawapannya.

Katanya: “Saya fikir dalam kegelapan, tersembunyi seribu cerita menarik yang boleh dibongkar. Anak Halal salah satu daripadanya. Saya cuba mendramatikkan perjalanan hidup orang-orang golongan bawahan melalui satu perspektif di mana proses kehidupan bukan satu pengalaman yang mudah.”

Sejauh mana Osman berpuas hati dengan produksi keduanya? Secara realistik, dia memberitahu sebanyak mana pun kebebasan yang diperolehi seseorang pengarah, pasti terselit sedikit perasaan terkilan akibat hasrat yang tidak kesampaian.



“Sudah lumrah semasa skrip ditulis, banyak perkara yang ingin dilakukan. Namun kita juga harus sedar akan batasan atau had yang terpaksa diikut, seperti lembaga penapisan dan soal bajet. Bagaimanapun, saya beruntung apabila hajat menggunakan rakaman suara terus (tanpa dubbing) dipersetujui penerbit,” terangnya jujur.

Selepas menampilkan lakonan yang matang menerusi Remp-It, Farid Kamil terus mendapat kepercayaan pengarah untuk memegang peranan utama. Menerusi kolaborasi pertamanya dengan Osman, Farid menerajui Anak Halal dengan watak Indera Putera.

“Mungkin secara kasar orang melihat Madi (Remp-It) dan Putera mempunyai persamaan, tetapi pembawaannya sangat berlainan. Sifat Madi tertutup, gemar memendamkan perasaan sementara Putera pula lebih vokal dan berterus-terang,” ujarnya yang terpaksa membotakkan kepala demi mengikut kehendak skrip.

Menyentuh soal cabaran, beritahu aktor muda ini: “Anak Halal bukan saja menguji saya dari segi karakter, tetapi kemampuan saya sendiri sebagai seorang pelakon dan pelajar dalam masa yang sama. Bayangkan penggambaran selalunya tamat selepas subuh dan beberapa jam selepas itu saya harus menghadiri kuliah. Selesai kuliah pula, penggambaran mesti diteruskan pada waktu malam!”

Namun, itu tidak bermaksud Farid merungut. “Memang memenatkan secara fizikal dan mental, tetapi saya tidak mahu beralah kerana ini minat saya,” tegas pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Layar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini.

Dipasangkan bersama Maya Karin, akuinya, “Bila diberitahu saya bakal berlakon di samping Pelakon Wanita Terbaik Asia Pasifik, gementar juga. Untunglah dia tidak berkelakuan seperti primadona, malah banyak membantu dan sangat komited dengan kerja.”

Seperti Farid, Maya juga terpaksa mengorbankan rambutnya - tetapi dipotong sekitar tiga ke empat inci saja. “Saya tidak kisah. Nanti boleh panjang balik,” jawabnya yang kali ini memainkan peranan gadis kasar bernama Johanna.

“Semasa skrip Anak Halal tiba di tangan, saya baru hendak memulakan penggambaran filem Shuhaimi Baba, Jari Hantu. Saya fikir jika saya terima, saya pasti keletihan kerana berlakon dua filem terus tanpa rehat langsung.

“Selesai membaca skrip tersebut, saya berubah fikiran. Saya tidak mahu melepaskannya dan sanggup berkorban kerana watak yang sebaik ini tidak datang selalu,” beritahu ‘pontianak’ dekad moden ini.

Berbicara tentang karakternya, ulas gadis kacukan Melayu-Jerman ini, “Awalnya memang saya berasa janggal kerana terpaksa menukar personaliti menjadi gadis rugged yang berbahasa kasar dan datang dari latar kehidupan serba kekurangan. Begitu pun, kerjasama dari pengarah dan rakan-rakan pelakon lain banyak menyumbang kepada pembinaan karakter Johanna.”

Tidak menafikan jika penonton masih mengaitkannya dengan ‘imej’ pontianak, kata Maya, “Saya harus menerima kenyataan yang mungkin selama-lamanya orang akan ingat saya ‘pontianak’. Sebenarnya itu bukanlah petanda yang buruk, tetapi saya percaya peminat juga akan melihat kelainan dalam setiap watak baru yang saya mainkan.”

Pertama kali bekerja dengan Osman, Maya melabelkan pengarah tersebut sebagai pengarah yang paling ‘cool’ yang pernah ditemuinya. “Dia tidak tahu marah,” pintas Maya.



SINOPSIS ANAK HALAL

Hisham, seorang penjenayah yang dalam keadaan tersepit telah menyerahkan bayi lelakinya kepada seorang perempuan gila bernama Mariam (Mislina Mustafa). Mariam yang hidup di jalanan telah membesarkan anak tersebut, Indera Putera (Farid Kamil) dalam keadaan serba daif.

Mereka tinggal di kawasan setinggan, berjiran dengan Bu Leha (Kartina Aziz) dan anak perempuannya, Johanna (Maya Karin). Dalam diam, Johanna menyukai Putera tetapi perasaan itu terlindung di sebalik sifat kasarnya.

Satu hari, Mariam telah ditahan oleh pihak berkuasa menyebabkan Putera terpaksa mengikut Bu Leha dan Johanna berpindah ke Kuala Lumpur.

Membesar sebagai remaja jalanan, Putera bekerja di bengkel kereta, manakala Johanna pula membantu ibunya menjual buah-buahan di pasar Chow Kit.

Putera dan Johanna berkawan rapat dengan Erzan (Adi Putra) dan Amiera (Fasha Sandha). Kedua-duanya merupakan pengedar dan penagih dadah.

Erzan terpaksa menanggung beban hutang yang ditinggalkan ayahnya dan sentiasa menjadi buruan konco-konco Hisham. Apabila Putera mendapat tahu perkara tersebut, dia bercadang membalas dendam kepada ayahnya sendiri kerana tidak sanggup lagi melihat orang-orang yang disayanginya tertindas.

Thursday, September 14, 2006

Kembara Emosi Lelaki



Ada beberapa sebab Bernard Chauly menghasilkan Goodbye Boys. Selepas berjaya mengarahkan filem ‘bersifat feminin’ melalui Gol & Gincu, cereka terbarunya pula cuba menerokai emosi dan dunia maskuliniti.

Disingkap melalui pengembaraan sekumpulan remaja pengakap sekolah berusia 17 tahun, plot dan penceritaan yang dipilih Bernard sangat dekat dengan dirinya secara peribadi.

“Apabila Lina Tan (penerbit Red Films) mengajak saya untuk membikin filem terbaru, idea untuk menulis kisah ini terus terlintas di fikiran.

“Saya tidak menafikan yang Goodbye Boys diasaskan secara longgar daripada autobiografi sendiri, tetapi saya percaya subjeknya sangat universal dan boleh dikaitkan dengan pengalaman semua orang,” ujar sutradara berusia 33 tahun itu.



Dijayakan oleh bakat-bakat baru yang hampir kesemuanya tidak pernah berlakon, filem tersebut membariskan Razif Hashim, Nas-T, Jay Eng, David Eng, Farid Ramlee, Tommy Kuan, Peter Khor, Daniel Henry serta Lisa Surihani.

Berkisarkan ekspedisi lapan remaja yang mengharungi 100km dalam masa lima hari sebagai syarat mendapatkan lencana Pengakap Diraja, Goodbye Boys memakan masa 15 hari penggambaran di sekitar Lembah Kinta, Ipoh, Perak.

“Saya menjadikan ekspedisi tersebut sebagai satu metafora bagi kehidupan remaja lelaki, transmisi dari penghujung zaman persekolahan ke satu alam yang baru. Setiap dari watak yang ditonjolkan mempunyai cerita, kegelisahan dan harapan tersendiri,” kata Bernard.

Sayangnya Goodbye Boys tidak akan ditayangkan di rangkaian pawagam seluruh negara. Kerana filem ini dibikin dalam format digital dan tidak menggunakan filem 35mm, ia bakal diputarkan di beberapa pawagam terpilih yang mempunyai projektor tayangan digital untuk tempoh dua hari saja iaitu pada 22 dan 23 September.

Ulas Bernard mengenai strategi tersebut, “Sebagai seorang pengarah, tanggungjawab dan fokus saya hanya kepada pengarahan. Tentang kaedah pemasaran, penajaan dan sebagainya, saya serahkan kepada pihak penerbit.”



Walau bagaimanapun, tayangan terhad itu dibuka secara percuma kepada khalayak dan tiket-tiket boleh didapati melalui peraduan yang dianjurkan oleh 8TV, Hot FM dan Fly FM yang sudah bermula sejak awal bulan ini lagi.

Goodbye Boys bertuah kerana mendapat sokongan tajaan yang kuat daripada Rexona. Sebagai satu aktiviti promosi dan publisiti, tiga buah iklan bersiri mengenai filem ini telah pun disiarkan di kaca televisyen.

Enggan mendedahkan bajet yang diperuntukkan, menurut Bernard, ini merupakan salah satu medium untuk menggalakkan lebih ramai audiens menonton filem tempatan di panggung.

“Penonton boleh datang menyaksikannya tanpa membayar sesen pun, malah akan mendapat beberapa hadiah percuma ehsan pihak penaja. Jika mereka merasakan filem ini bosan, mereka boleh meninggalkan panggung dan tidak rugi apa-apa.

“Sebaliknya jika filem ini digemari, ia boleh dijadikan titik tolak untuk menggalakkan mereka menonton filem-filem tempatan yang lain pada masa akan datang,” hujahnya.

Tambahnya lagi, “Dari perspektif pembikin filem pula, dengan adanya kepercayaan penaja seperti Rexona, kami tidak perlu pening kepala memikirkan jika filem ini box-office atau tidak. Kami melihat ia sebagai win-win situation.”

Tanpa berselindung, Bernard juga menjelaskan: “Terus-terang saya katakan, membuat Goodbye Boys adalah satu peluang keemasan. Saya bebas menentukan jalan cerita dan barisan pelakon tanpa memikirkan soal komersial. Sebagai karyawan, seboleh-bolehnya saya mahu ‘bercerita’ secara jujur tanpa ada sekatan.”

Begitu pun, penerbit sudah merancang untuk mengeluarkan Goodbye Boys dalam bentuk VCD yang dijangka berada di pasaran pada 25 September. Jika sambutan yang diterima menggalakkan, kemungkinan besar ia turut diterbitkan dalam format DVD. Hak pengedaran secara rasmi diserahkan kepada Golden Satellite Sdn. Bhd.



Ditanya mengapa tempoh tayangan di pawagam sangat singkat, Lina selaku penerbit memberitahu: “Di Malaysia cuma ada empat pawagam yang mempunyai projektor digital. Banyak filem yang sedang menanti tayangan dan tempahan sudah penuh sehingga April tahun depan.

“Kami tidak mampu menunggu terlalu lama kerana pada pertengahan Oktober ini, Goodbye Boys akan ditayangkan buat julung kalinya di Festival Filem Antarabangsa Tokyo. Oleh kerana tidak mahu meminggirkan penonton tempatan, kami membuat keputusan untuk menayangkan di Malaysia terlebih dulu, meskipun hanya dua hari.”

Dipertandingkan untuk kategori Winds of Asia, ini merupakan penyertaan Bernard kali kedua ke festival tersebut selepas Gol & Gincu.



APA KATA PELAKON

“Sepatutnya saya terlibat dalam Gol & Gincu, tetapi terpaksa menolak atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan. Justeru, apabila Bernard menawarkan peluang sekali lagi, saya terus menerimanya. Meskipun dalam Goodbye Boys saya hanya muncul beberapa adegan, ia tetap satu pengalaman berharga” - Lisa Surihani

“Sebenarnya Goodbye Boys adalah lakonan pertama saya sebelum Gol & Gincu (G&G) The Series lagi. Saya melihat Haikal (watak dalam G&G) dan Ivan sebagai dua karakter yang sangat berlainan. Saya memang suka bekerja di bawah Bernard. Kalau hendak tahu, beberapa hari selepas tamat penggambaran, dia menjadi pensyarah saya di kolej! Satu kebetulan yang sangat baik” - Razif Hashim

“Perangai saya yang sebenar memang kontra daripada apa yang saya lakonkan melalui watak Aris. Saya tidak senakalnya! Menjalani latihan lakonan lebih tiga minggu dan penggambaran selama 15 hari, saya terasa betul-betul seperti seorang pengakap. Saya tidak pernah pun menyertai pasukan beruniform itu sebelum ini” - Farid Ramlee
“Untuk merealisasikan watak Glenn, seorang pemimpin pengakap yang pendiam, saya banyak belajar melalui filem-filem Barat, misalnya filem Vin Diesel. Malangnya, filem ini dilakonkan oleh kesemua pelakon lelaki. Nasib baik ada Lisa!” - Nas-T



TRIVIA

* Undangan ke Festival Filem Antarabangsa Tokyo diterima sebelum Goodbye Boys selesai penggambaran lagi. Menurut penerbit, sebaik saja penganjur mengetahui Bernard Chauly sedang menyiapkan filem terbaru, mereka terus menghantar jemputan.

“Begitu pun, penganjur tetap menonton hasilnya terlebih dulu sebelum membuat keputusan untuk menayangkan dan mempertandingkannya di sana,” beritahu Bernard.

* Lebih 200 orang datang ke sesi uji bakat untuk membintangi filem ini. Pada mulanya, Bernard dan penerbit risau jika mereka gagal mencari pelakon yang tepat. Seramai 16 orang disenarai pendekkan dan akhirnya mereka memilih lapan yang terbaik untuk watak utama.

* Menggunakan dua buah kamera dan dua jurukamera sepanjang pembikinan, Goodbye Boys dirakamkan di 66 buah lokasi yang berlainan sekitar Ipoh, Perak.

* Ditanya watak manakah yang menggambarkan diri Bernard, dia menjawab: “Tiada satu yang spesifik. Semasa menulis skrip, saya membayangkan watak saya dan rakan-rakan lama, tetapi selepas habis penggambaran, saya fikir para pelakon telah menjadikan watak masing-masing kepunyaan mereka sendiri.”

* Untuk keterangan lanjut , layari.

Wednesday, September 13, 2006

Anugerah Mawi 06

Sila jawab satu soalan yang mudah - jika sesebuah pertandingan itu menggunakan format undian peminat, siapakah yang akan membolot kemenangan? Tanpa perlu diberikan pilihan jawapan, nama yang disebut sudah tentulah Mawi.

Setahun melayari kerjaya sebagai penyanyi, tuah anak muda dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini dicemburui ramai. Biarpun musibah pernah datang menimpa, dia tetap dihujani rezeki dan sokongan yang diterima dari para peminat tidak surut-surut.

Anugerah Era ‘06 (AE06) yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil malam Sabtu lalu membuktikan keunggulan Mawi. Daripada enam kategori yang dicalonkan, penyanyi berkepala botak ini membawa pulang lima trofi, termasuk Artis Harapan Pilihan, Irama Global Pilihan (Aduh Saliha) dan Lagu Pop Pilihan (Kian).

Meskipun berkongsi kemenangan dengan M. Nasir dalam kategori Video Muzik Pilihan (Lagu Jiwa Lagu Cinta), dia berjaya menundukkan sifunya sendiri yang pernah bergelar Pengetua Akademi Fantasia 3 (AF3) itu melalui kategori Vokal Lelaki Pilihan.



Walau bagaimanapun, bagi kategori Vokal Duo/Berkumpulan, Mawi dan M. Nasir tewas kepada Nikki dan Zahid yang berkolaborasi melalui lagu hit Caramu.

Kehabisan idea untuk berucap kerana asyik turun naik pentas, Mawi tidak jemu mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang mengundi, begitu juga dengan radio Era yang sering memutarkan lagu-lagunya.

Seperti tidak cukup kategori yang dipertandingkan untuk dia mendominasi kemenangan, trofi khas Anugerah Carta Era dan Anugerah Artis Pilihan SMS DiGi turut diserahkan kepadanya.

Anugerah Carta Era diberikan atas kecemerlangan Aduh Saliha merajai takhta carta sepanjang tahun, sementara Artis Pilihan SMS DiGi yang dimenanginya dua tahun berturut-turut melayakkannya menerima wang tunai RM10,000 dan sebuah telefon bimbit bersama talian pasca bayar tajaan syarikat telekomunikasi terkemuka itu.

“Saya tidak sangka akan menang sebegini banyak trofi. Tercalon dalam lima finalis pun sudah cukup baik,” katanya yang ditemui selepas acara berakhir.

Menganggap kemenangan besar sebagai pembakar semangat, jejaka berusia 25 tahun ini juga berasa lega kerana spekulasinya sudah kehilangan peminat terbukti meleset.

“Saya tidak menafikan kontroversi putus tunang dan gosip cinta sedikit sebanyak memberi kesan kepada kerjaya. Tetapi Alhamdulillah, saya masih dapat melihat kepercayaan peminat,” tuturnya tenang.

Diuji dengan pertanyaan adakah Mawi sedang mengikuti jejak Siti Nurhaliza yang jarang kalah dalam mana-mana pertandingan, tegasnya: “Jarak saya dan Siti terlalu jauh kalau hendak dibandingkan. Saya masih baru, banyak lagi perkara yang mahu diperbaiki. Kemenangan ini atas pemberian peminat, justeru tidak timbul soal saya menurut langkah Siti atau menggantikannya.”



Sementara itu, AE06 meneruskan tradisinya dengan mewujudkan kategori khas, Anugerah Seni Era yang didedikasikan buat karyawan filem tempatan.

Penerima tahun ini ialah Datuk Maria Menado, 74 yang terkenal dengan filem Pontianak Gua Musang, begitu juga dengan seniwati Zaiton, 68 yang julung kalinya menerima anugerah sepanjang penglibatannya dalam seni lakon sejak era sinema hitam putih.

MANGSA FESYEN DALAM MUZIK?

Saban tahun, Anugerah Era (AE) muncul dengan konsep dan tema tersendiri. Satu perkara yang harus dipuji ialah kesungguhan dan kreativiti pihak pengurusan serta produksi dalam merealisasikan konsep yang ditetapkan sebaik mungkin.

Selain menjadi acara yang paling unik dan inovatif di negara ini, trademark tersebut juga menjadikan AE sebagai acara yang paling ditunggu-tunggu khalayak.

AE06 kali ini bereksperimentasi dengan konsep Fesyen Dalam Muzik. Selain agenda menyampai dan memberi anugerah, AE06 turut memberi ruang kepada pereka fesyen muda menonjolkan kreasi mereka melalui tema yang dikhususkan iaitu ‘denim dan kulit’.

Idea barisan model memperaga fesyen di atas pentas merupakan satu ilham yang segar dan menarik. Memandangkan fesyen merupakan antara elemen terpenting dalam aliran muzik masa kini, konsep tersebut menambahkan kemeriahan suasana.

Antara pereka yang terlibat ialah Jasmi Rejab, Syaiful Baharim, Hatta Dolmat, Adnan Hassan dan Faizal Hamid.

Tidak keterlaluan jika dikatakan AE06 menjadi perintis kepada konsep sedemikian yang sering diadakan dalam acara hiburan negara Barat, misalnya Fashion Rocks serta majlis-majlis anjuran VH1.

Namun demikian, itu bukan bererti para selebriti dan tetamu undangan yang hadir harus menjadi mangsa fesyen. Tiket ‘fesyen’ tidak harus disalah gunakan untuk tampil bukan-bukan sehingga ada di antara selebriti yang kelihatan aneh, lucu dan menjadi bahan ketawa.

Kerana terlalu ingin kelihatan trendy dan fashionable, rata-rata yang berjalan di karpet merah kelihatan seperti makhluk asing. Maaf kata, para pereka pakaian seperti menjadikan artis-artis satu bahan uji kaji.



Sementara itu, hos Linda Onn dan Saiful Apek yang mengendalikan AE06 banyak menggunakan sindiran untuk menghidupkan acara. Skrip yang disediakan tidak henti-henti memerli sebilangan artis yang sering menghiasi muka depan akhbar.

Antara lain ialah kisah ‘coklat dan strawberi’ Siti serta Datuk K, cerita Mawi dan bekas tunang Ina serta adegan tarik rambut antara Rita Rudaini dan Lisdawati.

Mungkin pihak produksi merasakan kaedah sedemikian sesuatu yang melucukan, tetapi tidakkah terfikir ia mungkin menyinggung perasaan mereka yang terbabit? Mengapa perlu menggunakan kelemahan atau tragedi yang melanda orang lain sebagai bahan jenaka?

Jika sesekali gurauan itu ditimbulkan, ia tidak mengapa dan boleh dimaafkan, tetapi tidaklah sepanjang AE06 bersiaran selama tiga jam.

SENARAI PEMENANG AE06

* Artis Harapan Pilihan - Mawi
* Vokal Wanita Pilihan - Siti Nurhaliza
* Vokal Lelaki Pilihan - Mawi
* Vokal Duo/ Berkumpulan Pilihan - Nikki/ Zahid (Caramu)
* Band Pilihan - Dewa
* Irama Global Pilihan - Aduh Saliha (Mawi)
* Lagu Nasyid Pilihan - Nawaitu (Rabbani)
* Artis Inggeris Tempatan Pilihan - Estranged
* Lagu Rock Pilihan - Diari Seorang Lelaki (Pretty Ugly)
* Lagu Pop Pilihan - Kian (Mawi)
* Pilihan Kaki Wayang - Baik Punya Cilok
* Video Muzik Pilihan - Lagu Jiwa Lagu Cinta (Mawi/ M. Nasir)
* Anugerah Carta Era - Aduh Saliha (Mawi)
* Anugerah Seni Era - Datuk Mario Menado & Zaiton Abdul Hamid
* Anugerah Artis Pilihan SMS Digi - Mawi



APA KATA PEMENANG

Datuk Mario Menado
“Saya berasa syukur kerana diberi kesempatan untuk berada di atas pentas ini. Sebenarnya saya berada dalam industri perfileman selama 11 tahun dan menerbitkan lebih kurang 20 buah filem.

Jika saya melihat kembali filem lama sendiri, saya tidak berpuas hati kerana berasa saya tidak melakukannya dengan baik. Jadi saya ingin berpesan kepada bakat-bakat baru yang saya anggap seperti anak dan cucu saya sendiri, supaya serius dalam industri lakonan.”

Zaiton Abdul Hamid
“Sebenarnya saya tidak pernah menerima sebarang anugerah sejak saya mula berlakon sehingga kini. Saya berasa sangat berterima kasih kerana diberi penghormatan ini oleh Era. Kalau Awie boleh mendapat banyak anugerah, bagi saya satu anugerah pun sudah cukup memadai.”

Rabbani
“Era yakin dengan lagu kami sebab itu mereka memasukkan lagu kami dalam pencalonan. Kami memang tidak berharap untuk menang. Kami cukup menghargai peluang yang diberikan apabila dijemput untuk membuat persembahan buat kali ketiga dalam Anugerah Era. Kemenangan ini adalah satu bonus dan juga lambang peminat memberikan sokongan. Kepada kumpulan nasyid lain, jangan patah semangat untuk mencuba.”

Pretty Ugly
“Terima kasih kepada KRU kerana memberi kepercayaan kepada kami menerbitkan lagu Diari Seorang Lelaki. Kemenangan ini membuktikan peminat menyokong muzik tempatan.

“Namun, saya masih tidak bersetuju mengapa kami diletakkan bertanding bersama kumpulan Indonesia dalam satu kategori. Sampai bila kita perlu dipertandingkan sebegini. Berilah sokongan kepada industri muzik tempatan kerana orang luar tidak akan menyokong kita.”

Estranged
“Kemenangan ini memang tidak dijangkakan. Terima kasih kepada para peminat dan keluarga serta Estranged. Berilah sokongan kepada industri muzik tempatan.”

Nikki
“Bila Caramu menang, itu bukan bermakna saya dan Zahid telah menewaskan Mawi secara total. Ini adalah pilihan peminat dan kami bersyukur kerana telah berjaya memenangi hati pengundi. Tidak dinafikan, persaingan untuk Anugerah Era tahun ini sangat sengit.”



CORAT - CORET

* Sepasang baju penyampai Era, Krill atau Khairil semasa menyampaikan anugerah kelihatan seperti korset wanita. Dia sendiri seolah berasa kurang selesa untuk berdiri di atas pentas. Untuk menutup malunya, dia berpura-pura seperti seorang lelaki lembut.

* Sistem audio pada permulaan anugerah tidak bergema sehingga menyebabkan persembahan kumpulan Search tidak begitu jelas kedengaran.

* Astro mempamerkan terlalu ramai artis program realiti Akademi Fantasia (AF) sehingga menenggelamkan kemunculan artis-artis yang lain. Malah, ini menyebabkan kehadiran artis lain seperti tidak menonjol.

* Aznil Nawawi, salah seorang penyampai radio Era tidak hadir ke AE06 seperti yang diiklankan di akhbar. Khabarnya, dia mempunyai urusan lain yang tidak boleh dielakkan.

* Sokongan dan jeritan di stadium hanya kedengaran apabila nama Mawi disebut dan semasa dia berada di atas pentas menerima anugerah. Kemenangan artis lain seperti kurang dihiraukan.
* Sepatutnya Sean Ghazi yang menyanyikan lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Jeritan Batinku mengundang terus pemenang Anugerah Seni Era, Datuk Maria Menado dan Zaiton naik ke atas pentas. Tetapi idea tersebut tidak boleh dilakukan kerana para pemuzik iringan yang terlalu ramai di atas pentas.

* Menurut sumber, AE06 turut mengundang dua calon angkasawan negara sebagai penyampai anugerah. Malangnya, idea itu tidak dipersetujui oleh sesetengah pihak yang beranggapan imej angkasawan kurang sesuai dengan acara hiburan.

* Pentas AE06 kelihatan menarik dan mewah, apatah lagi ia diilhamkan daripada konsep pentas peragaan (catwalk).

* Ketika menyampaikan lagu Wo!, Zahid hampir terjatuh kerana terlalu asyik meluncur menggunakan kasut rodanya.

* Dalam banyak-banyak persembahan, gandingan Ning bersama anak didiknya, Nikki dan Yanie yang menyanyikan lagu Drama mendapat tepukan paling gemuruh. Idea Mawi menyanyikan lagu Kian dengan iringan koir kanak-kanak juga patut dipuji. Jika direnungkan, suara anak-anak gadis itu seakan mewakili suara hati seseorang yang mempunyai kaitan dengan Mawi.

Tuesday, September 12, 2006

Bukan Kerana Wang



‘I’m not a superwoman’ - alun Farah Asyikin Zulkifli sebelum meninggalkan pentas One In A Million, Jumaat lalu. Lagu Karyn White itu seakan menyatakan perasaannya yang terpaksa mengundur diri dari terus berjuang merebut ganjaran RM1 juta yang ditawarkan.

Penyingkirannya atas tiket undian terendah bukanlah satu kejutan. Minggu demi minggu, prestasi gadis berusia 27 tahun dari Kuala Lumpur ini dipersoal pihak juri.

Syafinaz pernah menyifatkan posisi Farah sebagai rapuh, memberi persembahan yang tidak konsisten, terumbang-ambing dan hampir saban minggu dia berada di tangga antara tercorot.

“Saya memang menjangka akan terkeluar, malah sudah bersedia sejak beberapa minggu lalu,” akui Farah. Bukan bersikap pesimis mahupun negatif, tetapi gerak hatinya tepat berdasarkan komen-komen pedas yang dilemparkan.

“Kalau hendak fikirkan soal tekanan, saya rasa ia bukan saja datang dari pihak juri tetapi dari peminat dan diri sendiri.

“Begitu pun, saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya berjaya memasuki senarai Top 5,” sambungnya sambil menyifatkan penyertaan dalam program popular terbitan 8TV itu sebagai ‘satu perjalanan yang menakjubkan’.

Semasa menyertai Malaysian Idol musim kedua tahun lalu, Farah hanya bertahan sehingga di tempat yang ketiga. Tahun ini juga dia gagal bergelar finalis. Diuji dengan pertanyaan tidakkah berasa terkilan dengan realiti sepahit itu, dia menjawab dengan tenang.

“Mungkin kerana dua tahun berturut-turut saya menyertai pertandingan seperti ini, saya sudah kehabisan idea untuk memikat hati pengundi. Walau bagaimanapun, saya melihat Malaysian Idol dan One In A Million sebagai dua program yang berbeza. Pengalaman yang saya kutip juga berlainan.

“Sudah tiada rezeki untuk menang. Apa yang boleh saya katakan, fokus saya bukan untuk mengejar wang semata-mata tetapi ingin mencari kematangan dan hala tuju saya dalam industri muzik. Banyak yang saya belajar, sesekali saya tidak menyesal,” terangnya penuh yakin.

Sedang menyiapkan album sulungnya di bawah label Nature Records yang berkonsepkan pop fusion, kata Farah: “Pembikinannya yang sudah masuk 80 peratus terpaksa dihentikan kerana komitmen saya dengan One In A Million. Saya bercadang menyambungnya kembali selepas ini dan berharap ia dapat dipasarkan sekitar November.”

Selain Farah, yang turut berada di kedudukan terbawah minggu lalu ialah Dayang dan Alif. Meskipun memberikan persembahan yang memberangsangkan, Dayang akur dengan keputusan undian. Begitu juga dengan Alif, dia tidak terkejut dengan ramalan ramai yang mengatakan dia akan tersingkir minggu depan.

“Lumrah rancangan realiti, sesiapa pun boleh terkeluar atau menang. Carta kedudukan berubah setiap minggu. Saya menyerahkan segalanya kepada pengundi untuk membuat pilihan kerana mereka mempunyai pendapat masing-masing,” ulas Alif.

Minggu ini, dalam persaingan Top 4, setiap peserta diwajibkan menyanyi dua buah lagu di mana salah satu daripadanya adalah duet bersama artis pujaan mereka.

Alif memilih Reshmonu, Dayang serasi bersama V.E., Faizal berkolaborasi dengan kumpulan rock Deja Voodoo Spells dan Suki memilih Ella. Juri undangan ialah Zainal Abidin.

Mereka berpeluang berlatih dengan artis undangan beberapa hari sebelum persembahan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Entah bagaimana, selepas program berakhir, Faizal menyatakan susunan muzik yang dibuat semasa latihan berlainan dengan susunan muzik semasa persembahan.

“Itu menyebabkan saya seperti ‘kehilangan’ di tengah-tengah persembahan. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini dan perkara sudah berlaku. Saya berterima kasih kepada Deja Voodoo Spells atas bantuan mereka,” ujar Faizal berterus-terang.

APA KATA JURI

Muhammad Alif Satar (Alif)
Lagu: Footloose & Pretty Young Thing (duet dengan Reshmonu)

Syafinaz: Satu persembahan yang sangat, sangat menarik. Anda mempunyai energi, tetapi saya rasa anda boleh buat lebih baik dari segi susunan vokal. Untuk lagu duet, saya lihat anda dan Reshmonu seperti adik dan abang. Ertinya, Reshmonu mendahului dan anda kelihatan amatur.

Zainal: Bagus, tetapi lebih baik jika persembahan anda tidak terlalu dirancang. Bila berduet dengan artis yang outstanding seperti Reshmonu, anda harus menandinginya - baik dari segi vokal mahupun penampilan. Jaga pitching.

Paul: Persembahan pertama menghiburkan, tetapi saya tidak pasti jika lagu seperti itu relevan dengan pasaran sekarang. Untuk lagu yang kedua, sebuah kolaborasi yang menarik dan interpretasi yang segar. Sayangnya, anda terlupa berinteraksi dengan para penonton.

Dayang Nurfaizah Awang Dowty (Dayang)
Lagu: Buttons & My Boo (duet dengan V.E)

Syafinaz: Saya puji pergerakan anda yang lebih berani. Lagu ini sebenarnya ringkas, tetapi anda telah ‘mewarnakannya’ dengan baik. Anda nampak lebih rileks. Persembahan anda dengan V.E, saya tidak nampak sebarang masalah. Suara anda serasi dengan suara mereka berlima.

Zainal: Satu persembahan yang menarik untuk lagu pertama. Tetapi duet dengan V.E, saya pernah melihatnya sebelum ini. Saya mahukan lebih dari itu. Saya percaya anda ada energi dan teknik untuk berikan yang lebih bagus.

Paul: Untuk lagu yang pertama pergerakan anda terbatas. Saya tidak fikir anda sudah bergoyang sehabisnya. Saya faham ini Malaysia dan anda artis terkenal, tetapi berilah sedikit ‘kelonggaran’. Bila anda bergabung dengan V.E, anda kelihatan seperti salah seorang daripada mereka. Itu bukan petanda yang baik. Anda juga melupakan audiens di bawah.

Ahmad Faizal Mohd. Tahir (Faizal)
Lagu: Have A Nice Day & Bohemian Rhapsody (duet dengan Deja Voodoo Spells)

Syafinaz: Anda ialah peserta yang paling meninggalkan impak. Tetapi ada masanya anda terlalu hiper sehingga pergerakan menganggu fokus vokal. Saya tidak mahu menyentuh soal intonasi kerana saya fikir anda tahu di mana silapnya. Jaga stamina.

Zainal: Ada masalah pitching, hati-hati. Anda mungkin superman, tetapi bukan super singer. Lainlah kalau sudah popular dan berjaya, anda boleh lupakan semua itu asalkan penonton puas hati.

Paul: Bagi saya, pitching atau vokal sudah tidak penting kerana penonton memang mencintai anda. Orang sanggup bayar tiket untuk menonton persembahan seperti ini. Anda berani, tetapi saya fikir untuk lagu yang kedua, ia kurang berkesan.

Low Sook Yee (Suki)
Lagu: Mimpi Pun Sama & Permata Pemotong Permata (duet dengan Ella)

Syafinaz: Saya sudah beritahu perkara yang sama berulang kali, jadikan sesuatu lagu itu milik anda. Apa yang saya lihat dari minggu ke minggu, nyanyian anda sama saja. Mungkin anda boleh merujuk kepada guru vokal tentang interpretasi lagu. Untuk duet dengan Ella, saya berpuas hati tetapi adakah anda bagus kerana bantuan Ella?

Zainal: Sebutan anda tidak jelas, tidak ‘bersih’. Suara juga tidak solid. Saya rasa duet anda dengan Ella sangat ‘cantik’. Kalau dimainkan di radio, saya terpesona.

Paul: Persembahan pertama anda membosankan. Saya mahu anda berfikir, adakah dengan nyanyian seperti itu anda layak menerima ganjaran bernilai RM1 juta? Belajarlah untuk lebih bertanggungjawab. Bagaimanapun, untuk pertama kalinya anda memberikan apa yang saya mahukan bila duet anda dengan Ella berjaya menghiburkan.