eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: 10/06

Sunday, October 29, 2006

Syawal Kris dan Camelia

Mereka bersua lagi selang beberapa minggu selepas konsert amal Force of Nature Yogyakarta Quake Aid 2006 dianjurkan Ogos lalu.

Barangkali kerana tidak puas berkongsi cerita dalam pertemuan lepas, kedua bintang cantik ini tidak henti bercakap walaupun jurukamera sudah memberi isyarat untuk merakamkan wajah mereka.

“Kamu sudah lihat koleksi terbaru Louis Vuitton?” terdengar suara Kris Dayanti bertanya kepada fashionista negara, Camelia. Sesekali ketawa, sesekali berbisik, sesi foto yang diatur berjalan penuh santai meski Kris kesuntukan waktu.

Tidak perlu diajar, tidak perlu disuruh, cepat saja keduanya memberikan aksi di depan lensa kamera. Bergelar penghibur dalam kelas masing-masing, Kris mahupun Camelia juga insan biasa yang menyambut kedatangan Syawal dengan penuh rasa syukur dan rendah diri.

Ikuti cerita Ramadan dan Aidilfitri penyanyi dari dua negara ini.

Wajah Baru Rumah KD



Selepas lima tahun tidak bertukar hiasan dalaman, Aidilfitri kali ini Kris Dayanti atau lebih mesra dengan panggilan KD mahu beraya sakan. Sebelum menjelang Ramadan lagi, dia sudah berkira-kira mahu menukar warna langsir dan kemasan dinding rumah agamnya di Jakarta.

“Tahun ini, rumah saya akan berwajah baru. Dari suasana yang berwarna hijau, saya tukar ke warna yang lebih ceria seperti merah, emas dan biru diraja,” ceritanya teruja.

“Sebenarnya sudah lama saya mahukan perubahan interior, tetapi kesibukan membuatkan saya asyik bertangguh. Selain hiasan, saya juga membuat sedikit pengubahsuaian rumah,” sambungnya melempar senyuman.

Menurut KD, Ramadan kali ini dia punya lebih banyak masa senggang.

“Sejak 1998 hingga tahun lalu, saya sibuk dengan penggambaran drama. Setiap bulan puasa, pasti ada satu. Tetapi tahun ini saya nekad menolak sebarang tawaran lakonan. Saya mahu meluangkan masa berbuka puasa bersama keluarga di rumah,” kata bintang yang popular menerusi sinetron Doaku Harapanku serta Doa dan Anugerah ini.

Adakah keputusan itu didorong oleh kegagalan filem pertama lakonan dan terbitannya, Jatuh Cinta Lagi?

“Selepas saya dan krew separuh mati berusaha, hingga ‘kaki jadi kepala, kepala jadi kaki’, akhirnya filem itu mendapat respons yang mengecewakan.

“Jentera promosi di Indonesia mahupun Malaysia tidak kuat, tidak seperti yang saya harapkan hingga ada peminat tidak menyedari ia dimainkan di pawagam. Tahu-tahu tayangannya sudah selesai,” keluh KD kesal.



Mengakui serik untuk bikin filem dalam masa yang terdekat, begitu pun ia bukan alasan utama KD enggan berlakon sinetron lagi.

Sedang giat mempromosikan album duet keenamnya di samping suami tercinta, Anang Hermansyah berjudul 10 Tahun Pertama, KD ingin mengambil berkat bulan Ramadan dengan memperbanyakkan ibadah.

“Cukuplah dengan kesibukan bulan-bulan yang lain. Bukan bermakna saya dan suami tidak langsung bekerja, tetapi kami lebih banyak istirahat. Berkumpul dengan anak-anak, saya rasa tenang dan aman sekali,” ujar ibu kepada Titania Aureliel Nurhermansyah, 8, dan Azriel Akbar Hermansyah, 6.

“Saya ingin asuh anak-anak belajar berpuasa penuh tahun ini. Kalau boleh, tidak mahu tertinggal satu hari pun,” azam penyanyi yang popular dengan lagu Menghitung Hari ini.

Mengekalkan tradisi memakai pakaian sedondon, KD dan suami sepakat memilih biru muda sebagai warna tema di pagi Syawal tahun ini.

“Tidak seronok rasanya kalau tidak memakai warna yang serupa kerana ia sudah menjadi amalan keluarga bertahun lamanya. Saya juga masih setia menempah dengan pereka yang sama iaitu Ferry Suraya,” beritahu adik penyanyi Yuni Shara ini.

Berbicara mengenai juadah lebaran, keluarga KD lebih gemar menyediakan menu makanan yang sedikit berbeza daripada hidangan lazim hari raya.

“Kalau setiap rumah ada ketupat dan rendang, rumah saya juga ada tetapi menu utamanya berlainan. Saya hidangkan opor ayam, bakso dan pelbagai jenis makanan yang berkuah supaya tetamu yang berkunjung tidak jelak dengan makanan yang sama,” terangnya memasang strategi.

Seperti kelaziman hari mulia, pasangan suami isteri romantis ini tidak akan lupa beraya di rumah orang tua masing-masing. “Kami akan ke Radio Dalam, Jakarta rumah ibu bapa saya terlebih dulu, kemudian baru ke Bandung, rumah keluarga Anang,” beritahu KD.

Menjelang Aidilfitri, KD sempat mengutuskan pesan buat para peminat tersayang.

“Ini adalah saat yang paling tepat untuk kita mensyukuri nikmat yang dianugerahkan Tuhan serta melihat kembali ke dalam diri. Ambillah kesempatan Ramadan dan Syawal untuk mensucikan hati dengan melakukan pelbagai aktiviti yang mendatangkan pahala,” tuturnya ikhlas.

Camelia Tidak Tempah Baju Raya



Tiba Ramadan Al-Mubarak, Camelia dan seluruh kaum kerabatnya tidak pernah lupa mengerjakan ibadah umrah. “Alhamdulillah, saya masih diberi kesempatan menjejaki tanah suci Mekah,” lafaznya syukur ketika menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penulis, baru-baru ini.

“Saya rasakan hidup saya begitu dirahmati dan terasa diri beruntung kerana dapat ke mari buat kesekian kalinya. Saya nikmati setiap detik di sini, setiap udara yang saya hela. Pengalamannya sangat luar biasa,” titipnya lagi.

Berpergian selama dua minggu dan akan pulang beberapa hari sebelum takbir Syawal berkumandang, Camelia akan pulang ke Kuching menyambut lebaran.

“Ke mana lagi kalau bukan di sana bersama keluarga dan sanak saudara. Hari Raya tiada erti kalau orang yang tersayang tiada di sisi. Merekalah segala-galanya buat saya,” kata bintang bermata galak ini yang masih betah hidup sendirian.

Biarpun dikenali sebagai ratu fesyen, ironinya Camelia memberitahu dia tidak menempah baju baru untuk raya tahun ini.

“Raya bukan bermaksud pakaian yang mewah-mewah belaka, tetapi hari untuk kita menginsafi diri. Saya bersederhana, ‘mengitar semula’ baju-baju yang pernah dipakai. Yang penting, kita harus pandai mensuaipadankan agar ia kelihatan baru,” jawabnya seolah memberi tip pemakaian.

Berhasrat menghidangkan Laksa Sarawak sebagai sajian utama pagi raya, Camelia sedang berdebar menanti kelahiran Mysticam selepas lama tidak muncul dengan album terbaru.

“Bakal berada di pasaran 7 November ini, saya tidak sabar mendengar reaksi para peminat yang telah sekian lama menunggu. Membawakan irama yang lebih segar dan penuh energi positif, saya menulis hampir keseluruhan lagu,” tambahnya yang kini bernaung di bawah payung EMI-Virgin Records.



Mengagumi KD sebagai artis contoh, Camelia tidak habis-habis memuji personaliti dari negara seberang itu.

“Dia amat menyenangkan. Walaupun bertaraf diva, KD sangat merendah diri tidak kira dengan siapa pun. Itulah sebenarnya kualiti seorang bintang. Dia tidak alpa dengan sanjungan yang diberikan.

“Selain kemerduan suaranya yang magis dan kejayaannya dalam bidang nyanyian, saya juga melihat dia sebagai seorang ikon fesyen. Apa saja yang tersarung di badannya kelihatan cukup stylish,” jelasnya memberikan pandangan.

Saturday, October 28, 2006

Fasha, Fazura Seteru?



Tiada sengketa. Kisah Nur Fazura Sharifuddin dan Nur Fasha Sandha Hasan berselisih faham sudah lama basi. Dikhabarkan ‘tidak sebulu’ kerana cemburu dan berebutkan teman lelaki, mereka hanya tertawa apabila ditanya kebenaran krisis yang diperkatakan ramai.

“Mana ada,” pintas Fasha memandang Fazura yang tersenyum sambil menganggukkan kepala tanda setuju. Serasi dan tidak kekok beraksi bersama di depan lensa kamera, kesediaan dua bintang muda ini memenuhi permintaan bukti mereka tidak bercakaran.

Mengimbas detik perkenalan sehingga mencetuskan kontroversi pertelingkahan, cerita Fazura: “Kami mula berkawan semasa terlibat dalam sebuah iklan komersial enam tahun lalu. Kerana sama-sama mencari ruang dalam dunia perfileman, kami sering berhubungan.

“Fasha mendapat tawaran lakonan terlebih dulu kerana ketika itu, saya masih belajar jurusan rekaan fesyen di sebuah kolej. Bagaimanapun, selepas saya berlakon dalam filem pertama, Bicara Hati, saya mengambil keputusan untuk berhenti pengajian.”

Terbatas oleh waktu dan kesibukan, mereka jarang bertemu dan akhirnya timbullah cerita-cerita yang kurang enak didengar.

“Lihat Fasha, rezekinya murah kerana tawaran datang tanpa henti. Saya juga begitu. Kerana masa kami menjadi mangsa keadaan. Kami tidak bergesel atas sebab peribadi,” tegas Fazura membetulkan spekulasi.



Tidak menolak kenyataan bahawa darah muda menjadi punca adakalanya terlepas laku dan percakapan, Fazura mengakui mereka sudah saling memaafkan. “Kadang-kadang kita tidak menyedari apa yang kita lakukan mengguris perasaan orang lain,” ujarnya.

“Hentikanlah cerita karut yang kami bermusuhan. Apa yang anda lihat hari ini - saya dan Fazura boleh bertegur sapa dan ketawa - bukan satu lakonan,” sambung Fasha pula sambil memberitahu mereka pernah digandingkan dalam drama bersiri Inspirion.

“Sebetulnya juga, kami pernah ditawarkan berlakon dalam sebuah filem berjudul Ratu Kampung. Yang membuatkan kami teruja ialah kami berdua diserahkan peranan heroin di samping seorang lagi aktres popular. Sayangnya, tawaran itu akhirnya senyap begitu saja,” jelas Fasha.

Mengalih topik perbualan kepada ketibaan bulan mulia Syawal, menurut gadis berusia 22 tahun itu, ia merupakan masa yang paling dinanti-nantikan.

“Kerana kesibukan, saya jarang mempunyai masa untuk duduk berkumpul seisi keluarga. Pada masa inilah saya mengambil peluang mengeratkan semula jalinan perhubungan dan bila ada kelapangan, saya sendiri datang bertandang ke rumah teman-teman lama di kampung,” katanya yang pulang beraya ke Seberang Jaya, Pulau Pinang.



Meskipun sudah tiga tahun bergelar artis, Fasha mengakui dirinya masih sama seperti dulu.

“Tiada apa yang berubah, kecuali rumah saya makin ramai yang mengunjungi. Walaupun mungkin saya tidak akan mengadakan rumah terbuka tahun ini, saya sentiasa mengalu-alukan kedatangan peminat,” ujarnya yang enggan menyentuh soal kekasih selepas cinta terputus di tengah jalan.

Baru tamat penggambaran filem arahan Osman Ali, Anak Halal, Fasha akan kembali ligat ke lokasi seminggu selepas Aidilfitri untuk drama Natasha 2 sebanyak 26 episod.

“Kalau hendak dikirakan penat, memanglah, tetapi saya tidak boleh menolak tawaran tersebut. Saya akui melalui Natasha, nama saya melonjak naik,” tutur pemegang trofi Anugerah Bintang Popular (ABP) bagi kategori Pelakon Drama Wanita Popular ini.

Disebut-sebut sebagai pewaris kegemilangan legasi pelakon wanita tanah air, setakat ini Fasha sudah membintangi 12 buah filem dan antara yang sedang menanti tayangan di pawagam ialah Nana Tanjung, Cinta, Cicak Man, Badai Pasti Berlalu dan Skrip 7707.

“Saya suka menjadi seorang yang sibuk kerana selagi muda, apa salahnya bekerja keras. Sebagai pelakon baru, banyak lagi yang harus saya perbaiki. Menerima tawaran satu demi satu secara tidak langsung memberikan saya peluang berlatih menjadi yang terbaik,” ujarnya yang menggemari ketupat, rendang, kuih batang buruk dan tat nenas sebagai juadah hari raya.

Sementara itu, bagi Fazura, kedatangan Aidilfitri disambut seadanya sejak bapa tercinta meninggal dunia enam tahun lepas.

“Sebagai anak perempuan tunggal, saya sangat rapat dengan arwah. Sehingga kini saya masih terasa kehilangannya. Kalau dulu, arwah yang beria-ia merancang persiapan raya dan rumah terbuka, tetapi kini semuanya dilakukan secara sederhana,” akui pelakon siri popular Gol & Gincu ini.



Atas alasan itu juga, Fazura meluangkan masa beraya sehari saja di kampungnya di Pekan, Pahang.

“Pagi raya, saya akan melawat pusara arwah di sana dan bersama saudara-mara sepanjang hari sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur. Lazimnya ibu akan ikut serta dan tinggal bersama saya di sini,” sambung anak ketiga daripada empat bersaudara ini.

Bakal muncul dengan drama raya, Rendang Untuk Mertua dan filem terbaru, Kayangan arahan Raja Ahmad Alauddin, Fazura banyak menghabiskan masa beristirehat dan beribadah sepanjang Ramadan ini.

“Saya lebih banyak meluangkan masa di rumah. Kebetulan tahun ini hari lahir saya juga jatuh pada bulan puasa, saya sempat menganjurkan kenduri doa selamat bersama kehadiran ibu dan rakan-rakan terdekat,” tambahnya lagi yang masih bersendirian tanpa kekasih.

Menyambut Aidilfitri pertama di kediaman baru di pinggir ibu kota hasil titik peluhnya sendiri, menurut Bintang Harapan Festival Filem Malaysia ke-17 ini: “Persiapannya biasa saja. Tidaklah berhabisan sehingga bergolok bergadai, asalkan selesa sudah memadai.

“Saya mahu beringat untuk masa depan. Dalam masa yang sama, buat tetamu yang diundang ke rumah Aidilfitri nanti, saya mahu sediakan soto ayam resipi rahsia yang diperturunkan oleh ibu.”

Thursday, October 26, 2006

Aidilfitri Aznil Nawawi



Perkataan penat, sedih dan sepi tidak wujud dalam kamus hidup seorang lelaki bernama Aznil Nawawi. Dalam usia mencecah 44 tahun, dia terus bekerja dan tidak pernah berasa puas dengan apa yang dikecapinya hari ini.

“Saya seronok bila sibuk. Kalau orang tanya apa rahsia saya sentiasa kelihatan muda, mungkin itulah sebabnya. Saya tiada masa memikirkan hal yang bukan-bukan, sebaliknya menjalani dan ‘menikmati’ kerja dengan penuh kegembiraan,” ujarnya.

Sinonim dengan program Akademi Fantasia (AF), Aznil bukan saja dilabel sebagai pengacara nombor satu negara, malah dia juga antara segelintir selebriti yang sangat versatil, boleh dibawa ke tengah ke tepi, boleh berlakon dan menyanyi.

Seminggu selepas Aidilfitri, jadualnya padat tersusun. Selain rakaman musim keenam program bual bicara unik Macam-Macam Aznil, dia turut terlibat dalam konsert jelajah Gegak Gemilang Astro sempena ulang tahun ke-10 stesen penyiaran tersebut.

“Menariknya, saya tidak akan bertindak sebagai pengacara dalam konsert tersebut. Saya hanya akan menjadi penyanyi ‘sepenuh masa’ bersama rakan-rakan artis yang lain, antaranya Mawi, Anuar Zain, Erra Fazira, Adibah Noor, Faizal, Vince dan Zahid,” beritahunya teruja.



Akan ke beberapa destinasi seluruh Malaysia, lelaki awet muda ini juga sibuk dalam setiap rangka promosi filem terbarunya, Cicak-Man yang bakal masuk panggung 7 Disember nanti.

Dalam filem superhero terbitan KRU Films itu, dia menggalas peranan jahat, Profesor Klon.

Apa lagi yang Aznil hendak buat? Tidak cukup sibukkah? Jawabnya sambil ketawa besar, “Saya akan masuk studio tidak lama lagi untuk berduet dengan Mawi dalam album terbarunya, Idolaku...Yang Tercinta. Buat masa ini, saya masih belum pasti tajuk lagu tersebut.

“Di samping itu, saya dan Astro sedang dalam perbincangan terakhir penerbitan sebuah program baru kanak-kanak untuk tayangan saluran Ceria. Saya bertindak selaku pengacara, penasihat konsep dan penerbit.”

Sedang hangat dengan single Jangan Cepat Marah yang sering berkumandang di corong-corong radio, Aznil turut mendapat tawaran berlakon teater kanak-kanak Ali Baba Dengan 40 Penyamun akhir Disember ini.



Diberikan watak ketua penyamun, ternyata demografi peminat Aznil meluas, daripada yang dewasa sehinggalah kanak-kanak.

“Kan sudah saya katakan, saya tiada masa untuk bersedih atau berasa bosan. Orang tidak perlu hairan mengapa saya selalu riang dan ketawa,” kata Aznil menjelaskan mengenai personalitinya yang berwarna-warni.

Bapa tunggal kepada dua orang anak, Fildza Haifa (Fifi), 17 dan Fariq Haizen (Riki), 12 ini menambah, kehadiran dua cahaya matanya sering mengisi kekosongan hidup.

“Saya dan mereka saling memerlukan. Bila ada kelapangan, merekalah keutamaan saya. Selain Fifi dan Riki, hidup saya tidak pernah sunyi dari dikelilingi teman-teman rapat dan seperjuangan,” sambungnya.

Menyentuh mengenai sambutan lebaran tahun ini, Aznil berkata, awal-awal lagi dia sudah membelikan pakaian serta kelengkapan raya anak-anaknya.

Ceritanya, “Hari pertama Ramadan kami sudah membeli-belah. Mudah, tidak perlu tergesa-gesa atau bersesak-sesak dengan orang ramai nanti. Anak-anak saya tidak cerewet. Apa yang saya berikan mereka terima.”

Beraya di Taman Tar, Ampang bersama kaum keluarga, termasuk ibu tersayang, Nurbaiti Suru, anak keenam dari tujuh bersaudara ini akan menghabiskan masa cuti selama seminggu.

“Sudah menjadi tradisi saban tahun, kami menggunakan cuti raya untuk melancong beramai-ramai, misalnya ke Port Dickson, Kuantan atau Pulau Pinang. Bagaimanapun, destinasi untuk tahun ini masih belum ditentukan lagi,” jelasnya.

Istimewa Aidilfitri kali ini, Aznil turut meluangkan masa beraya dengan sidang redaksi hiburan. “Saya sentiasa menjalin hubungan yang akrab dengan teman-teman media kerana tanpa sokongan dan teguran mereka, saya tidak akan berada di mana saya sekarang.

“Undangan dari kawan-kawan di meja hiburan saya terima dengan hati terbuka. Sesuai dengan konsep akhbar yang menampilkan cita rasa urban, saya fakir sentiasa tampil dengan kelainan dan idea-idea yang segar,” pujinya.

Di kesempatan ini, Aznil ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca. Maaf Zahir Batin.

Thursday, October 19, 2006

Dalam Memori

Tiada siapa yang menginginkan perpisahan, biar dalam apa jua bentuk dan rupa. Namun sebagai insan kerdil yang tidak punya kuasa melebihi Yang Maha Esa, kita harus pasrah dan reda dengan ketentuan yang sudah tertulis di Loh Mahfuz.

Cinta adalah nyawa, kata pujangga. Justeru, kehilangan orang yang tersayang tidak pernah menjadi impian atau cita-cita sesiapa.

Berita kematian tidak pernah gagal menjadi perkhabaran yang amat memilukan, begitu juga dengan perceraian. Sekuat mana kudrat manusia cuba menahan, takdir Tuhan tetap yang teratas.

Bukan niat menjentik perasaan, bukan mahu mengungkit kepahitan. Khusus sempena lebaran yang bakal menjelang, VAZZ mengabadikan kenangan mereka yang pernah berjasa dan bersama mengikat cinta, namun terpisah kerana ajal dan jodoh.

Buat mereka yang telah pergi, sedekahkan Al-Fatihah. Bagi mereka yang tidak sehaluan lagi, usah simpan benci di hati. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.

Yang Pergi



Rosiah Chik (1931-2006)

Tanggal 20 Januari lalu, nafasnya terhenti, jantungnya tidak berdegup lagi dan matanya terpejam buat selama-lamanya.

Di atas katil Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Besar Kuala Lumpur kira-kira pukul 11.50 pagi, Allahyarham Rosiah Chik membawa bersama seluruh kegembiraan dan keceriaan mereka yang akrab dengannya.

Lebih lima dekad menghiburkan masyarakat dengan irama asli dan tradisional, Rosiah atau nama sebenarnya Rosiah Abdullah dipanggil menemui penciptaNya pada usia 75 tahun. Dia meninggalkan enam orang anak, 20 orang cucu dan 15 orang cicit yang tidak pernah jemu mengharapkan sinar kasihnya.

Dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Karah, Gombak, Allahyarham meninggal akibat serangan jantung. Meskipun berita itu agak mengejutkan kaum keluarga kerana Rosiah tidak pernah disahkan menghidapnya, mereka pasrah dengan kehendak Ilahi.

Meski jasad telah tiada, suara emas anak kelahiran Kampung Sembahyong, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor ini akan tetap terngiang-ngiang di cuping telinga.



S. Jibeng (1942-2006)

Syawal ini, tiada senyuman mengiringi bibir Maznah Sidek tatkala terdengarkan lagu Musafir Di Aidilfitri. Suami yang tercinta, S. Jibeng telah pergi meninggalkan dirinya di samping lima orang anak sejak 7 Februari lalu.

Pesanan terakhir arwah kepada anak sulungnya, Saadiah, cukup menghibakan. Katanya, jaga emak baik-baik sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 7.45 pagi akibat serangan jantung.

Meski cacat penglihatan, semangatnya untuk membina keluarga bahagia tidak pernah runtuh. Muzik memberikannya harapan, menggunakan bakat kurniaan Tuhan untuk mencari sesuap nasi tanpa mengenal erti malu, jerih dan putus asa.

Sehari sebelum dia menutup mata pun, dia masih aktif memenuhi undangan persembahan demi meneruskan kehidupan. Kini yang tinggal hanyalah kenangan. Jaafar Sidiq, pergimu tiada ganti.



Hani Mohsin (1965-2006)

Saban malam kita terpesona dengan senyuman dan keriangannya mengacarakan Roda Impian. Tiada siapa yang pernah menjangka mahupun menduga, Tuhan akan menjemputnya pada usia semuda 41 tahun.

Pemergian Hani Mohsin Hanafi sangat mengejutkan. Rebah di sisi satu-satunya waris yang tinggal, Hani Karmila, mereka tidak sempat bercuti bersama seperti yang dirancangkan.

Betapa robeknya hati seorang anak menyaksikan ayahanda tercinta menghembuskan nafas yang terakhir di tempat yang paling janggal - kaunter pelepasan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang.

Perjalanan hidup Mohsin penuh berliku. Selepas kematian kedua orang tuanya, sebagai anak tunggal, dia mengemudi hidup sendirian.

Untunglah dia mempunyai hubungan yang baik dengan bekas isteri, Datin Seri Tiara Jacquelina. Dialah orangnya yang bersusah payah menguruskan jenazah arwah sementara menanti kehadiran saudara-mara dari Perlis.

Pada hari pengkebumian, lebih 2,000 orang datang menziarah dan memberi penghormatan terakhir. Banyak air mata yang tumpah mengenangkan betapa dunia kehilangan seorang yang sangat budiman. Terkesima dengan penyebab kematian, ramai yang tidak tahu dia menghidap sakit jantung. Semoga rohnya dicucuri rahmat.



Seha (1962-2006)

Pada hening 18 Ramadan bersamaan 11 Oktober lalu, Norsehah Abu Bakar atau Seha menghembuskan nafas yang terakhir di sisi suami tercinta, Azmi Thambi Chik di Hospital Kuala Lumpur.

Selepas tiga bulan melawan derita akibat kanser paru-paru, Seha akhirnya mengalah dan menerima jemputan Tuhan, meskipun menanggung rindu yang tidak tertahan terhadap anak sulungnya, Misha Kyrie Lund yang terpisah lebih lapan tahun.

Sejak menyepi dari dunia seni tanah air beberapa tahun kebelakangan ini, Seha enggan menerima kunjungan tetamu yang tahu akan sakit yang ditanggungnya. Tabah dan patuh menjalani rawatan kimoterapi serta radioterapi, hanya doa yang diharapkan dari rakan-rakan.

Hasratnya untuk beraya di kampungnya, di Air Putih, Kuantan, Pahang menjadi impian yang tidak tertunai. Meninggalkan suami serta seorang lagi anak, Karissa, Seha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang, Selangor.

Yang Terpisah



Noraniza Idris & Fareez (1988 - 2006)

Selama 18 tahun mengemudi cinta, akhirnya pasangan Noraniza Idris dan Fareez memutuskan untuk menjalani hidup masing-masing. Apakan daya, mereka tidak mampu melawan badai yang datang mengganas.

Kekalutan mula tercetus apabila amarah menguasai diri. Mesej telefon bimbit Fareez, 43 yang menjatuhkan talak kepada Noraniza, 38 menjadi titik mula mereka duduk berasingan. Biarpun selepas dirujuk mahkamah bahawa ikatan perkahwinan masih sah, mereka memilih untuk berpisah.

Fareez atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Mohd. Tajuddin melafazkan cerai talak satu terhadap Noraniza di rumah abangnya di Desa Pandan, Kuala Lumpur pada 7 April lalu.

Aidilfitri ini, mereka sekeluarga tidak pulang ke kampung bersama-sama lagi. Mohd. Alif Haikal, 17, dan Mohd. Alfeq Haikal, 13 akan menyambut raya tanpa kedua-dua ibu bapa mereka di sisi, sebaliknya bertemu secara berasingan.




Khadijah Ibrahim & Khaled Bensalah (2000-2006)

Perkahwinan kedua Khadijah Ibrahim atau Khaty tidak mendapat liputan yang meluas daripada pihak media.

Lebih gemar menyimpannya sebagai satu perkara yang amat peribadi, Khaty menikahi seorang lelaki Arab Tunisia, Khaled Bensalah Ben Houcine pada 1 Ogos 2000.

Menuntut cerai secara taklik selepas suaminya menghilangkan diri selepas enam bulan berumah tangga, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Begitu pun, Khaty mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertama dengan Mohd. Rashid Fahmi Bastaloo iaitu Siti Hajar Aisyah dan Mohd Khoirul Kamal.

Ketika ditanya mengenai perkahwinannya, Khaty hanya menjawab, “Semua di tangan Tuhan. Kalau ada jodoh kita kahwin, kalau tiada jodoh, kita bercerai. Sama dalam keadaan ini.”



Erra Fazira & Yusry (2003-2006)

Sebaik saja Erra dan Yusry mencanangkan kepada dunia mereka akan mendirikan rumah tangga, para peminat mendoakan agar pasangan ini kekal bahagia selamanya. Sama cantik, sama padan, ramai yang membayangkan anak-anak mereka pasti comel-comel belaka.

Perkahwinan mereka pernah mendapat jolokan Wedding of the Year. Bernikah pada tanggal 15 Jun 2003 dan meraikannya dalam sebuah majlis resepsi besar-besaran di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur, Erra dan Yusry mendapat jolokan pasangan paling romantis.

Sayangnya, panas yang disangka hingga ke petang bertukar menjadi hujan di tengah hari. Berita mereka tidak tinggal sebumbung sejak akhir tahun lalu menjadi paparan muka depan akhbar dan bulan-bulan berikutnya mereka menjadi buruan media.

Akhirnya pada 16 Jun lalu, terbukti secara sah yang mereka bukan suami isteri lagi. Yusry Abdul Halim, 33, dalam keterangannya di mahkamah mengaku telah menceraikan Erra atau Fazira Wan Chek, 32 dengan talak satu pada 4.55 petang, 26 April lalu di kediaman mereka di Damansara Utama.

Berakhirnya sebuah hikayat cinta, ternoktahlah kenangan-kenangan indah bersama. Aidilfitri ini mereka bersendirian kembali.


Awie & Arni Nazira (1998-2006)

Lagu Tragedi Oktober nyanyiannya ibarat satu sumpahan.

Selepas puas mempertahankan mahligai yang dibina bersama Arni Nazira lapan tahun lalu, Awie reda menuturkan lafaz cerai talak satu di Mahkamah Syariah Kuantan, Pahang pada 16 Oktober selepas Arni memfailkan permohonan perpisahan sejak bulan Julai tahun ini.

Perpisahan itu diiringi dengan linangan air mata. Ternyata, Awie atau nama penuhnya Ahmad Azhar Othman, 38 juga tidak mampu menyembunyikan kesedihan apabila titisan jernih di kelopak matanya masih bersisa ketika melangkah keluar dari mahkamah.

Ketika khalayak masih mencari punca sebenar perpisahan, Awie dan Arni, 28, lebih senang mendiamkan diri sehingga tiba masa yang paling tepat untuk diuar-uarkan.

Berpisah di bulan mulia Ramadan, apatah lagi hanya tinggal seminggu datangnya Syawal, ke manakah anak mereka, Puteri Aleeya Antasha, 6, dan Puteri Aleefa Antasha, 4 akan beraya tahun ini?

Wednesday, October 18, 2006

Akustika Empat Biduan



Apabila M. Nasir, Ramli Sarip, Zainal Abidin dan Jay Jay digabungkan, tercetuslah satu fenomena bunyi-bunyian yang cukup mengasyikkan. Yang menjadikan ia lebih istimewa, mereka hanya berpadu suara dan tenaga dengan iringan muzik akustik - lebih asli, sederhana tetapi memberangsangkan.

Untuk tatapan para penonton setia TV3 sempena Aidilfitri, stesen tersebut menggandingkan empat biduan terkemuka ini dalam sebuah program berjudul Konsert Akustika.

Bakal bersiaran selama sejam pada Hari Raya Ketiga pukul 6 petang, rancangan hiburan terbitan Muhammad Suffian Isa ini menampilkan rangkaian lagu malar segar yang masih diminati dan menjadi pujaan hingga ke hari ini.

“M. Nasir, Ramli Sarip, Zainal Abidin dan Jay Jay berkongsi kriteria yang serupa. Mereka bukan saja dianggap sebagai legenda dan nama besar dalam industri hiburan, tetapi mereka juga berkebolehan untuk bermain secara ‘unplugged’ menggunakan gitar dan percussion,” kata Suffian.



Mengulas tentang konsep persembahan, menurutnya Konsert Akustik ingin menyuntik sedikit kelainan dan kesegaran.

“Sebelum ini penonton pernah menyaksikan mereka membuat persembahan dengan iringan para pemuzik latar. Apa yang cuba kami tonjolkan ialah pertunjukan yang santai, seolah satu ‘jamming session’ di mana mereka menyanyi sambil bermain alat muzik sendiri,” tambah Suffian.

Selain empat seniman tersebut, konsert ini turut mengundang Andy Flop Poppy yang mewakili artis generasi baru. Pemuzik Nan Saturnine juga menggamatkan suasana, sekali gus bertindak sebagai pengarah muzik untuk program ini.

Dirakamkan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, baru-baru ini, senarai lagu yang didendangkan ialah Senandung Hidup Berbudi (Ramli Sarip), Belaian Jiwa dan Petang Sabtu (Jay Jay), Manis dan Suraya (Zainal Abidin), Atas Nama Cinta dan Aku & Kamu (Andy Flop Poppy) dan Juwita Citra Terindah (M. Nasir).

Ramli dan Nasir turut berduet lagu Jikalau Berkasih yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton di studio.

“Bukan mudah untuk menghimpunkan mereka dalam sebuah program, apatah lagi untuk menjalani sesi latihan sebelum rakaman. Begitu pun, atas dasar profesionalisme dan kerjasama yang masing-masing berikan, rakaman berjalan lancar dan tidak memakan masa yang begitu panjang,” beritahu Suffian.



Ditanya mengapa tidak menyelitkan lagu-lagu raya, jelasnya: “Meskipun Konsert Akustika ditayangkan pada musim raya, kami tidak mahu kelihatan sama dengan program-program lain dan mengundang rasa bosan penonton. Tambahan pula artis-artis yang terlibat popular dengan lagu masing-masing, kami tidak mahu terlepas peluang tersebut.”

Bagaimanapun, bagi memenuhi ‘syarat dan peraturan wajib’ rancangan Aidilfitri, sebuah lagu raya dinyanyikan beramai-ramai iaitu Satu Hari Di Hari Raya pada penghujung program.

“Saya melihat kombinasi ini sebagai satu usaha yang sangat menarik. Tidak timbul soal siapa yang lebih popular atau siapa yang lebih hebat kerana ia merupakan satu kerjasama untuk menjadikan rancangan ini menghiburkan,” komen Ramli Sarip mengenai kolaborasi semua pemuzik lelaki ini.

Pernah bergelar Pengetua Akademi Fantasia 4 (AF4), Ramli juga berharap agar gabungan penyanyi seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang bagi menambahkan variasi dalam penerbitan rancangan hiburan tempatan.




Sunday, October 15, 2006

Sama Tidak Serupa



Keliru? Usah begitu. Mereka mempunyai nama yang sama, tetapi profil dan kebolehan yang berbeza. Siapa di antara selebriti popular Malaysia yang berkongsi identiti?

SHAZZY
Ramai yang terkeliru mahupun tersalah sebut nama rapper solo ini. Tiada kaitan saudara dengan Sazzy Falak, Shazzy atau nama sebenarnya Al-Muhammad Ishazee Ishak, 26 merupakan artis sulung label Wake The Baby. Tampil dengan album pertamanya, Aku Melayu, lagunya bersama Lah VE, Kenapa mendapat sambutan khalayak.

SAZZY Falak
Keletah dan bijak bercakap, Sazzy Falak kekal sebagai pengacara Beat TV terbitan Astro untuk beberapa musim. Bermula sebagai hos Muzik-Muzik kemudian mendapat tawaran berlakon tele filem Piala Untuk Mama, Sazzy diberikan gelaran Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-19 atas kehebatan lakonannya melalui Gol & Gincu. Pemilik nama penuh Sazlini Falak yang berusia 25 tahun ini bakal menamatkan zaman bujangnya bulan depan.



AMY Mastura
Menjuarai pertandingan akhir Asia Bagus hampir sepuluh tahun lalu, Amy Mastura meletakkan jawatannya sebagai pramugari apabila ditawarkan kontrak rakaman dari Pony Canyon. Popular dengan lagu Jawapan Kasih, Meniti Hari dan Diam-Diam Rindu, Amy, 35 juga dikenali sebagai aktres cemerlang. Filem Puteri Impian arahan Aziz M. Osman berjaya melayakkannya menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 empat tahun lalu.



AMY Search
Digelar raja rock dan ikon fesyen dalam kelasnya tersendiri, Amy Search meneruskan legasi sebagai the living legend. Sedang sibuk mempromosikan karya terbaru Gothik Malam Edan bersama kumpulan yang telah bersamanya selama 25 tahun, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman juga merupakan salah seorang ‘guru’ dari program realiti Mentor musim kedua. Anak sulungnya, Nabila Huda turut terlibat dalam dunia hiburan sebagai pelakon.



FAZLI Zainal
Meskipun menjadi peserta paling awal tersingkir daripada Malaysian Idol musim pertama, impian Fazli Zainal, 29 untuk merakamkan album akhirnya terlaksana apabila dia menjadi artis sulung label baru, U'quotient Records. Meletup dengan single Harapan yang sering berkumandang di corong-corong radio, album sulungnya akan menemui peminat sedikit masa lagi.



FAZLEY Yaakob
Berstatus doktor falsafah pada usia 27 tahun setahun lalu, Fazley atau nama penuhnya Ahmad Fadzli Yaakob merupakan seorang jejaka serba boleh. Selain menyanyi, dia juga mampu mencipta lagu, menulis lirik mengacara dan menjadi perunding motivasi. Mempunyai jawatan tetap sebagai Pengarah Eksekutif Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Fazley bakal muncul dengan Bila April...Cerita Paji Buku Motivasi Santai tidak lama lagi.



FAIZAL OIAM (One In A Million)
Berusia 28 tahun, sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak bukan alasan untuk Ahmad Faizal Mohd. Tahir membelakangkan cita-citanya bergelar penghibur. Meskipun tewas menyandang gelaran jutawan, Faizal yang juga bekas ahli kumpulan nasyid Mirwarna ini khabarnya sedang merangka penerbitan album solo dan mula mengumpul pengikut sendiri.



FAIZAL AF4
Daripada seorang budak kampung, Mohammad Faizal Ramliy, 22 diangkat sebagai juara AF4. Duduk sebaris dengan jaguh-jaguh yang lain seperti Vince, Zahid dan Mawi, Faizal yang terkenal dengan tagline ‘senyum sokmo’ kini meniti hidup sebagai seorang selebriti. Single pertamanya, Lihatlah ciptaan M. Nasir/Loloq sedang mendaki tangga carta-carta radio tempatan.



FAIZAL Hussein
Seperti pepatah lama ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’, anak kepada pasangan pelakon Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail ini sudah berlakon sejak usia belasan tahun. Diingati melalui filem Bujang Senang, Gila-Gila Remaja, Tak Kisahlah Beb dan Kanta Serigala, Faizal, 39 kini lebih cenderung berlakon drama tv, antaranya Sembilu Kasih. Dia sudah mendirikan rumahtangga dengan dramatis Suhaila Sulaiman dua tahun lalu.



FARAWAHIDA
Tuahnya tiba selepas dia merakamkan album penuh yang berjudul Tanpamu hujung tahun lalu. Sebelum ini hanya merakamkan album mini dan menjadi penyanyi lagu-lagu latar drama, gadis berusia 20 tahun dari Taiping, Perak ini mula mencari ruang di negara seberang, Indonesia apabila albumnya dipasarkan di sana.



FARAHDHIYA
Popular dengan lagu Bertaktha Di Hati, Farahdhiya Mohd. Amin, 21 sering dikaitkan dengan kisah-kisah sensasi hingga bakat nyanyiannya tenggelam. Dituduh menjadi orang ketiga dalam krisis rumah tangga Norman Hakim dan Abby Abadi, terbaru heboh dia dikatakan bercinta dengan Hattan. Gadis kacukan Melayu Inggeris ini akan muncul dengan album keduanya, Seluruh Nafas Kerdipan Mata tidak lama lagi.



FARA Fauzana
Dari konti Era ke Hot FM, nama Fara Fauzana terus ‘hangat’ apabila digandingkan dengan Wahid Senario sebagai hos program popular, Melodi di TV3. Gadis berusia 26 tahun ini membuktikan dia berjaya mencipta nama dalam masa yang singkat dengan memenangi trofi Pengacara TV Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) tahun ini. Dia juga pernah mencuba bakat lakonan menerusi filem remaja, SH3.


FARAH AF2
Bersuara lantang dan berpersonaliti menyenangkan merupakan antara sebab Farah AF2 masih laku di pasaran berbanding rakan-rakan seperjuangannya. Pemilik nama sebenar Farah Diana Anuar, 21 ini telah melahirkan album sulungnya berjudul Antara Dua dan memenangi trofi Artis Harapan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) 2005.



NORMAN Hakim
Suami kepada aktres Abby Abadi, Norman Hakim atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 30 mula dikenali sebagai peragawan sebelum terlibat secara serius dalam arena lakonan. Pernah membintangi filem Pasrah, rezekinya murah apabila Datuk Yusof Haslam mengekalkan Norman sebagai hero utama siri Gerak Khas untuk beberapa musim. Norman juga dilantik sebagai jurucakap Selenia Motor Oil.



NORMAN Hakim
Suami kepada aktres Abby Abadi, Norman Hakim atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 30 mula dikenali sebagai peragawan sebelum terlibat secara serius dalam arena lakonan. Pernah membintangi filem Pasrah, rezekinya murah apabila Datuk Yusof Haslam mengekalkan Norman sebagai hero utama siri Gerak Khas untuk beberapa musim. Norman juga dilantik sebagai jurucakap Selenia Motor Oil.



NORMAN KRU
Menjadi ‘kepala’ dalam kumpulan adik-beradik KRU, Norman Abdul Halim, 34 kini menjadi Pengarah Urusan KRU Berhad yang mengendalikan pelbagai perniagaan, antaranya pengendalian acara dan label rakaman, KRU Music Group (KMG). Masih aktif sebagai penyanyi, apatah lagi baru muncul dengan album 10 Di Skala Richter, Norman juga pernah menjadi hero filem Awas dan Cinta Metropolitan.



LINDA Nanuwil
Digelar ‘pesona bintang’ oleh pengarah Yusof Haslam ketika berada dalam AF2, Linda Nanuwil muncul naib juara program tersebut. Dilihat mempunyai pakej lengkap seorang artis, entah mengapa nama gadis kelahiran Ranau, Sabah berusia 21 tahun ini tenggelam dalam arus kemunculan ramai bintang baru yang lain. Begitu pun, dia sempat berlakon filem arahan Aziz M. Osman, Gila-Gila Pengantin Popular dan merakamkan album Jika Kau Kekasih di bawah label Maestro Records.



LINDA Jasmine
“5,6,7,8!” dengan suara yang bergema menjadi trademark Linda Jasmine. Pernah menjadi model iklan semasa remaja, dia dikenali sebagai jurutari profesional atas kejayaan luar biasa program realiti, Akademi Fantasia (AF). Memikul tugas sebagai guru tari dan koreografi bagi empat musim berturut-turut, Linda, 34 mempunyai sebuah studio yang dinamakan Linda Jasmine Performing Arts Studio di Ampang.



LINDA Onn
Memulakan tugas di stesen Best 104.9 sebelum berhijrah ke TV3, nyata rezeki Linda Onn sudah tertumpah sebagai penyampai radio popular Era. Menerusi stesen nombor satu itu namanya melonjak naik sehingga dia mempunyai program bual bicara sendiri, Tanya Linda. Turut menjadi jurucakap beberapa produk, wanita berusia 28 tahun ini pernah mencuba nasib sebagai pelakon melalui filem Gila Bola dan kini mengusahakan rangkaian restoran My Mom’s Chicken Rice.

LINDA Rafar
Datang dari keluarga aktif seni, Linda Rafar, 28 memulakan karier lakonan sejak kecil. Menonjol melalui filem Litar Kasih dan Awas, Linda kemudian menganggotai kumpulan Elite atas didikan KRU. Dia kini popular sebagai pasangan duet dengan adiknya, Diana dan muncul saban minggu di televisyen melalui siri Dua Hati.



Antara nama sama yang lain

* Sheila Majid, Sheila Rusly, Sheila Mambo, Sheila Lama
* Fauziah Nawi, Fauziah Ahmad Daud, Fauziah Latiff
* Yusof Haslam, Yusof Kelana, Yusof Wahab
* Zizie Ezette, Zizi Zulkifli, ZZ Era
* Sarimah Ahmad, Sarimah Ibrahim
* Ellie Suriaty, Elly Mazlein
* Nora Danish, Nora
* Aida Rahim, A. Aida
* Tam Spider, Tam (Dunia Baru)
* Zainal Abidin, Zainal Alam Kadir
* Maya Karin, Maya (Matahari)
* Dayang Nurfaizah, Dayangku Intan
* Yasmin Ahmad, Yasmin Hani
* Julia Rais, Julia Hana
* Aziz M. Osman, Aziz Sattar
* Saiful Apek, Saiful (Malaysian Idol)
* Maria Farida, Maria Menado
* Rozie Rashid, Rozie Othman
* Julie Dahlan, Julie Sudiro
* Bob AF2, Bob Lokman
* Normala Samsudin, Normala Omar
* Rozita Izlynn, Rozita Che Wan
* Ramli Sarip, Ramli MS, Ramli Ibrahim
* Abby Abadi, Ebby Saiful, Ebby Yus
* Din Beramboi, Deen Wahab, Din CJ, Din Glamour
* Didie Alias, Diddy AF4
* Joe Wings, Joe Radzwill
* Rahim Maarof, Rahim Razali

Thursday, October 12, 2006

Anak Wayang Sejati

Apabila dua beradik ini menghasilkan Diva Popular, ia ibarat satu pernyataan yang tepat mengenai diri mereka. Melihat dari erti kata ‘diva’ itu sendiri, tanpa ada maksud lain, keduanya pernah merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia dan selayaknya dilabel primadona.



Tidak sukar mencari pasangan bersaudara yang cemerlang dalam dunia sinema tempatan - nama Erma Fatima dan Umie Aida pasti terpacul. Berkongsi genetik bakat yang sama, Erma dan Umie sudah berada di paksi kejayaan masing-masing.

Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad, 38 bermula sebagai seorang pelakon. Mencipta kemasyhuran melalui Rozana Cinta 87, Hati Bukan Kristal dan Femina, Erma kemudian berjinak-jinak menduduki kerusi pengarah.

Selepas drama pertamanya, Ratu Jamu diiktiraf sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin TV3 pada tahun 1994, dia memberanikan diri mengarah filem sulung, Jimi Asmara. Menerima sokongan kuat daripada suami, Bade Hj Azmi yang juga seorang pengarah, Erma tidak menoleh ke belakang lagi sejak itu.

Menambahkan bilangan sutradara wanita berkaliber negara, Erma pernah diangkat sebagai Pengarah Filem Terbaik di Festival Filem Pyongyang, Korea Utara enam tahun lalu menerusi Perempuan Melayu Terakhir.

Cenderung mengerjakan naskhah-naskhah berbau serius dan bertema berat, termasuk filem kontroversi Embun, ramai yang memandang sinis apabila dia mengarahkan komedi seperti Diva Popular. Adakah ia satu paksaan kerana filem tersebut adalah ‘bayi pertama’ Amazon Entertainment milik Umie?

“Tidak, saya melakukannya atas tanda kasih dan cinta seorang kakak kepada adik,” akui Erma tegas lalu membuka cerita. “Apabila Umie memberitahu dia ingin menjadi penerbit, saya bersyukur kerana dia sudah pandai berfikir untuk memajukan diri.



“Sekurang-kurangnya dia mempunyai perancangan dan persediaan jangka masa panjang. Meskipun saya harus ‘beralih angin’ mengarahkan sesuatu yang ringan seperti Diva Popular, saya sanggup berkorban asalkan filem itu boleh dijual, mampu membuatkan adik saya survive untuk menerbitkan produk-produk seterusnya.”

Bukan tidak pernah bekerjasama sebelum ini, tetapi untuk Diva Popular, mereka menjalankan tanggungjawab dan posisi yang berbeza.

“Sebagai sutradara, saya menjalankan kerja pengarahan saja. Saya tidak ambil tahu soal lain, begitu juga dengan Umie yang tidak pernah mengganggu ‘kawasan’ saya. Walaupun kami adik-beradik, dia menghormati kuasa saya sebagai pengarah dan tidak pernah mempersoalkannya,” sambung Erma lagi.

Mengimbas kembali bagaimana Umie boleh terjebak dalam industri hiburan, Erma mengakui berasa kurang senang pada mulanya. “Saya tidak pernah ajak dia, dia sendiri yang ‘gatal’ cari jalan mahu berlakon,” ujarnya terus-terang.

Tambahnya: “Bukan cemburu, iri hati atau berasa tercabar, tetapi saya makan garam terlebih dulu. Saya tahu bukan senang menempatkan diri dalam dunia lakonan. Selain bakat, paras rupa dan tuah turut memainkan peranan.



“Saya katakan padanya ‘kalau mahu jadi pelakon majalah dan berlakon macam kayu, elok berhenti saja.’ Hari demi hari, saya melihat peningkatan yang dia tunjukkan dan saya tahu dia memang serius mahu menjadi anak wayang.”

Umie Aida atau nama kelahirannya, Umi Kalsom, 32 pertama kali diperkenalkan oleh Datin Rosnani Jamil melalui peranan pembantu dalam filem Memori. Membaja bakatnya menerusi drama-drama televisyen, dia tidak mengambil masa yang lama untuk meraih kepercayaan pengarah membawakan watak-watak utama.

Antara dramanya yang menggamit perhatian ialah Selamat Hari Jadi Su, Surah Terakhir, Rumah Di Tengah Sawah dan siri Salam Taj Mahal, sementara lakonannya dalam filem Embun meninggalkan kesan yang sangat kukuh di hati khalayak.

“Saya sangat berbangga apabila Umie dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik. Walaupun saya kecewa kerana Embun gagal di panggung dan tewas bergelar Filem Terbaik, saya puas hati apabila lakonan Umie dihargai. Malah, saya tidak kisah bila ada yang berkata lakonan Umie sekarang jauh lebih hebat daripada saya,” akui Erma jujur.




Umie pula menyambung, “Salah satu sebab mengapa saya memainkan watak Erna Teteyye dalam Diva Popular ialah kerana ingin membuktikan saya bukan pelakon stereotaip. Selama ini, ramai pengarah menganggap saya hanya boleh membawakan watak-watak berat dan serius.”

Menjelaskan tidak mudah untuknya menjadi Erna yang gedik dan mengada-ngada, Umie tidak gentar jika selepas ini ada peminat yang mempercayai apa yang dilakonkannya adalah kelakuan dirinya yang sebenar.

“Saya sudah fikirkan impaknya sebelum memulakan penggambaran lagi. Sebagai pelakon, saya tidak boleh melakukan kerja ‘separuh masak’. Saya gembira kalau penonton mempercayai lakonan saya kerana itu tandanya saya berjaya. Tetapi, biarlah setakat dalam panggung saja, bukan di luar,” katanya mempertahankan diri.

Menyentuh tuntutan tugas terbarunya sebagai penerbit, terangnya: “Awal-awal lagi saya sudah beritahu kepada semua, masuk saja set penggambaran, saya tidak mahu tahu soal bajet. Saya mahu fokus berlakon. Kalau ada masalah, biar penerbit penyelaras yang uruskan.




“Selepas penggambaran tamat, barulah saya terasa sukarnya menjadi produser. Meskipun Diva Popular berdepan dengan beberapa masalah termasuk kewangan, setakat ini saya belum terasa serik.”

Menganggap mempunyai kakak seperti Erma merupakan satu kelebihan, ujar Umie berseloroh: “Walaupun saya lebih mudah berbincang dan menjadikan dia sebagai rujukan, dia juga mempunyai ‘lesen’ untuk memaki hamun saya di set! Dengan pelakon lain dia tidak akan berbuat begitu.”

Turut membintangi Dukun dan Puaka Tebing Biru yang akan menjengah pawagam tahun depan, Umie bersyukur kerana dia masih dipercayai menggalas peranan utama.

“Saya percaya kepada bakat. Bukan mahu meninggi diri, tetapi saya fikir industri kita kekurangan aktres yang betul-betul berkemampuan.

“Walaupun kakak saya seorang pelakon, tetapi saya menimba ilmu dari pengalaman sendiri. Ilmu lakonan bukan boleh dipelajari daripada buku. Perjalanan hidup adalah guru lakonan saya yang terbaik,” luahnya.



Sisi lain Erma, Umie

** Kesibukan di lokasi tidak menghalang Erma untuk membuat kerja-kerja sosial. Selaku Presiden Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia, Erma mengendalikan Rumah Bakawali yang menempatkan anak-anak yatim.

Yayasan tersebut juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia menganjurkan kem-kem motivasi serta kempen sosial untuk golongan remaja.

“Yayasan menggunakan pendekatan seni dan budaya untuk mengajak golongan muda, terutamanya mereka yang bermasalah untuk ‘kembali ke akar’. Kami juga sering mengadakan konsert serta pertunjukan yang berorientasikan keIslaman,” ujar Erma.

Tahun ini, Yayasan akan menganjurkan aktiviti tahunan iaitu Malam Kasih Ramadan untuk meraikan anak-anak yatim daripada rumah-rumah kebajikan seluruh negara. Bertempat di Hotel Palace of the Golden Horses pada 17 Oktober, untuk keterangan lanjut boleh hubungi 03-4107 3364.



** Umie Aida sempat merakamkan dua buah album berjudul Redup Kerinduan (1998) dan Gema Kasih (2002). Pernah belajar vokal sehingga ke negara jiran Indonesia, kini Umie sedar bahawa percubaannya itu tidak membuahkan hasil.

“Saya memang minat menyanyi, tetapi apabila membandingkan diri saya dengan penyanyi-penyanyi yang sedia ada, saya rasa lebih baik mengalah. Saya tidak mahu menjadi ‘asal boleh’ saja dalam melakukan sesuatu. Saya sedar di mana kelemahan dan kekuatan diri,” kata Umie.

Wednesday, October 11, 2006

Empayar Bersaudara

Benarlah kata orang, dunia hiburan penuh dengan variasi dan warna-warni. ‘Warga yang mendiaminya’ bukan saja penuh ragam dan kerenah, tetapi pelbagai rupa dan usia.

Kemunculan pasangan adik-beradik yang menceburi arena seni hiburan bukanlah satu perkara yang baru, malah sudah menjadi kelaziman, sama ada terjebak secara kebetulan mahupun kerana darah seni yang mengalir.

Minggu ini menyorot beberapa pasangan bersaudara yang terkenal dan berjaya.



Anuar Zain dan Ziana Zain

Baik adik, mahu pun kakak, semua orang tahu Anuar dan Ziana mempunyai kekuatan vokal yang cukup ‘menggemparkan’. Berilah apa saja lagu bernada tinggi, pasti pasangan adik-beradik ini mampu membawakannya dengan cemerlang.

Sejarah pembabitan Anuar, atau nama penuhnya Shahrul Anuar dalam industri hiburan telah bermula lebih awal daripada kakaknya. Digandingkan dengan Ellina, mereka muncul sebagai pasangan duet kanak-kanak paling masyhur era 1980an.

Kain Pelikat dan Berdendang Bersama merupakan antara lagu popular Anuar & Ellina. Begitu pun, apabila usia menginjak dewasa, masing-masing membawa haluan sendiri.

‘Kehilangan’ Anuar kemudian digantikan dengan kehadiran kakaknya, Siti Roziana Zain. Meletup melalui lagu Madah Berhelah, sejak itu penyanyi yang terkenal dengan trademark mengangkat kening ini tidak berpaling lagi.

Diletakkan dalam kelompok penyanyi hebat, dia bukan saja mengumpul ramai peminat tetapi berjaya menghimpunkan beberapa trofi daripada Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Bintang Popular (ABP).

Ketika nama kakaknya hangat memuncak, Anuar muncul semula sebagai penyanyi solo. Bersuara lantang dan ‘besar’, tidak seperti zaman kanak-kanaknya dulu, Anuar mudah meraih perhatian tanpa perlu menumpang populariti kakaknya.

Membuat keputusan meninggalkan kerjaya di awan biru, lagu-lagu miliknya seperti Bila Resah, Jangan Bersedih Lagi, Keabadian Cinta, Mungkin dan Sesucinya Cintamu menjadi karya malar segar.

Selain nyanyian, kedua-duanya juga pernah mencuba nasib sebagai pelakon. Bagaimanapun, percubaan Anuar dalam Soal Hati dan Bintang Hati kurang menyinar berbanding kakaknya menerusi Sembilu dan Maria Mariana.

Hari ini pada usia 38 tahun, Ziana dan Anuar, 36 tahun masih mampu mengekalkan kedudukan sebagai penghibur yang disegani.

Aleya, Amani dan Aryana



Suatu ketika dulu, Fatimah Abu Bakar dikenali sebagai pelakon berkarakter. Seangkatan dengan seniman hebat Mustafa Nor dan Eman Manan, aura primadonanya lenyap selepas menjawat tugas di sebuah syarikat akhbar terkemuka.

Dikelilingi teman-teman dari dunia hiburan, Fatimah ‘terpaksa’ memenuhi permintaan mereka yang menginginkan pelakon kanak-kanak, lalu mendedahkan anak-anaknya kepada arena sinema. Antara filem yang menerima ‘kemunculan istimewa’ anak-anak Fatimah pada ketika itu ialah Selubung dan Mimpi Moon.

Anak sulungnya, Sharifah Aleya, 23 mula menonjol apabila disambar sutradara Aziz M. Osman untuk filem Idola. Menerima trofi Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-16, Aleya kemudian diangkat sebagai Pelakon Wanita Pembantu Terbaik dalam FFM seterusnya menerusi Trauma.

Filem kontroversi Yasmin Ahmad, Sepet menyusul seterusnya seraya memperkenalkan Sharifah Amani, 20 kepada khalayak. Dipuji ramai atas keberkesanannya menggalas peranan Orked, Amani menerima anugerah Pelakon Harapan FFM ke-18.

Setahun berlalu, dia kemudian digelar Pelakon Wanita Terbaik FFM ke-19 atas tiket filem Gubra. Sayangnya, kejayaan itu dikaburi dengan kontroversi ucapannya yang menyentuh sensitiviti.

Kini seorang lagi adik mereka, Sharifah Aryana, 11 bakal menonjolkan bakat terpendam. Menerusi filem terbaru Yasmin Ahmad berjudul Mukhsin, Aryana melakonkan watak Orked semasa kecil di samping kakaknya, Aleya yang memegang watak ibunya, Mak Inom.

Linda dan Diana Rafar

Semasa masih kecil lagi, Azlinda atau Linda dan Adiana atau Diana Rafar sudah didedahkan dengan dunia hiburan tanah air. Kakak mereka, Asila dan Aliza aktif berlakon drama sementara kakak sulung pula, Anita mempunyai rumah produksi sendiri iaitu Medanmas Sdn. Bhd.

Bertatih mengenali kamera dan mikrofon, Linda menonjol apabila dia diberi peluang berlakon watak utama Litar Kasih di samping Azhar Sulaiman dan Faizal Hussein.

Seterusnya mengembangkan bakat melalui nyanyian dengan menganggotai Elite, nama Linda tiba-tiba panas ekoran kontroversi yang mengaitkannya dengan anggota KRU, Edry.

Dalam masa yang sama, Diana juga mencari ruang mengasah bakat dengan penubuhan kumpulan bersuara harmoni, GIM. Jangka hayat grup tersebut yang pendek bagaimanapun tidak menghalang laluannya apabila dia menerima banyak tawaran berlakon tele filem VCD.

Menggunakan kelebihan sebagai adik-beradik yang berpenampilan seiras, Linda dan Diana akhirnya mencipta imej kumpulan duet, lalu menerbitkan album pertama berjudul Sissss di bawah label sendiri, Video Bang Production Sdn. Bhd.

Lumrah orang cantik dan bergaya, mereka sering menjadi sasaran gosip sensasi. Yang paling diingati ialah gosip cinta Linda, 27, dengan Tam Spider, serta kemelut Diana, 25, dengan Mawi sehingga menenggelamkan publisiti filem pertama lakonannya, Susuk.

Ngasrizal, Nasreen dan Naszriah

Jika kanak-kanak lain sibuk ke tadika dan hanya mengenal bangku sekolah, pasangan adik-beradik dari keluarga Ngasri Sain dan Habibah Jaafar ini lain pula ceritanya. Mereka berkejaran ke lokasi penggambaran dan sudah mula digelar anak wayang sejak kecil lagi.

Pada era 1990an, bila ada saja watak kanak-kanak dalam drama tv, pasti salah seorang daripada mereka akan berlakon (atau ketiga-tiganya sekali!).

Baik watak gembira, sedih, tertekan mahupun menjadi mangsa dera, semuanya dijayakan dengan cemerlang dan cukup semula jadi.

Siapa yang tidak kenal dengan wajah Ngasrizal (Bell), Nasreen (Darling) dan Naszriah (Anne). Ketika itu mereka menjadi pilihan utama para pengarah untuk memegang watak kanak-kanak. Abang sulung, Naszeli juga turut mencuba bakat tetapi tidak seaktif mereka.

Mungkin catatan sejarah yang paling membanggakan buat tiga beradik ini ialah apabila Anne dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Pembantu Terbaik Anugerah Skrin TV3 pada tahun 1994 melalui drama Anak Angkat, menewaskan calon-calon dewasa yang lain.

Mengikut arus usia, Bell, Darling dan Anne mula menerima tawaran yang sesuai dengan perwatakan. Menjadikan lakonan sebagai punca utama pendapatan, Darling menubuhkan Nasridz Pictures Sdn. Bhd. sebagai tanda kesungguhannya menjadi anak seni.

Sementara itu, Bell mula berjinak-jinak dalam penulisan skrip, manakala Anne masih tidak melupakan dunia lakon walau sudah bergelar isteri.

Anita Sarawak dan Noorkumalasari



Meski berlainan ibu, mereka tetap sedarah sedaging apabila nama mereka berbintikan lelaki yang sama iaitu Muhammad Toyib Salleh atau lebih dikenali sebagai seniman S. Roomai Noor.

Sama cantik, sama bergaya dan sama berbakat, Anita Sarawak yang beribukan primadona Siput Sarawak merupakan kakak tiri kepada Noorkumalasari yang dilahirkan oleh seniwati Umi Kalsom.

Walaupun dibesarkan dalam persekitaran yang berbeza, kedua beradik ini memilih untuk menjadi anak seni mengikut jejak langkah ibu bapa mereka.

Menetap di Singapura, Anita muncul pertama kali sebagai pelakon menerusi filem Dua Kali Lima sekitar tahun 1966 sebelum mengambil keputusan merakamkan album sulung pada tahun 1970.

Merasakan dirinya lebih sebati dengan dunia nyanyian, Anita berkelana jauh sehingga ke Las Vegas demi mengejar impian bergelar penghibur bertaraf antarabangsa.

Suaranya yang unik, imejnya yang sering bertukar serta showmanship yang mantap menjadi faktor mengapa dia masih unggul. Dalam usia 54 tahun, dia masih gagah berdiri di persada pentas.

Pernah dilabel sebagai ratu air mata filem-filem Melayu era 1980an, Noorkumalasari bermula sebagai peragawati dan turut bergelar penyanyi.

Datang dalam pakej lengkap seorang selebriti, Noorkumalasari tiada ganti sampai ke hari ini. Membuat keputusan bersara dalam dunia hiburan selepas pulang menunaikan ibadah haji pada tahun 1997, dia kini lebih bahagia menjalani hidup sebagai suri rumah sepenuh masa dan ibu kepada empat orang anak.

Antara pasangan adik-beradik popular lain

Tempatan
* Khadijah dan Latiff Ibrahim
* Azlina dan Liza Aziz
* Mazlan dan Mazuin Hamzah
* Dilla, Fairuz dan Faizal Hussein
* Ella dan Korie
* Siti Nurhaliza dan Ayie
* Ida dan Edie Moin
* Zizie Ezette dan Jeff A To Z
* Rosyam Nor dan Azman Nor
* Ashraf Sinclair dan Aishah Sinclair
* Adnan, Azman dan Azlan Abu Hassan
* Fauziah Nawi dan Mustafa Fuzer Nawi
* Bibiana Layola dan Nor Aliah Lee

Antarabangsa
* LaToya, Michael dan Janet Jackson
* Jessica dan Ashley Simpson
* Nick dan Aaron Carter
* Paris dan Nicky Hilton
* Mary-Kate dan Ashley Olsen
* Karisma dan Kareena Kapoor
* Sunny, Bobby dan Esha Doel
* Arbaaz dan Salman Khan
* Ricky, Michael dan Sam Hui
* Kelly dan Victor Chen