eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: 05/06

Tuesday, May 30, 2006

Episod Baru Gol & Gincu



Meskipun Gol & Gincu tidak meraih kutipan box-office di pawagam, penerbitnya Red Communications enggan patah semangat. Mereka percaya ia mempunyai pengikut tersendiri, bahkan berasa teruja apabila 8TV memberikan mandat untuk memanjangkan kisah remaja itu ke kaca televisyen.

“Gagal di panggung bukan bererti gagal dari segi kualiti. Kami sudah memberikan yang sehabis baik dan tidak menyesal sama sekali. Namun begitu, cadangan untuk membikin sekuel tidak pernah timbul sehinggalah 8TV menunjukkan minat bagi penerbitan siri tv. Ia satu peluang yang lebih baik!” kata penerbit eksekutif, Lina Tan.

Memulakan perbincangan idea sejak awal tahun lagi, Lina dibantu oleh ketua penulis skrip, Rafidah Abdullah dan pengarah Bernard Chauly.

“Kebanyakan tenaga kerja yang pernah terlibat dalam filem bergabung semula untuk Gol & Gincu The Series. Bermula dari barisan pelakon, penulis, pengarah dan jurukamera, sehinggalah kepada tatarias dan jurusolek,” sambung Lina.

Meneruskan apa yang terhenti dari versi filem, siri ini menyaksikan penyatuan cinta antara Putri dan Reza, apa yang terjadi kepada Eddy selepas ditinggalkan Shasha dan konflik-konflik lain yang timbul berlatar belakangkan generasi remaja urban.

“Sebaik saja projek ini dilancarkan, kesemua pelakon dan krew yang terlibat telah memberi kata persetujuan dan tidak sabar-sabar untuk turun ke lokasi,” akui Bernard.

“Malah, ada di antara mereka yang sudah mula membayangkan sendiri bagaimana mahu mengembangkan karakter masing-masing,” ujarnya lagi. Bagi tugas pengarahan, Bernard dibantu oleh beberapa sutradara lain seperti Low Ngai Yuen, Imri Nasution dan Lina Tan sendiri.

Ditanya mengenai cabaran menulis skrip untuk 13 episod yang setiap satunya berdurasi sejam, Rafidah memberitahu: “Saya mengambil masa setahun untuk menulis skrip filem yang memakan masa 90 minit. Bayangkan pula bagaimana mahu menulis untuk sirinya!

“Saya beruntung kerana dibantu oleh penulis-penulis yang lain seperti Mira Mustafa dan Fahmi Fadzil. Begitu pun, bukan satu perkara yang mudah untuk memastikan momentum tontonan siri ini berterusan dan menjadikan ia bertambah menarik. Kami sentiasa cuba mencari idea-idea terbaru yang belum pernah dipaparkan sebelum ini.”

Menolak andaian Gol & Gincu The Series bakal menjadi sebuah lagi produk klon 3R (memandangkan tenaga kreatifnya terdiri daripada orang yang sama), Rafidah menegaskan keduanya berbeza dari segi format.

“3R berbentuk majalah, manakala siri ini adalah sebuah drama. Mungkin siri ini akan turut menyelitkan isu-isu semasa, tetapi gaya penyampaiannya subtle berbanding gaya 3R yang lebih jelas dan fokus,” terangnya.

Dari layar lebar ke layar kaca, Putri akan dijelmakan semula oleh Fazura, Eddy (Ashraf Sinclair), Shasha (Sazzy Falak), Reza (Pierre Andre), Mia (Melissa Maureen), Zie (Rafidah Abdullah), Sarah (Kartini Kamalul Ariffin), Ling (Celina Khor), J (Fasha Rahman), Dayang (Zarina AF) dan Datin Aina (Bernard Chauly).

Dua wajah baru turut diperkenalkan iaitu Razif Hashim sebagai Haikal dan Mazlyna Hasan memainkan watak Ayu. Beberapa pelakon terkenal juga bakal muncul sebagai undangan antaranya Que Haidar, Jit Murad, Vanida Imran serta Elaine Daly, termasuk pelakon asal versi filem, Sharifah Amani.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar, penerbitan Gol & Gincu The Series adalah seiring dengan kehendak dan cita rasa penggemar stesen tersebut.

“Versi filemnya sangat menarik dan mempunyai tarikan kepada golongan remaja. Kami melihat potensi untuk Gol & Gincu dipanjangkan kepada siri tv, apatah lagi ketika demam bola Piala Dunia sedang melanda,” jelasnya.

Optimis siri ini bakal menerima sambutan memberangsangkan, Gol & Gincu The Series juga menjadi penyambung kepada usaha stesen milik Media Prima Berhad itu menayangkan lebih banyak lagi produk-produk keluaran tempatan.

Sinopsis Gol & Gincu The Series

Putri dan Reza merupakan sepasang kekasih dari latar belakang yang berbeza. Selain dari persamaan minat terhadap sukan futsal dan perasaan cinta yang dikongsi bersama, sebenarnya mereka amat terasing.

Putri datang dari keluarga berada yang gilakan fesyen, manakala Reza pula terpaksa bekerja separuh masa untuk menanggung pengajiannya dalam bidang undang-undang di sebuah universiti tempatan.

Masalah bermula apabila Reza masih dibayangi oleh kekasih lama Putri, Eddy. Berasa rendah diri dan insecure, dia mula dirapati oleh rakan baru Putri, Ayu. Ayu sebenarnya sudah lama menaruh perasaan kepada Reza dan berniat menghancurkan percintaan mereka.

Dalam masa yang sama, kawan rapat Putri, Mia memutuskan untuk berkahwin awal dan berhenti belajar. Rakan-rakan sepasukannya bermain futsal, Bukan Team Biasa (BTB) juga mula membawa haluan sendiri.

Ironinya, Shasha yang dulu memusuhi Putri kini mula berbaik-baik. Tanpa sedar, ibu Putri pula diburu kekalutan apabila seseorang yang tidak diundang muncul tiba-tiba.

Apa kata para pelakon?

“Peminat akan dapat menyaksikan transformasi Putri daripada seorang gadis lemah kepada wanita matang yang pintar. Bagaimana dia menangani masalahnya di samping rakan-rakan yang sentiasa membantu dalam susah dan senang.

“Saya tidak menafikan yang Putri dan diri saya yang sebenar banyak persamaan. Tetapi, itu bukan alasan untuk saya bekerja sambil lewa. Ia memudahkan saya untuk menghayati karakter dengan lebih berkesan” - Fazura

“Saya teruja untuk melihat sejauh mana watak Eddy ‘membesar’. Durasi filem terlalu pendek untuk melihat perkembangan itu” - Ashraf Sinclair


“Saya seronok dapat kembali ke set Gol & Gincu yang menyeronokkan kerana kami tidak terasa seperti bekerja. Saya percaya dengan sokongan tenaga yang terlibat, siri ini akan menghasilkan sebuah hidangan yang menghiburkan” - Sazzy Falak


“Dalam siri ini, Reza lebih banyak berdepan dengan konflik dan sudah pasti, tanggungjawab untuk merealisasikan karakter tersebut lebih berat. Walau bagaimanapun, saya gembira kerana berpeluang sekali lagi untuk ‘mengenali’ Reza dengan lebih mendalam” - Pierre Andre

** Gol & Gincu The Series akan mula ditayangkan di 8TV selama 13 minggu mulai 4 Jun ini, pukul 10 malam.

Sunday, May 28, 2006

Aksi Maksimum X-Men 3




Tajuk: X-Men: The Last Stand

Genre: Aksi adventure

Pengarah: Brett Ratner

Para pelakon: Hugh Jackman, Halle Berry, Ian McKellen, Famke Janssen, Anna Paquin, Kelsey Grammer, Rebecca Romjin, James Marsden

Penilaian: 3 bintang

Penawar untuk genetik mutasi telah berjaya ditemui. Generasi X-Men yang diketuai oleh Profesor Xavier kini berada dalam dilema, sama ada ingin menjadi manusia normal atau terus hidup dengan kuasa yang dimiliki.

Bagaimanapun, kelompok Brotherhood yang dikepalai oleh Magneto menentang keras penemuan tersebut. Mereka menganggap ia sebagai satu penghapusan masyarakat mutan, lalu melancarkan perang. Dalam masa yang sama Jean Gray yang mati bernyawa semula, mempunyai kuasa Dark Phoenix yang luar biasa dan mampu memusnahkan.

X-Men: The Last Stand boleh disifatkan sebagai sebuah francais yang paling kompleks berbanding dua filem sebelumnya. Jika siri ini terbukti sebagai siri yang terakhir, ia berjaya untuk kelihatan sangat gah, besar dan mewah.

Dari segi itu, sutradaranya Brett Ratner ternyata sukses sekali. Namun demikian, dia telah melakukan satu kesilapan besar yang tidak dipelajari daripada pengarah sebelum ini, Bryan Singer.

Filem ini berdurasi kurang dua jam, menjadikan ia yang terpendek antara tiga filem X-Men. Dengan karakter yang ramai, termasuk watak-watak baru seperti Beast, Angel dan Juggernaut, Ratner sepatutnya menggunakan kelebihan itu untuk memanjangkan durasi sehingga ke tiga jam.

Ratner tergesa-gesa untuk sampai ke klimaks, menyebabkan watak-watak yang sepatutnya mendapat lebih perhatian terabai. (Mungkin Ratner tidak patut disalahkan dalam hal ini, kerana dia hanya mengikut kehendak studio penerbitan. Mungkin penerbit mahu filem ini cepat siap sebelum Superman Returns masuk panggung. Nota: Superman Returns diarahkan oleh Bryan Singer).

Perkembangan karakter terbantut, membuatkan filem ini kelihatan melebihkan stail daripada substance. Begitu pun, sudah menjadi sifat sebuah filem superhero, efek khas adalah kunci utama persembahan. Langsung, apa yang dijangkakan, itulah yang penonton dapat.

X-Men: The Last Stand sememangnya mempunyai lebih banyak adegan aksi berbanding X-Men dan X2. Sebaik saja filem ini menangkap perhatian penonton, ia akan terus menggamit sehingga ke kredit yang akhir.

Walaupun filem ini dibarisi oleh bintang-bintang terkemuka, Ian McKellen dan Hugh Jackman yang paling menonjol. McKellen sekali lagi membuktikan kehandalannya memainkan Magneto, mewarnakan karakter itu dengan penuh tenang, bijak tetapi jahat.

Konsistensi Jackman memberi jiwa kepada Wolverine pula dikagumi dan penuh karismatik. Sementara itu, kepintaran jurusolek ‘menghilangkan’ Kelsey Grammer dari pandangan penonton patut dipuji, tetapi ia dirosakkan sendiri dengan lakonannya yang sederhana saja semasa membawakan watak Beast.

Kasihan Halle Berry. Dia muncul tanpa kepentingan. Anehnya, kehadirannya seperti tidak terasa dan tidak dipedulikan, meskipun adegannya banyak.

Sebagai sebuah summer blockbuster yang mindless, X-Men: The Last Stand memang menghiburkan. Ia penuh dengan kejutan dan tanda tanya. Tetapi, filem ini juga berkemampuan untuk membuatkan peminat setia komiknya patah hati, positif dan negatif. Pertama, kerana ‘kematian’ beberapa watak penting, manakala sebab kedua kerana filem ini tidak mencapai piawaian dan harapan mereka.

Thursday, May 11, 2006

Kasih Ibu Bawa Ke Syurga

Bayangkan betapa mulianya darjat seorang ibu, sehingga bidalan mengibaratkan syurga di bawah telapak kakinya. Hari ini, Hari Ibu Sedunia. Sama seperti insan-insan lain, selebriti tempatan juga tidak terlepas dari meraikannya.

Mendekati empat pasangan ibu dan anak, mengorek rahsia keharmonian hubungan suci mereka.


Serasi Di Rumah, Janggal Di Lokasi

Mengimbas dan melalui detik istimewa bersama ibu tercinta, setiap orang mempunyai cerita sendiri yang mempunyai kesan bagai mukjizat ke atas kehidupan mereka sehingga kini.

Begitu juga dengan aktor tampan yang wajahnya sering menghiasi kaca TV ini. Bagi Rusdi Ramli satu ketika dahulu dia pernah berasa rimas kerana beribukan seorang pelakon bernama Norlia Ghani.

Ketika itu dia masih di sekolah rendah, ke mana sahaja dia melangkah ada sahaja suara-suara nakal yang memanggilnya dengan panggilan ‘Joyah’, nama watak ibunya menerusi drama popular, Opah.

“Timbul juga perasaan bengang seolah-olah diejek oleh rakan-rakan di sekolah, di dalam bas dan di mana sahaja. Tetapi itu semua semasa saya masih kecil, kini saya sudah cukup mengenali siapa dia Norlia Ghani. Bagi saya dialah ibu dan wanita paling hebat di dunia,” luah Rusdi.

Mengikut jejak ibunya menjadi pelakon bukanlah bermakna Rusdi berkongsi ranjau duri dunia lakonan bersama ibu tersayang. Sebaliknya luah Rusdi, mungkin disebabkan dia seorang yang agak pendiam, dia bukanlah jenis yang suka bercerita tentang karier bersama ibu.

Mereka sebenarnya tidak pernah bercakap mahupun bertukar pandangan terhadap karier masing-masing. Malah jika dia akan merasa agak janggal jika diberikan tawaran untuk sama-sama terlibat dalam sesebuah produksi.

“Satu-satunya perkara dikongsi bersama adalah kecintaan terhadap lakonan, seronok dan serius dengan pekerjaan yang kami lakukan. Inilah satu-satunya periuk nasi kami sekeluarga,” beritahu Rusdi yang manja dengan panggilan Boy di kalangan keluarga dan kenalan terdekat.

Akui Norlia sendiri, 57, Rusdi bukanlah anak yang banyak kerenah. Dia pandai menjaga diri dan nama baik keluarga. Biarpun statusnya sebagai duda, Rusdi jarang dikaitkan dengan berita sensasi yang boleh menjatuhkan maruah.

Serasi, berkongsi minat dan karier yang sama, tetapi dua beranak ini jelas punya personaliti berbeza.

“Mama jenis yang suka berterus-terang, dia tidak simpan apa yang tidak disukainya. Walaupun mama garang dan tegas tetapi saya tahu dia seorang ibu cekal dan sangat sayangkan keluarga,” jelas Rusdi lagi.

Komitmen dan kesibukan di lokasi tidak menghalang dua-beranak ini mengecap detik-detik bahagia apabila ada kelapangan waktu.

“Sudah enam tahun saya tidak tinggal bersama ibu, kalau rindu saya akan mengajak ibu sekeluarga pergi makan makanan laut, itu kegemarannya dan dia tidak pernah menolak pelawaan saya,” jelas Rusdi.

Seperti anak-anak yang lain, Rusdi tidak lupa memberikan sesuatu yang istimewa buat ibu tersayang khususnya menjelang sambutan Hari Ibu.

“Paling utama saya mahu mama tahu bahawa saya sangat sayangkan mama. Dia mama yang paling ‘sporting’ dalam dunia. Sempena Hari Ibu ini saya bercadang memberikan hadiah yang cukup istimewa buat mama,” beritahu Rusdi mengakhir perbualan.

Mummy Teman Menonton Wayang

“Sejak kecil saya memang rapat dengannya. Kalau ada masalah, dialah orang pertama yang menjadi tempat rujukan. Status ibu baginya setaraf dengan status seorang teman rapat,” akui Pierre Andre, 21 tentang mummy kesayangannya, aktres hebat Khatijah Tan, 45.

Anak sulung daripada dua beradik ini tidak malu jika dilabelkan sebagai ‘anak emak’. “Saya senang dengan panggilan itu, malah berasa lega kerana mempunyai mummy yang sangat memahami dan mengambil berat. Namun itu bukan alasan untuk saya bergantung harap sepenuhnya kepada mummy,” sambungnya.

Mereka bertambah akrab apabila Pierre mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan sejak dua tahun lalu. “Kami boleh berbincang apa saja tentang sesuatu karakter atau filem. Kalau ada kelapangan, kami sering keluar menonton bersama,” jelas hero filem Salon ini.

Khatijah yang asyik tersenyum memerhatikan anaknya, tiba-tiba bersuara: “Tetapi dia jarang berkongsi masalah di lokasi. Mungkin dia tidak mahu saya risau dan menganggap ia sebagai satu cabaran. Lagi pun, memang sifatnya seorang yang pendiam dan suka menyendiri.”

Menceritakan bagaimana Pierre boleh mengikut jejak langkahnya, Khatijah berkata, “Selepas tamat sekolah, dia memberitahu dia mahu berlakon. Saya tegah kerana saya tahu manis pahitnya menjadi anak wayang. Apabila difikirkan semula, mengapa halang jika minatnya sudah di situ. Saya tidak boleh menafikan darah seni yang mengalir dalam tubuhnya.

“Tetapi, kebenaran saya dan suami bersyarat. Dia mesti menjadi pelakon yang berilmu dan komited. Bukan sekadar penghias majalah dan karam dihanyutkan oleh gosip. Kerana itu, kami menggalakkan dia sambung belajar di Akademi Seni Kebangsaan dalam jurusan lakonan.”

Meskipun pernah berlakon dalam filem dan drama yang sama, antaranya Potret Mistik dan Gol & Gincu, mereka tidak pernah digandingkan sebagai ibu dan anak. Bagaimanapun, untuk drama Dunia Baru yang sedang ditayangkan di TV3, mereka tidak mampu menolaknya.

“Apabila disatukan dengan pelakon yang tidak saya kenali, saya rasa tercabar. Saya akan lebih berusaha untuk ‘mendekatinya’,” cerita Khatijah. “Justeru, apabila dipasangkan dengan Pierre, saya rasa mudah dan itu tidak memberikan kepuasan maksimum.”

Namun atas permintaan pengarah, tawaran itu dipenuhi dan watak Khatijah diberikan ‘lebih warna’ sebagai seorang ibu yang bertudung.

Bercerita tentang sambutan Hari Ibu, kata Pierre: “Saya meraikan dan menghargai mummy setiap hari, tanpa perlu satu hari yang khusus. Mungkin saya tidak mampu memberikan hadiah yang mahal-mahal, tetapi kasih sayang saya kepadanya tidak ternilai harga.”

Seraya mengangguk, Khatijah menyambung, “Setiap kali sebelum keluar rumah, dia akan mencium tangan, pipi dan dahi saya. Itu sudah cukup bererti dan membuatkan hati saya tenang.”

Lebih Seronok Hari Ibu Dari Hari Lahir

“Jarak hari jadi emak saya beza enam hari dengan hari lahir ayah. Kalau ada sambutan, dia terpaksa ‘berkongsi’. Sebab itu, dia lebih seronok menyambut Hari Ibu sebab hari itu dia boleh dapat sepenuh perhatian!” kata Awal Ashaari mengenai ibu kesayangannya, Aishah Mohd. Amin, 56 tahun.

Menurut pengacara One In A Million ini, sememangnya Hari Ibu menjadi hari wajib yang mesti diraikan dalam tradisi keluarganya. “Kerana mempunyai adik-beradik yang ramai dan masing-masing tidak dapat berkumpul sekali gus, hari ibu disambut lebih sekali dalam setahun. Emak memang beruntung!” kata anak kelapan daripada sembilan bersaudara ini.

Merupakan satu-satunya anak yang masih tinggal bersama ibu bapa di Kg. Baru, Kuala Lumpur, Awal mengakui hubungan mereka sangat akrab.

“Sayalah tempat mereka mengadu sakit pening dan bermanja. Saya tidak perlu menunggu hari khusus untuk memberikan emak hadiah. Bila ada rezeki lebih, saya suka belikan emak barang-barang elektronik seperti peti sejuk, mesin basuh, pemain DVD dan telefon bimbit,” cerita jejaka berusia 28 tahun ini tanpa berahsia.

Katanya, itu semua adalah cara dia membalas budi atas doa dan restu emaknya membenarkan Awal bergiat dalam bidang yang diminati. “Dia seorang suri rumah sepenuh masa, jadi saya tidak kisah berbelanja lebih untuknya,” sambung Awal.

“Kerana jadual saya yang terlalu padat tahun ini, saya merancang untuk menyambut Hari Ibu lebih awal. Saya pun rasa tidak sedap hati bila setiap kali menonton televisyen bersamanya, iklan Hari Ibu asyik terpapar di skrin!” jelas Awal.

Dalam nada yang cukup ceria, dia menceritakan bagaimana ibunya bergurau menjelang tibanya hari bahagia itu. “Dia cakap, ‘emak rasa hendak beli baju raya awallah tahun ini. Baju dari kain sutera.’ Itu bayangannya untuk hadiah yang dia mahukan. Pada saya, itu lebih mudah daripada saya belikan dia barang yang mungkin dia tidak suka.”

Menyifatkan emaknya sebagai seorang yang lembut hati tetapi cukup tegas apabila berdepan dengan masalah disiplin anak-anak, Awal berkata, “Naluri seorang emak, dia tahu jika saya bersedih atau susah hati. Dia akan datang memujuk atau bertanya. Dia kenal siapa saya yang sebenar, luar dan dalam. Saya fikir itulah kehebatan menjadi seorang ibu.”

Tidak Sambut Hari Ibu

“Saya tidak sambut Hari Ibu atau Hari Bapa. Maklumlah, kami ini orang Jawa campur Jepun, tidak biasa dengan sambutan sebegitu. Bila-bila masa pun saya boleh raikan mereka dengan mengajak keluar makan,” jawab Yasmin Ahmad selamba apabila ditanya apa perancangannya untuk ibu tersayang, Inom Yon, 72 tahun.

“Tapi, emak saya ada juga cakap hari minggu nanti datanglah ke rumahnya sebab dia mahu masakkan lempeng dengan sambal,” sambungnya lagi sambil ketawa kecil.

Menurut Yasmin, emaknya gemar memasak dan seringkali ‘memarahinya’ kalau dibawa makan ke restoran-restoran mahal. “Dia cakap, ‘buat apalah kau bazir duit macam ini. Belikan aku udang, masak di rumah lagi sedap’,” cerita sutradara Gubra ini terus-terang.

Menceritakan keistimewaan seorang insan bernama Inom di matanya, Yasmin berkata: “Dia seorang wanita bertubuh kecil yang berjiwa besar. Sebagai seorang bekas pensyarah, dia cukup menitikberatkan disiplin, tetapi dalam masa yang sama tidak lokek kasih sayang. Dia selalu meletakkan harapan yang tinggi, baik kepada anak-anak mahu pun para pelajarnya, tetapi itu semua demi kebaikan.”

Biarpun kini sudah berusia 48 tahun, Yasmin tidak malu untuk mengaku dia masih manja dengan emaknya. “Sebab saya jenis yang tidak kuat merajuk macam adik-beradik yang lain. Kalau kena marah pun, selepas puas menangis, saya datang balik kepada emak, ajak berborak atau makan-makan,” ujarnya.

Namun demikian, itu tidak bermakna dia tidak akrab dengan bapanya. Beritahu Yasmin: “Emak pergi ke mana-mana pun berdua dengan ayah sampailah ke bilik air mandi bersama.

“Saya tidak pernah malu untuk berkongsi rahsia ini dengan orang kerana pada saya, mereka saling mencintai. Kerana itu kalau ada apa jua masalah, saya tidak boleh bercerita pada emak saja tanpa ayah.”

Ditanya apakah pesanan emak yang paling diingatinya, tidak teragak-agak Yasmin menjawab: “Semasa saya baru hendak melangkah ke dunia pekerjaan, dia berkata ‘jangan sesekali kita takut dengan orang yang di atas, dan jangan sesekali memandang rendah kepada mereka yang di bawah.’ Prinsip itu saya pegang hingga sekarang.”

Hadiah Yasmin kepadanya yang paling bernilai? “Filem cereka pertama saya, Rabun,” katanya ringkas.

Wednesday, May 10, 2006

Realiti Sedih Man Laksa




Tajuk: Man Laksa Dalam Malam Amal Kampung Talang

Genre: Komedi

Pengarah/Lakon Layar/Cerita Asal: Mamat Khalid

Pelakon: Yassin Yahya, Sharifah Aleya, Saiful Apek, Zami Ismail, Harun Salim Bachik, Aqasha, Loloq

Penilaian: 2.5 bintang

Melalui tajuknya saja kita sudah dapat mengagak ia sebuah filem komedi, apatah lagi apabila mengetahui Mamat Khalid adalah sutradaranya.

Selepas ‘diperam’ dua tahun oleh penerbit Tayangan Unggul, akhirnya Man Laksa Dalam Malam Amal Kampung Talang berjaya menemui penonton. Adakah ’laksa masakan’ Mamat kali ini lebih enak rasanya berbanding Lang Buana dan Rock?

Man Laksa (Yassin Yahya) ialah seorang pemuda yang mencari rezeki dengan menjual laksa di kampungnya. Biarpun dia sering diperkecilkan kerana mempunyai masalah pertuturan dan tidak sesegak pemuda kampung yang lain, dia menjalin hubungan cinta dengan anak ketua kampung bernama Chah (Sharifah Aleya).

Satu hari, Kampung Talang menganjurkan malam amal bagi membantu Pak Maon yang kebakaran rumah. Fadhil Mat Dom (Saiful Apek) yang dilantik sebagai pengerusi ahli jawatankuasa tiba-tiba pengsan apabila mendapati pelbagai persiapan yang diaturnya menimbulkan masalah.

Untuk mengelakkan suasana dari terus huru-hara, ketua kampung telah membuat tawaran bahawa siapa yang dapat menggantikan tempat Fadhil dan menguruskan malam amal dengan cemerlang, dia bakal mengahwini Chah. Man Laksa tanpa teragak-agak menyahut cabaran tersebut.

Berdasarkan premis ini, Man Laksa sebenarnya mempunyai jalan cerita yang menarik. Membaca sinopsisnya saja mungkin sudah menimbulkan keterujaan peminat untuk pergi ke pawagam menonton.

Namun demikian, filem ini tidak dibina dengan struktur yang kuat. Peranan Man Laksa sebagai pengerusi malam amal tidak cukup jelas, malah boleh dikatakan tidak meyakinkan. Dia hanya menunggu di belakang pentas, menanti jika ada sesiapa yang muncul untuk membuat persembahan.

Dia tidak berusaha mencari penghibur, sebaliknya hanya berharap keajaiban datang sendiri. Selebihnya, dia asyik bersembang dan berbual cinta dengan Chah tentang masa depan. Karakter Man Laksa tidak berkembang, begitu juga dengan Chah yang hanya menjadi ‘bunga hiasan’ dalam filem ini.

Man Laksa banyak bergantung kepada watak-watak sampingan untuk memberikannya nyawa. Hati penonton lebih menggeletek apabila menyaksikan Cik Man Emcee (Man Kadir), Hamdan Ramli (Hamdan Tahar), K. Kasdan (Dewa Sapri) dan Yah Koboi (Nadia Mustafar), meskipun mereka muncul hanya sekejap.

Bukan Harun Salim Bachik tidak bagus sebagai Saedon Dengki, tetapi selalu sangat kita menontonnya sebagai samseng kampung. Watak sebegini sudah tipikal untuk aktor versatil sepertinya.

Man Laksa yang sepatutnya menjadi sebuah naskhah lucu bertukar menjadi filem yang meleret-leret. Penonton ‘dipaksa’ menyaksikan satu demi satu nyanyian fun fair kampung, bermula dari persembahan kumpulan Mat Topoi dan pertandingan ratu cantik, sehinggalah kepada kemunculan Ahmad Jais (Zahid AF), Kartina Dahari (Farah AF) dan Saloma.

Tiada salahnya jika Mamat mahu membuat tribute untuk penyanyi-penyanyi era lama ini, tetapi tidaklah sehingga pembangunan cerita terpinggir. Binaan set dan props juga harus diteliti, meskipun Mamat boleh memberi alasan bahawa filem ini periodless, tidak spesifik kepada mana-mana zaman.

Man Laksa sebenarnya satu karakter yang cukup mendukacitakan. Dia tidak wajar menjadi subjek ketawa, apatah lagi di akhir cerita, penonton mendapati bahawa dia hanya berangan-angan. Realitinya, pemuda yang kurang serba-serbi seperti Man Laksa tidak akan mengecap kebahagiaan sampai bila-bila.

Tidak salah jika dikatakan filem ini berakhir dengan kesedihan.

Tuesday, May 02, 2006

Misi Chef Wan



Dia bukan Mawi atau pun Siti Nurhaliza, tetapi lelaki yang berusia 50 tahun ini amat popular dalam pengaruhnya yang tersendiri. Sebut saja nama Chef Wan, siapa yang tidak kenal, malah nama itu selalu meniti di bibir para pencinta arena kulinari seantero dunia.

Bakatnya sebagai tukang masak bukan hanya di tangan, tetapi juga di mulut. Kerana mulutnya yang bercakap seperti bertih jagung itulah, dia diminati dan rezekinya mengelilingi dunia tidak pernah putus. Selama 18 tahun mengabdi diri, sampai ke hari ini dia masih unggul sebagai chef selebriti nombor satu.

Satu demi satu anugerah diraih dan yang terbaru, anak jati Raub, Pahang ini menerima anugerah daripada World Gourmet Summit di Singapura atas kecemerlangan persembahan dan komitmennya sepanjang acara berlangsung.

“Saya terkejut kerana sama sekali tidak menyangka diberi penghargaan sedemikian . Manakan tidak, acara itu dihadiri oleh chef-chef antarabangsa yang kebanyakannya mempunyai restoran sendiri, sedangkan saya yang dipilih sebagai pemenang tiada restoran pun!” ceritanya teruja.

Menganggap ini semua adalah hasil kerja kerasnya yang tidak pernah jemu mengangkat martabat masakan tradisional Melayu, empunya nama sebenar Redzuawan Ismail ini berkata: “Saya selalu percaya yang makanan kita tidak kurang hebat berbanding makanan Itali atau Perancis. Makanan kita kaya dengan ulam-ulaman, rempah dan pelbagai jenis penyediaan yang unik dan menarik untuk kita jaja ke peringkat luar.”

Kata-katanya itu bukan sekadar omongan kosong. Menjelang Gourmand World Media Awards 2005 di mana Kuala Lumpur bakal menjadi tuan rumah buat julung-julung kalinya, Chef Wan sudah memikirkan beberapa idea menarik untuk tontonan dan santapan para tetamu nanti. Apatah lagi, bapa kepada dua orang anak ini telah dilantik sebagai penasihat kreatif merangkap pengerusi di Asia untuk majlis tersebut.

“Ini merupakan penganjuran tahun yang ke-11 selepas beberapa bandar lain seperti Frankfurt dan Barcelona menjadi tuan rumah. Acara ini bolehlah disifatkan sebagai ‘Oscar’ untuk arena kulinari dan selama empat hari berlangsungnya acara ini, pelbagai aktiviti seperti seminar dan demonstrasi akan diadakan,” ujarnya.

Mulanya cuma sebuah buku masakan, majlis berprestij anugerah Gourmand akan berjalan mulai 17 hingga 21 Mei ini di Hotel Palace of the Golden Horses, Sri Kembangan, Kuala Lumpur.

Sebanyak 49 anugerah akan diberikan dengan kehadiran kira-kira 1,000 tetamu undangan daripada seluruh pelosok dunia, termasuklah para editor majalah, penulis buku kulinari dan barisan personaliti terkenal. Dijadualkan 57 buah negara akan mengambil bahagian dengan liputan daripada 27 buah rangkaian stesen televisyen.

“Tarikan utama acara tersebut ialah adat santapan Keluarga Diraja Perak serta majlis perkahwinan Puteri Perak. Saya ingin ‘mewujudkan’ sebuah balai rong seri seperti di Istana Iskandariah, lengkap dengan peralatan serta barang-barang kebesaran autentik yang dipinjam daripada istana,” jelasnya.

Selain menonjolkan sajian-sajian asli tersebut, Chef Wan juga ingin menarik minat orang luar untuk mengalami sendiri keindahan kebudayaan tradisional. “Majlis perkahwinan itu akan dilakukan seolah betul-betul, lengkap dengan pasangan pengantin dan adat-istiadat.

“Bilik yang seterusnya pula akan mempamerkan masakan budaya Minangkabau dan adat perpatih, serta pameran masakan Baba Nyonya. Saya juga ingin mengkhususkan sebuah bilik untuk chef-chef selebriti beraksi bagi mempamerkan kehandalan mereka,” sambungnya yang akan turut memberikan dua ceramah mengenai kepentingan ulam dalam masyarakat Melayu dan penggunaan jamu rempah di Asia.

“Saya memang tidak boleh berhenti daripada memperkatakan tentang godaan dan keseronokan masakan Melayu. Daripada pengaruh empayar Ottoman, sehinggalah kedatangan Parameswara ke Melaka, Malaysia menerima banyak pengaruh-pengaruh luar dalam soal pemakanan yang kemudiannya diperturunkan menjadi warisan kita,” akuinya sambil melempar senyum.

Seorang yang tidak tahu duduk diam, selepas acara Gourmand, Chef Wan akan berlepas ke Pesta Makanan di Vancouver serta mendapat undangan ceramah di Asia House di Universiti Wales, London.

“Tetapi, saya masih tidak melupakan para peminat di sini. Meskipun bukan sebuah program masakan, saya harap mereka akan terhibur dengan program bual bicara saya, Usik-Usik di TV9,” ucap lelaki yang tidak dimakan usia ini.

Ditanya jika dia sudah melupakan bidang lakonan, jawabnya yang pernah membintangi filem Lurah Dendam, Baginda dan Senario XX: “Dengan masa yang suntuk ini, saya tengok-tengok juga kalau ada tawaran yang menarik. Tetapi dengan usia yang sudah lanjut, saya hanya layak pegang watak bapa saja!”

* Untuk maklumat lanjut mengenai yuran penyertaan Gourmand World Media Awards 2005, sila hubungi 03-620 13301.