eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: 04/06

Sunday, April 30, 2006

Jaclyn Victor Lagi


Kena dengan judulnya, ‘badi’ Gemilang terus melekat. Selepas meraih kecemerlangan di Anugerah Juara Lagu ke-20 yang lalu, Gemilang dan Jaclyn Victor ibarat dua entiti yang tidak boleh dilepas pandang.

Kehebatan susunan muziknya diakui, melodi indahnya juga diangkat tinggi dan penyanyinya diraikan. Anugerah Industri Muzik ke-13 (AIM13) sekali lagi menyaksikan bintang kelahiran Malaysian Idol yang pertama ini pulang membawa kejayaan yang bukan sedikit.

Sememangnya bukan satu kejutan apabila Jaclyn mendominasi, sementelah dia menerima pencalonan tertinggi dalam AIM13. Trofi Album Pop Terbaik, Artis Baru Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Album Terbaik kini berada dalam genggamannya.

Bergaun sifon kuning rekaan Carven Ong, Jaclyn turun naik pentas mengulang ucapan yang sama semasa menerima anugerah.

“Malam ini jantung saya tidak henti-henti berdebar. Terima kasih Tuhan atas anugerah yang diberikan iaitu suara saya, kepada ibu kerana sentiasa berada di sisi apabila saya memerlukan dan kepada para peminat yang sering menolak saya ke depan,” katanya sambil menghadiahkan sebuah senyuman.

“Sebagai seorang yang sangat baru dalam industri ini, saya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan barisan komposer serta penulis lirik yang hebat-hebat belaka,” jelasnya lagi.

Namun demikian, Adibah Noor yang menerima pencalonan terbanyak selepas Jaclyn gagal meraih sebarang trofi. Inilah yang dinamakan lumrah sebuah pertandingan.

Begitu pun, Siti Nurhaliza masih terus unggul apabila berjaya mengekalkan mahkotanya menerusi kemenangan Persembahan Vokal Terbaik (Wanita) Di Dalam Album selama lapan tahun berturut-turut sejak 1999. Kejayaannya memberikan justifikasi dia sememangnya layak dilabel sebagai penyanyi nombor satu negara.

“Saya bersyukur kerana masih lagi diberi kepercayaan untuk memegang trofi ini. Terima kasih kepada semua yang menjayakan album rakaman langsung konsert di Royal Albert Hall, London ini, terutamanya pengarah muzik Roslan Aziz yang banyak memberikan inspirasi,” ujarnya.

Meskipun kebanyakan para pemenang AIM13 sudah dapat dijangka, Shanon memberikan sedikit warna kejutan apabila dia dipilih untuk menerima anugerah Persembahan Vokal Terbaik (Lelaki) Di Dalam Album menewaskan calon-calon senior yang lain, seperti Jamal Abdillah, Mus May dan Hazami.

“Kalau anda semua terkejut, bayangkanlah saya!” ucapan pertama Shanon sebaik saja mengambil trofi. “AIM merupakan sebuah acara yang paling saya segani dan hormati, justeru saya ingin berterima kasih atas penghargaan yang diberikan.

“Saya mahu mendedikasikan anugerah ini kepada kawan-kawan dari arena muzik independen, terutamanya Sandra Sodhy yang memberikan ruang untuk saya ‘mencari’ suara saya. Trofi ini juga untuk para peminat yang tidak ramai, tetapi harap-harap, bertambahlah selepas ini!” sambungnya.

Biarpun AIM13 dilanda kontroversi atas pencalonan yang dikatakan berat sebelah, namun, sekurang-kurangnya ia membuka satu lagi peluang untuk wajah-wajah baru berbakat mendapat pendedahan dan pengiktirafan yang sewajarnya.

Selain Shanon, Ridzuan, penyanyi muda berusia 17 tahun juga diangkat sebagai Artis Harapan atas vokalnya yang lebih besar daripada saiz tubuh.

Sementara itu, kesabaran Too Phat yang sudah lama tidak merakamkan material terbaru berbayar apabila Rebirth Into Reality menerima dua trofi AIM13 melalui kategori Album Inggeris Tempatan Terbaik dan Kulit Album Terbaik.

Senarai Penuh Keputusan AIM13

* Album Terbaik - Gemilang (Jaclyn Victor)
* Lagu Terbaik - Warkah Buat Laila (Zahid)
* Album Pop Terbaik - Gemilang (Jaclyn Victor)
* Album Inggeris Tempatan Terbaik - Rebirth Into Reality (Too Phat)
* Album Hard Rock Terbaik - Live & Unplugged At Planet ‘05 (May)
* Album Nasyid Terbaik - Ameen (Raihan)
* Album Pop Rock Terbaik - Santai (Awie)
* Persembahan Vokal Terbaik (Lelaki) Di Dalam Album - Shanon (Dilanda Cinta)
* Persembahan Vokal Terbaik (Wanita) Di Dalam Album - Siti Nurhaliza (Siti Nurhaliza In Concert Royal Albert Hall, London)
* Persembahan Vokal Terbaik Berkumpulan Di Dalam Album - VE (For You)
* Artis Baru Terbaik - Jaclyn Victor
* Artis Harapan - Ridzuan
* Artis Inggeris Tempatan Baru Terbaik - Deja Voodoo Spells
* Video Muzik Terbaik - Sleepy Head (Jason Lo)
* Kulit Album Terbaik - Rebirth Into Reality (Too Phat)
* Rakaman Album Terbaik - Kasih (Dayang Nurfaizah)
* Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu - Gemilang (Jaclyn Victor)
* Album Indonesia Terbaik - Padi (Padi)
* Anugerah Kembara - Raihan
* Anugerah Wirama - S. Atan

APA KATA PEMENANG?

“Syukur ke hadrat Ilahi atas kudrat yang dikurniakan. Selepas lima tahun berehat, saya dihadiahkan dengan trofi ini” - Awie

“Malam ini, kami ingin berterima kasih kepada orang yang jarang kami sebutkan namanya. Steve Hasan Thornton, pemain percussion yang banyak melaungkan irama nasyid dalam paluan bongonya” - Raihan

“Dulu susah sangat dapat trofi ini. Bila sudah dapat, banyak benda yang hendak dicakap” - May

“Mak, Yop menang, mak! Terima kasih kepada ayah yang banyak mengajar saya untuk menyanyi dengan betul. Dulu suara saya sengau” - Ridzuan

“Perjalanan kami untuk sampai ke sini sangat panjang. Terima kasih kepada semua yang banyak membantu dan ini bakal menjadi titik tanda kami berusaha dengan lebih keras” - Deja Voodoo Spells.

APA SILAPNYA AIM 13?

‘Bosannya’, ‘mendatar’, ‘tiada pembaharuan’, ‘biasa saja’, ‘momentum merudum’ - antara komen-komen yang diterima sebaik saja Anugerah Industri Muzik ke-13 (AIM13) berakhir. Apa dan di mana silapnya?

Semua acara anugerah di dunia ini pasti tidak akan terlepas dari kritikan, apatah lagi AIM yang kalau manusia, usianya baru saja memasuki alam remaja.

Sudah menjadi lumrah acara segah ini, harapan penonton begitu tinggi agar ia menghiburkan dan penuh dengan kejutan, selain daripada ia mampu memenuhi objektif sebenar sesebuah pertandingan.

AIM13 tidak terlepas daripada beberapa perkara stereotaip, antaranya para penyampai anugerah yang terlebih cakap dan ’syok sendiri’. Ia juga dijadikan platform oleh sebilangan penggiat muzik untuk meluahkan rasa tidak puas hati kepada sesetengah pihak.

Jika ada anugerah khas untuk itu, pemenang tahun ini ialah Boon Tan yang meminta pihak media supaya berhenti menulis jika tulisan itu berbau kritikan. Adakah ini satu amaran Boon Tan yang boleh ditafsirkan sebagai industri muzik Malaysia tidak boleh ditegur demi kebaikan?

Afdlin Shauki dan Bob Lokman membuka tirai AIM13 dengan melagukan nama-nama pemuzik latar yang mengiringi persembahan pada malam itu. Meskipun mendapat tepukan gemuruh, idea itu tidaklah original kerana beberapa tahun lalu, Afdlin menggunakan idea yang sama untuk memperkenalkan para penaja.

Memang khalayak tidak dapat menolak kredibiliti dua hos ini dalam menghidupkan suasana, tetapi kerana mereka ‘wajah wajib’ AIM, tiada apa yang baru yang dibawakan atau yang boleh diharapkan oleh penonton.

Persembahan pembukaan oleh VE biasa saja, tidaklah ‘meletup’ dan boleh diingati sampai bila-bila. Begitu juga dengan persembahan Siti Nurhaliza dan Hazami. Alangkah ruginya AIM13 kerana tidak memanipulasikan sepenuhnya kehebatan dua vokalis terbaik ini untuk menghangatkan acara.

Bukan lagu Getaran yang mereka nyanyikan tidak sedap, tetapi tidak cukup membangkitkan keghairahan penonton. Mungkin persembahan mereka boleh ‘dicantikkan’ lagi dengan pemilihan lagu yang lebih sesuai.

Selain segmen memperkenalkan calon-calon Artis Baru Terbaik yang diselitkan saban tahun, AIM13 mengambil langkah bijak dengan mewujudkan segmen khas untuk nama-nama yang kurang dikenali ramai, tetapi cukup berbakat.

Peluang yang diberikan kepada Shanon, Ridzuan, Zoul dan Elyana membuatkan peminat muzik menyedari kehadiran mereka. Mungkin ini rahmatnya apabila segmen persembahan artis Indonesia ditiadakan tahun ini.

Persembahan Jason Lo pula dengan bantuan para pelajar Sekolah Sri Inai, Kuala Lumpur yang membawa keratan-keratan bendera Malaysia menyuntik sedikit semangat patriotik, manakala persembahan Brothers Reunited dengan Waheeda tidak berapa mengujakan walaupun membawakan lagu dakwah pendekatan baru.

Sementara itu, nyanyian Kasih daripada Dayang Nurfaizah seakan meminta penjelasan bagaimana dia boleh terkeluar daripada senarai akhir kategori Persembahan Vokal Terbaik (Wanita) Di Dalam Album.

Segmen orkestra di bawah pimpinan Ramli MS yang menampilkan Jamal Abdillah dengan iringan Kumpulan Koir Kebangsaan seharusnya menjadi persembahan yang spektakular, tetapi entah mengapa, impaknya tidak terasa. M. Nasir yang muncul berduet dengan Jamal lagu Ghazal Untuk Rabiah juga gagal membantu.

Mengapa Spider dipilih sebagai persembahan penutup? Mengapa tidak boleh? Tetapi, ia tidak cukup klimaks untuk menyimpulkan berakhirnya sebuah acara mega yang memegang tema Kemuncak Segala-galanya.

‘Tapi, pentas AIM13 cantik,’ komen seorang tetamu. Adakah hanya secetek itu nilai acara berprestij kita tahun ini?

Tuesday, April 25, 2006

Seram Atau Sakit?




Tajuk: The Hills Have Eyes

Genre: Seram

Pengarah: Alexandre Aja

Pelakon: Aaron Stanford, Kathleen Quinlan, Vinessa Shaw, Emili De Ravin, Dan Byrd, Tom Bower.

Penilaian: 1 bintang.

Sebagai pengilang sinema terbesar dunia, Hollywood tidak terlepas daripada mengitar semula plot yang serupa. Sebagai contoh: sebuah filem seram yang bermula dengan babak-babak percutian sebuah keluarga. Cuba teka apa yang berlaku seterusnya? Kereta yang mereka naiki rosak di tengah gurun yang tidak didiami sesiapa. Cuba teka apa yang terjadi selepas itu?

Betul. Sekumpulan manusia aneh yang terkena radiasi mula keluar daripada tempat persembunyian untuk menghapuskan mereka. Kemudian? Sudah tentu anda mampu mengagak – karakter utamanya yang sebelum ini digambarkan sebagai lemah, muncul hero menyelamatkan ahli keluarga yang lain. Jangan pelik apabila si hero ini juga berkelakuan seperti mutasi , sesuka hati membunuh dan memotong kepala si jahat demi menyelamatkan diri.

The Hills Have Eyes mungkin boleh dimaafkan dari segi jalan cerita kerana ia merupakan sebuah filem remake dengan tajuk yang sama arahan Wes Craven pada tahun 1977. (Kerana itu, adalah kurang wajar untuk membincangkan pemikiran Hollywood yang begitu stereotaip, antaranya mangsa radiasi mesti menjadi kanibal).

Sebagai pengarah pilihan Craven, Alexandre Aja mungkin menerima tekanan untuk menepati kehendak penulis asalnya. Dia juga mungkin terlalu teruja untuk memperbaharui versi lama dengan menambahkan elemen ngeri supaya ia lebih bagus, lebih menarik untuk ditonton dan lebih diingati.

Malangnya, hajat Aja tidak kesampaian kerana dia terlalu ambitious. Adegan-adegan ngeri yang membabitkan pembunuhan dan darah melimpah tidak lagi menjadi suatu perkara yang sanggup ditonton dalam filem ini. Misalnya telinga tercabut, kepala dikapak, menikam kaki dengan pemutar skru dan banyak lagi. Tonton sendiri jika berminat.

Kalau Aja mahu membuatkan penonton melompat melihat adegan-adegan sedemikian, dia mungkin berjaya tetapi pembikinannya tidak impresif. Gaya penyampaiannya bercita rasa buruk, tidak ‘secantik’ adegan ngeri dalam Saw atau Hostel. Ia boleh dikategorikan sebagai berlebih-lebihan, mampu membuatkan penonton menekup muka dalam keadaan mual dan menimbulkan rasa kurang selesa serta terganggu.

The Hills Have Eyes adalah sebuah filem seram yang tidak mempunyai integriti. Filem ini dirasakan terlalu panjang, kerana adegan demi adegan kesat dipertontonkan. Bermula daripada si bapa yang dipukul hingga lunyai dan dibakar hidup-hidup, kemudian si gadis yang dirogol oleh mutasi hodoh, beralih kepada si ibu yang sanggup membiarkan dirinya dicabul sambil memandang bayinya yang diacukan pistol di kepala dan sebagainya.

Penonton tidak salah kalau mereka keluar dari panggung dengan tergesa-gesa semasa separuh filem diputarkan. Mungkin dalam perjalanan keluar, mereka terfikir bagaimana adegan-adegan segrafik itu boleh dilepaskan untuk tayangan umum di sini.

Selain rasa loya, Aja tidak memberikan apa-apa impak kepada penonton. Karakter-karakter baik di dalam filem ini, iaitu keluarga yang menjadi mangsa, tidak mendapat secukup simpati. Aja gagal menyemai sebarang emosi dalam jiwa penonton kerana dia terlalu ghairah mencipta adegan-adegan yang menyesakkan dada sehingga pengembangan karakter terbiar.

Meskipun di hujung cerita mangsa dapat membebaskan diri, anda tidak akan mampu tersenyum. Ia tidak menggembirakan, jauh sekali menghiburkan. Seperti sifat tipikal filem-filem seram yang lain, The Hills Have Eyes juga cuba menimbulkan tanda tanya melalui adegan terakhirnya, tetapi percayalah, anda tidak berminat untuk mengetahui jika Craven atau Aja bercadang untuk membuat sekuel.

Masih ada jalur sempadan antara filem yang seram dengan filem yang ‘sakit’.

Wednesday, April 12, 2006

Keterbukaan Nadia Mustafar

Tidak sukar untuk mendekati aktres berambut ikal ini. Setiap pertanyaan dijawab dengan ikhlas dan tidak berselindung, meskipun disogok dengan provokasi.

Nadia Mustafar mungkin tidak semasyhur Fasha Sandha atau Fazura, tetapi sebagai insan seni yang lebih dulu makan garam, dia sudah masak dengan dunia hiburan.

Nadia bercerita tentang teman baru, hal hutang dan impian perkahwinan.

Dulu heboh Nadia dikaitkan dengan ‘Mr.R’. Ke mana-mana pun asyik berkepit saja. Alih-alih, tidak jadi kahwin. Kenapa? Malu tak dengan peminat?

Nadia: Tiada jodoh. Mungkin tempoh perkenalan selama lima tahun terlalu lama, sampaikan kami sangat mengetahui diri masing-masing. Ada kisah di sebaliknya, tetapi biarlah saya simpan sendiri rahsia itu.

Memang saya mengharapkan perkahwinan terjadi, tetapi kuasa Tuhan siapa dapat menolaknya? Malu juga bila orang asyik bertanya, tetapi saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Saya pernah berkahwin sebelum ini pada usia 20 tahun. Saya tidak mahu melakukan kesilapan yang serupa. Syukurlah keluarga saya cukup faham dan tidak mendesak.

Baru putus cinta, kamu sudah ada teman baru. Sejauh mana keakraban kamu dengan Hazil Izham Ismail (produser Tayangan Unggul)?

Kami sudah kenal lama, tetapi baru rapat sejak empat bulan lalu. Semasa itu, kami selalu bertemu untuk rangkaian promosi filem Baik Punya Cilok di serata negara.

Saya senang berkawan dengan Hazil. Dia seorang yang baik hati, mengambil berat dan boleh menerima saya seadanya. Dia banyak cakap, sama macam saya. Kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Setakat ini, alhamdulillah, tiada masalah. Hendak kata bercinta, entahlah.

Orang kata, kalau bercinta, wallpaper di telefon bimbit mesti gambar berdua.

Ye ke? (ketawa lalu menunjukkan wallpaper telefonnya. Memang gambar mereka berdua sedang tersenyum intim.) Dia menemankan saya ke sini tetapi dia tunggu di luar (studio).

Apa perkembangan kes pinjam-meminjam wang?

Saya dinasihatkan oleh peguam untuk tidak memberikan sebarang kenyataan.

Nadia mahu heret aktres itu ke mahkamah? Tidak boleh selesaikan di luar dengan berbincang?

Bukan saya yang mahu saman dia, dia yang mahu saman saya. Saman malu sebab dia tidak mengaku pinjam. Saya tidak mahukan apa-apa dari dia sebenarnya. Kalau dia datang jumpa saya dan minta maaf, saya kira sudah selesai.

Ada yang melaporkan kamu dengan dia sudah berbaik-baik. Tidak betullah cerita itu?

Saya berpegang kepada profesionalisme. Kalau ditakdirkan saya dipertemukan dengan dia dalam satu drama atau filem, saya tidak kisah. Berlakon sajalah. Tetapi, buat masa ini, belum ada yang menemukan kami di lokasi.

Agak-agak nanti mahu bertegur sapa tak? Atau bermasam muka?

Entah. Bermesra-mesra tidaklah agaknya.

Orang kata kamu banyak wang, hidup bermewah-mewah. Tetapi tidaklah popular mana. Kecil hati dengan tanggapan seperti itu?

Saya sudah bertapak dalam industri hiburan ini selama 12 tahun. Saya akui jarang keluar dalam akhbar atau majalah, tetapi tawaran berlakon yang saya terima tidak putus. Lepas satu, satu sehinggakan dalam sebulan, saya cuti sehari dua saja.

Saya tidak kecil hati kalau ada pelakon-pelakon baru yang lebih meletup dari saya. Itu rezeki masing-masing. Yang penting, bila keluar televisyen atau panggung, orang akan berpuas hati dengan lakonan saya.

Kalau orang kata kamu mata duitan, pilih teman lelaki semuanya yang ‘berada’. Dulu doktor dan ahli perniagaan, sekarang pula produser.

Duit memang bukan segala-galanya, tetapi kena berpijak juga pada realiti. Saya perlukan lelaki yang boleh menjamin kehidupan saya. Usah menafikan kenyataan yang semua orang juga berfikiran begitu.

Label kontroversi seakan melekat pada Nadia. Kalau keluar akhbar, mesti kisah-kisah yang sensasi.

Buruk atau baik sesuatu publisiti itu, tetap dikira publisiti. Takut juga orang cop saya suka meraih publisiti murah, tetapi saya tidak pandai berbohong. Orang tanya, saya jawab dengan jujur. Kalau benda sudah betul kenapa mahu menafikan?

Macam rancangan saya mahu kahwin dengan ‘Mr. R’. Saya memang mahu kahwin masa itu. Umur saya sudah masuk 30 tahun, saya mahu dapat anak secepat mungkin. Tetapi jodoh bukan kerja kita.

Dengan Hazil bagaimana? Ada rancangan untuk kahwin?

Ada, tetapi saya tidak berani mengulas lebih lanjut. Namun, saya akui dia calon yang paling teratas setakat ini.

Umur Hazil berapa?

32 tahun. Dia yang paling muda, kalau dibandingkan dengan bekas-bekas teman lelaki saya sebelum ini.

Nadia mudah mesra dengan orang. Melihat pada personaliti, kamu seorang yang cukup manja. Kamu rasa kamu seksi?

Saya memang ringan mulut, peramah dan suka berkawan. Seksi itu tidaklah, biasa-biasa saja. Dalam dunia ini, buat apa cari musuh dan bermasam-masam muka. Dari dulu sampai sekarang, saya tidak pernah ada masalah dengan orang.

Nadia mula bekerja sebagai pegawai perhubungan awam (PR) syarikat rakaman seawal usia 17 tahun. Bagaimana boleh terjebak dalam dunia lakonan?

Sebenarnya niat saya dulu hendak jadi penyanyi. Sebab itu, jadi PR. Tetapi, kerana sibuk sangat menguruskan artis, saya terlupa tujuan asal sampailah Kak Raja Alawiyah (produser Bright Network) tawarkan saya berlakon.

Saya beruntung kerana baru pertama kali berlakon, sudah diberikan watak utama. Saya masih ingat lagi drama itu, judulnya Mas Maria arahan Aziz Razak. Lama-kelamaan, minat berlakon timbul apatah lagi Kak Raja sering beri peluang. Saya pun letak jawatan PR, beri fokus sepenuh masa pada lakonan.

Sudah tidak minat menyanyi?

Kalau saya masih berumur 20 tahun, mungkin saya mahu buat album. Tetapi, sudah 30 tahun sekarang sudah terlambat rasanya.

Ramai yang mahu menceburi bidang lakonan sebab glamor. Nadia rasa begitu?

Memang pelakon nampak gah, selalu keluar akhbar, majalah dan televisyen. Tetapi, tidak semudah yang disangka. Orang tidak tahu kita kerja tunggang terbalik. Lagi satu, kena pandai jaga kesihatan dan kecantikan diri kerana ia satu aset. Diri kita adalah produk yang mesti dijaga kualitinya.

Sampai bila mahu berlakon?

Selagi ada kudrat, selagi orang mahukan saya. Tetapi, saya juga merancang buka bisnes tahun ini. Minta tolong jangan dihebahkan dulu bisnes apa. Saya janji akan beritahu kalau ia menjadi kenyataan kelak.

Yang mungkin anda tidak tahu tentang Nadia...

* Pernah berlakon semasa berusia 12 tahun dalam siri Hikayat Hang Setia terbitan RTM. Waktu itu, Nadia dibayar sebanyak RM30 satu episod. “Sudah cukup mewah rasanya,” akui aktres yang nama sebenarnya Siti Naziyah Mustafar.

* Kalau diberi ‘kuasa’ untuk menukar satu sifat dirinya, dia memilih untuk menambah ketinggian. “Orang selalu kata dalam tv nampak besar, bila jumpa depan mata, alahai, kecil sangat,” ujarnya sambil ketawa.

* Seorang yang gila membeli-belah. “Saya suka ke Bali untuk beli barang sebab murah. Saya beli macam-macam untuk dihadiahkan kepada orang,” terangnya.

* Suka bercuti selepas penat bekerja. Setakat ini, Nadia sudah ke Vietnam, Jakarta, Nepal dan China. Katanya, itu merupakan salah satu terapi memanjakan diri.

* Pernah membintangi filem Pontianak Harum Sundal Malam, Buli Balik, Man Laksa dan Zombie Kg. Pisang.

Nadia sedang menjalani penggambaran drama Rafflesia musim kedua dan akan ke set filem Los dan Faun arahan Afdlin Shauki tidak lama lagi.