eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: 12/05

Thursday, December 29, 2005

Hasrat Murni Mawi

Tidak salah jika dikatakan Mawi adalah insan yang paling bertuah pada tahun 2005. Daripada seorang jejaka kampung yang serba sederhana, bertukar kepada pemuda rebutan seMalaysia, dia sendiri tidak percaya dengan transisi hidupnya yang berlaku sekelip mata.

“Sejarah paling manis dalam hidup. Alhamdulillah,” ucapnya ringkas berkat kemenangan meraih juara Akademi Fantasia 3 (AF3) Ogos lalu, sekali gus menjadi permulaan kepada pengembaraan barunya.

“Segala-galanya berubah. Sungguh, saya tidak sangka rezeki Tuhan datang bergolek seperti ini.”

Ketika mencaturkan nasib di dalam uji bakat, yang terlintas di fikirannya hanyalah mencari peluang menjadi penyampai radio. “Saya tengok ramai graduan AF jadi deejay, jadi saya cuba-cuba saja. Hendak kata pandai sangat menyanyi, tidak juga,” akuinya jujur mengimbas kenangan lalu.

Atas kuasa Yang Maha Besar, niat ikhlasnya membantu keluarga dimakbulkan. Malahan, rahmat yang dilimpahkan berlebih-lebihan, sehingga Mawi sendiri tergamam.

“Ada ketika saya menjadi takut. Saya disanjung, dipuji dipuja, nama dijeritkan di mana-mana. Tidak pernah saya bayangkan keadaan begini. Saya tersedar, bukan mudah bergelar artis. Di bahu terpikul tanggungjawab yang berat.

“Dipanggil idola, diminta beri ceramah, dibandingkan dengan orang itu dan ini, saya gusar jika mengecewakan orang yang meletakkan harapan,” tuturnya luhur.

“Tetapi, saya tidak kesal. Ini kemahuan saya, saya terima. Saya enggan berpatah balik. Saya bahagia dapat membahagiakan keluarga.”

Pemilik nama penuh Asmawi Ani ini dikatakan mempunyai aura, mampu meletuskan fenomena. Setiap patah katanya dijadikan berita. Jumlah pengikutnya tidak terbilang, menjadi kegilaan semua jenis masyarakat. Kata orang, Mawi contoh lelaki Melayu terakhir, yang berakhlak tinggi, pandai mengaji, juga boleh mencuri hati dengan menyanyi.

“Nombor satu? Usahlah. Terlalu tinggi tempat itu,” jawab anak kelahiran Kulai, Johor ini apabila dilabel penyanyi unggul negara.

“Kalau orang cakap saya artis paling sibuk tahun ini, saya tidak pasti. Yang saya tahu, saya memang sibuk. Ada masanya, saya bekerja dari pagi hingga pagi esoknya,” ujarnya lagi sambil ketawa.

Biarpun album sulungnya, Yang Tercinta mencecah jualan ratusan ribu dalam tempoh tiga bulan, pemuda berusia 24 tahun ini masih mengaku Mawi yang dulu.

“Saya masih pergi memancing macam dulu-dulu, cuma bezanya sekarang sudah ada pengawal!” katanya kemudian menambah, “Rindu juga untuk keliling kampung bermotosikal, main bola sepak, sepak takraw...tidak mengapalah, ini namanya pergorbanan,” sambungnya lagi mengubat hati.

Begitu pun, sudah menjadi lumrah hidup, dalam manisnya gula, pasti terselit pahit hempedu. Kemelut kelab peminatnya, Mawi FC yang bertelingkah sesama sendiri, berita dia bermalam di rumah tunangnya Nordiana Mohd. Naim, cerita palsu dia masuk disko, kenyataannya ‘menghalalkan’ cetak rompak dan macam-macam lagi.

“Biarlah cerita-cerita itu dilupakan. Apa yang penting, setiap daripadanya saya jadikan pengajaran dan teladan,” ulasnya ringkas.

Berlabuhnya tirai 2005, Mawi enggan menyentuh lagi coretan hitam kerjayanya. “Semua orang berazam jadi insan yang lebih baik. Saya tidak terkecuali. Cuma satu hajat saya yang mesti ditunaikan, mahu hantar ibu dan ayah ke Mekah mengerjakan umrah.

“Saya tanya mereka kalau mahu terus kerjakan haji. Mereka jawab, umrahlah dulu,” ceritanya teruja. Mawi sendiri, bagaimana? “Nantilah, saya belum bersedia.”

Bergelar jurucakap untuk lapan produk (bila ditanya apa, dia sendiri jenuh mengingatnya!), jadual kerja Mawi untuk tahun ini sudah penuh sehingga April.

“Saya tidak boleh jangka 2006 akan menjadi tahun saya atau tidak. Kalau pun ada AF4 selepas ini, jika peminat masih teguh menyokong saya, Insya Allah, saya akan tetap di sini. Masing-masing ada pilihan untuk memilih,” ujarnya optimis.

Tambahnya lagi, “Kalau diizinkan dan ada kelapangan, saya mahu ambil cuti seminggu untuk berehat. Bawa keluarga makan angin. Tidak jauh, dalam negara saja.”

Sudah mempunyai lesen memandu yang sah, Mawi yang menerima sebuah kereta Suzuki Swift sebagai hadiah kemenangan AF3, belum berpeluang memandunya. Pakej percutian ke Los Angeles, London dan Paris juga masih belum ditunaikan.

“Perancangan untuk pindah rumah memang ada dalam masa terdekat, tetapi tidak tahu bila,” beritahunya yang sesekali mengelak bila ditanyakan soal jodoh.

“Tahun ini, saya baru 25 tahun. Masih belum stabil lagi. Nampak macam senang, orang ingat sudah lengkap serba-serbi, tetapi besar tugas seorang suami. Setakat ini, kahwin tidak termasuk dalam agenda. Tetapi, esok lusa, siapa tahu kalau sudah sampai seru,” jelasnya mengakhiri bicara.

Thursday, December 08, 2005

Siapa Lagi Kalau Bukan Aznil?



Siti Nurhaliza’ versi pengacara? Ketawa berdekah Aznil Nawawi mendengarnya. “Jauh sekali kalau hendak disamakan.
Sudah 16 tahun dalam dunia penyiaran, baru enam trofi saya dapat,” ujarnya merendah diri.

Namun, pengacara mana di Malaysia yang dapat menewaskannya? Bukan saja dari jumlah kutipan anugerah, tetapi dari segi populariti. Siapa yang berani menidakkan kehebatannya membuatkan kerusi di rumah seolah digam apabila dia muncul di kaca televisyen?

Tidak keterlaluan jika Aznil dilabel sebagai ikon televisyen sejati, yang telah mengangkat darjat dan status pengacara ke satu tahap yang tinggi. Bukan sekadar penyeri rancangan, penyambung segmen atau pemberi maklumat, kehadirannya dinantikan oleh segenap lapisan audiens, dari sekecil-kecil budak sehinggalah yang sudah bertongkat.

“Perjalanan kerjaya saya panjang. Sebut saja apa yang belum pernah saya lakukan - membaca berita, buat laporan secara langsung, menjadi wartawan penyiaran, pengacara pelbagai rancangan - semua sudah saya rasa.

“Dua tahun kebelakangan inilah baru pengiktirafan berbentuk anugerah saya terima,” jelasnya lagi tanpa sebarang perasaan riak.

Nama Aznil Nawawi kini bukan hanya gah dari Perlis sampailah ke Sabah, Brunei jua Singapura, tetapi sudah diiktiraf di serantau Asia.

Trofi Program Bual Bicara Terbaik (Best Talk Show) Asian Television Award (ATA) 2005 yang dirangkul, menjadi bukti kesungguhan dan bakat semula jadi Aznil yang bukan calang-calang.

Macam-Macam Aznil (MMA) telah menewaskan program I Had A Love dari China, Kutting With Karan dan We The People-Censorship & Sensibility dari India pada majlis yang berlangsung di National University Singapura, minggu lalu.

Menurutnya: “Sejak dicalonkan dalam ATA tahun lalu menerusi kategori Pengacara Hiburan Terbaik (untuk Akademi Fantasia 2), saya mula berjanji kepada diri untuk berusaha lebih keras dan agresif. Saya tidak malu untuk mengatakan saya tewas kepada Asha Gill waktu itu, kerana tercalon dengan orang yang hebat sepertinya juga sudah dikira satu penghormatan.

“Jika tahun lepas saya diundang sebagai penyampai anugerah, tahun ini saya hadir ke sana sekadar memeriahkan suasana dan memerhati. Tidak sangka langsung untuk menang, apatah lagi diberi tempat duduk barisan belakang!.”

Nyata, tuah dan rezeki menyebelahi bapa kepada dua orang anak ini. “Bukan mahu bongkak atau takbur, tetapi ketika penyampai Sazzy Falak sudah meloncat sebelum nama saya diumumkan, degupan jantung yang mulanya kencang beransur perlahan. Saya tawaduk dan amat bersyukur dengan penghargaan itu.”

Yang membuatkan hatinya berbunga bangga, program berbahasa Melayu seperti MMA mampu menundukkan barisan program yang rata-ratanya berbahasa Inggeris.

“Saya berkesempatan berbual dengan seorang juri pada majlis itu. Katanya, MMA dipilih kerana mutunya jauh meninggalkan saingan lain. Konsepnya berbeza, ideanya lebih segar dan gaya saya mengendalikannya lebih mesra penonton.

“Biarpun mereka kurang faham dengan usikan nakal yang adakalanya menjurus kepada jenaka tempatan, tetapi mereka masih mampu ketawa. Bagi mereka, itu adalah sesuatu yang luar biasa,” cerita Aznil teruja.

Kemenangan itu menjadi sesuatu yang lebih personal kerana MMA merupakan hasil santau akalnya, bermula dari segi konsep, skrip sehinggalah segmen-segmen yang ditampilkan.

“MMA begitu dekat di hati saya kerana ia adalah sebuah signature talk show, yang menggunakan nama saya sendiri sebagai tajuk rancangan. Tempias baik atau buruknya program itu akan terkena kepada saya dulu dalam apa keadaan sekalipun.

“Biarpun saya boleh menyerahkan tugasan suntingan kepada penyunting, saya rela turun padang untuk memastikan alunan program bergerak lancar, seperti mana ketika saya mengendalikannya semasa rakaman. Untungnya, saya mendapat tenaga produksi yang kuat, dedikasi dan memahami apa yang saya mahu,” akuinya lagi.

Menjadi kenangan termanis sebagai penutup episod tahun 2005, jejaka metropolitan kelahiran Kuala Lumpur ini memberitahu: “Anugerah ATA itu adalah pelengkap kepada kerjaya saya. Saya belum mahu mengatakan ia sebagai kemuncak, kerana saya masih mahu kekal di dalam dunia penyiaran selagi mampu dan diperlukan.”

Bakal menghampiri angka 44 tahun depan (6 November 1962), dia menambah, “Saya masih ingat sewaktu berusia 40 tahun, ada yang menyarankan supaya bersara saja. Tinggalkan dunia pengacaraan, beri ruang kepada wajah-wajah baru. Tetapi, saya tegar. Saya masih belum puas mengecap kemanisan. Ketika itulah, nama saya mula meletup gara-gara Akademi Fantasia musim pertama.”

Tiada apa lagi yang perlu dirungutkan. Aznil kini berada di kedudukan yang cukup selesa, tambahan pula berjawatan tetap di Astro sebagai penasihat kreatif. Dia juga bertanggungjawab melatih pengacara-pengacara baru seperti Jimmy Shanley, Nazril Idrus dan Awal Shaari yang bernaung di bawah bumbung stesen televisyen berbayar itu.

“Saya pernah tertanya, mampukah saya menjadi contoh sempurna kepada mereka. Namun, selepas merenung semula anugerah-anugerah yang diraih, saya merasakan tentu ada sesuatu yang boleh dikongsi bersama.”

Dalam seronok bercerita tentang kerjaya, bagaimana pula dengan soal peribadinya yang jarang sekali dipaparkan di media massa?

Terdiam sejenak, berfikir, kemudian tersenyum, Aznil menjawab: “Saya sedar akan pengaruh saya yang selama ini dilihat sebagai seseorang yang amat mementingkan nilai-nilai kekeluargaan menerusi program yang dihoskan. Bagi saya, keluarga adalah institusi kehidupan yang sangat penting dan dua orang anak saya adalah motivasi terpenting untuk tekun bekerja.

“Fifi (Fildza Haifa, 16) dan Riki (Fariq Haizen, 11) adalah segala-galanya. Sesibuk mana pun, saya akan pastikan mereka mendapat walau sedikit masa. Setiap kali tiba cuti sekolah, saya akan pastikan ada kelapangan untuk bersama mereka, misalnya baru-baru ini, kami melancong ke Brisbane dan Sydney, Australia.

“Saya tidak pernah menyembunyikan mereka daripada pengetahuan awam, tetapi tiada sebab untuk didedahkan. Tambahan pula, mereka masih bersekolah dan kurang selesa muncul di majalah atau akhbar.”

Ibu baru untuk mereka, Aznil? Dia hanya tersenyum penuh makna.

Yang mungkin anda tidak tahu...

* Selain ATA 2005, anugerah yang dimenanginya ialah Pengacara Lelaki TV Popular (Anugerah Bintang Popular 2003 dan 2004), Pengacara TV Terbaik (Anugerah Sri Angkasa 2004), Anugerah Khas Media Hiburan 2003/2004 dan Anugerah Akademi Fantasia 3 (Aksi Terlampau).

* Semasa bersiar-siar di Orchard Road, Singapura, dia didatangi oleh sekumpulan peminat yang terdiri daripada wanita berusia. Kata mereka, “Setiap kali Macam-Macam Aznil (MMA) ke udara, kami boleh dengar satu pangsapuri kuat bergelak!” Musim pertama program tersebut sedang rancak ditayangkan di rangkaian Suria di sana.

* Aznil memasang impian konsep dan idea MMA difrancaiskan di negara-negara Asia. “Mungkin beberapa tahun lagi kita dapat menonton Macam-Macam Ramasamy dari India atau Macam-Macam Ah Chong dari China?” bayangnya.

* Tidak pernah terfikir jika dia mempunyai pesaing atau pelapis. “Saya sendiri tidak menjadi pelapis kepada sesiapa, kerana saya bergerak atas identiti sendiri. Jika anak saya ingin bergelar pengacara satu hari nanti, saya akan galakkan. Namun, belum nampak bakat mereka di situ walaupun Riki seorang yang spontan dan cepat menangkap,” terangnya.

* Selepas membintangi Sama Tak Serupa dan Aku No.1, dia bakal muncul dengan filem Cicakman, arahan Yusry KRU. Baru selesai proses memasukkan suara, jelas Aznil: “Watak Professor Klon seorang yang jahat tetapi adorable. Kartun habis! Saya sendiri tidak sabar menunggu hasilnya.”