eMail to diatulis@yahoo.com
| Utusan Malaysia | Berita Harian | Harian Metro | Harakah | Bernama | Malay Mail | The Star | New Straits Times | mStar |
dia tulis: 08/05

Friday, August 26, 2005

Misteri Nicholas Saputra

Rangga, Bhisma, Joni dan Gie.

Karakter-karakter yang ditunjangi Nicholas Saputra lewat empat buah filemnya – Ada Apa Dengan Cinta, Biola Tak Berdawai, Janji Joni dan Gie. Khalayak menonton, menghayati dan menyelami setiap perwatakan untuk mengenali siapa sebenarnya jejaka kacukan Indonesia-Jerman ini.

Memiliki sepasang mata yang tajam, Nicholas merenung tepat ke arah penulis saat diajukan pelbagai soalan semasa kunjungan singkatnya ke Kuala Lumpur, baru-baru ini. Mudah dihampiri tetapi begitu tertutup. Dia betah mengatakan tidak kepada pertanyaan-pertanyaan yang dirasakan tidak bersangkutan dengan profesionnya.

“Saya merasakan ada perlunya menjadi perahsia dalam sesetengah hal. Saya tidak mahu membongkar cerita peribadi kerana ia akan menganggu kepercayaan peminat terhadap lakonan saya. Apabila mereka menonton Janji Joni, misalnya, saya mahu mereka yakin yang dilihat itu Joni, bukan Nicholas. Saya mahu audiens menerima saya sebagai apa saja tanpa memberitahu siapa saya yang sebenar,” ujarnya tegas.

Aktor berusia 21 tahun ini faham akan kemilau glamor dan populariti yang mesti dihadapi, tetapi itu tidak bermakna dia harus mengenepikan prinsip hidup. “Saya berlakon kerana cintakan seni dan mungkin untuk wang saku belanja kuliah. Namun, saya juga harus berhati-hati dengan publisiti kerana tidak mahu merosakkan reputasi. Biarlah cerita personal saya simpan sendiri,” sambung penuntut tahun ketiga jurusan senibina di Universiti Indonesia ini.

Lantas, tentu saja dia mengelak apabila diajukan soal cinta. “Saya percaya semua orang perlukan cinta. Tetapi, kalau ditanya saya sudah punya pacar atau tidak, maaf saja.” Malah, ketika diusik jika Angelique, watak pasangannya dalam Janji Joni sebagai wanita yang ideal, dia membalas sambil ketawa, “Saya tahu soalan itu menjurus ke mana!”

Menggemari filem Trainspotting, Life Is Beautiful, The Hours dan Lock, Stock and Two Smoking Barrels, terpancar personaliti Nicholas yang serius dan misteri.

“Saya akui saya seorang yang rumit. Jika ditanya saya ini jenis peramah, pendiam, pemarah atau romantis, saya sendiri tidak tahu. Sukar sekali mentafsirkan diri sendiri. Saya suka didekati dan mendekati tetapi harus kena dengan caranya.”

Hanya menerima tawaran semasa cuti semester, Nicholas mengakui seorang yang pemilih dan cerewet. “Saya harus menjadi selektif kerana saya bukan berlakon sepenuh masa. Saya harus mengambil projek yang terbaik. Skrip yang bagus, penceritaan yang menarik dan siapa yang terlibat di balik tabir pembikinannya.

“Saya mahu meneroka pengalaman yang berlainan. Setiap kali memainkan sesuatu peranan, saya belajar perkara yang baru. Tidak kira apa pun jenis filem itu, saya ingin merasakan kepuasan yang maksimum.”

Ingin lari dari stereotaip, jejaka berbintang Aquarius ini tidak teragak-agak melakonkan watak figura aktivis terkenal Indonesia, Soe Hok Gie dan menerima tawaran filem romantik komedi, Janji Joni.

“Sebagai persiapan watak Gie, saya banyak menelaah sejarahnya. Membaca buku-buku tulisannya, menonton dokumentari mengenainya dan bertanyakan kepada tokoh-tokoh yang pernah kenal dekat dengannya. Memang sulit untuk menggambarkan seseorang yang benar-benar wujud – gayanya bertutur, berjalan dan tingkah lakunya. Berdasarkan apa yang dikaji, saya dan pengarah Riri Reza cuba membuat interpretasi sendiri.

“Selepas dua bulan penggambaran, saya menjadi keliru seketika kerana transisi dari Gie kepada Joni sukar dilakukan sekelip mata. Namun, saya juga sedar yang itu semua hanya lakonan dan tidak perlu dibawa-bawa sehingga ke dunia realiti.”

Dalam Janji Joni, dia menjadi seorang budak penghantar gelung filem dari satu pawagam ke pawagam yang lain dan dalam perjalanannya, dia menemui pelbagai karakter manusia dalam insiden-insiden yang tidak terduga. “Saat mula membaca skripnya, saya sudah jatuh cinta. Saya juga baru tahu kewujudan budak penghantar filem.”

Sambil mengunyah snek tengah harinya, dia memberitahu masih belum punya rencana untuk masa depan. “Saya mahu tamatkan pengajian dulu. Sebagai anak tunggal, hasrat ibu bapa ingin saya bergelar arkitek akan ditunaikan. Dalam masa yang sama, saya mahu berlakon lagi.

“Kemunculan saya mungkin tidak sekerap aktor yang lain tetapi saya tidak menganggap itu sebagai satu kekurangan. Saya tidak bersaing dengan sesiapa. Masing-masing hanya mahu menjalankan tugas dengan sempurna,” jelasnya yang bakal menyambung kuliah minggu ini selepas cuti panjang tiga bulan.

“Filem baru? Belum tahu lagi tetapi jika ada pun tahun depan,” bicara Nicholas Saputra seraya menamatkan perbualan.

Yang mungkin anda tidak tahu….

Bagi merealisasikan watak Gie, Nicholas harus mengurangkan 12 kg berat badannya, kemudian menambah lapan kg untuk watak Joni pula. “Saya makan apa saja untuk membuat badan berisi. Seolahnya sekarang tidak mahu turun-turun!” ujarnya.

Sebelum berkunjung ke Kuala Lumpur, Nicholas menghabiskan masa liburnya ke Bali selama dua minggu. Kerana itu kulitnya sedikit gelap. “Saya hanya berjemur, bermain bola keranjang dan berpesta. Saya tidak tahu meluncur tetapi mahu belajar. ”

Memotong pendek rambutnya kerana, “Lebih mudah diurus. Tidak payah disisir,” katanya.

Meminati puisi seperti karakternya dalam filem Ada Apa Dengan Cinta tetapi mengakui tidak berbakat menulis.

Menerima trofi Aktor Terbaik dalam Festival Filem Bali yang pertama menerusi Biola Tak Berdawai.

Sempat mendapatkan vcd Sepet dan merancang untuk menontonnya. “Ramai yang bercerita tentang filem ini. Mereka kata ia bagus sekali.”

Seronok bergelar pelajar dan selebriti dalam waktu yang sama. “Tetapi, waktu belajar yang paling tidak enak ialah peperiksaan. Ia lebih menyiksa daripada penggambaran atau jadual promosi yang ketat.”

Bukan angkuh tidak mahu berlakon sinetron (drama televisyen) tetapi menurutnya, “waktu penggambaran yang panjang tidak mengizinkan.”